Surat layang, bomoh terus ‘mengasap’ kita - Utusan Malaysia

Surat layang, bomoh terus ‘mengasap’ kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOK Penghulu: Tak nampak apa-apa pun Pak Belalang?
Pak Belalang: Di dalam amalan hamba jikalau siapa tak dapat melihat bayang-bayang di dalam geluk ni, orang tu anak luar nikah.

Itu antara dialog dalam filem Nujum Pak Belalang diarah dan dilakonkan Allahyarham P. Ramlee pada tahun 1959, yang mengisahkan penyamaran Pak Belalang dan anaknya Belalang yang berjaya ‘menilik’ kawasan kehilangan lembu dan kambing orang kampung.

Dengan mengambil ‘geluk jampi’ berisi air dan dijampi (walaupun tidak tahu apa jampinya), tilikan Pak Belalang menjadi ‘kenyataan’- setelah lembu yang dijumpai lebih awal lagi oleh anaknya dan disembunyikan – akhirnya dipulangkan kepada si pemiliknya.

Demikian kisah difilemkan P. Ramlee yang filem-filem arahan dan lakonannya jelas memaparkan ‘penyakit-penyakit’ orang Melayu sejak dahulu kala sehingga sekarang – yang pendedahan tersirat ini banyak sekali moral dan teladannya.

Sang nujum atau tukang tilik, apatah lagi bomoh jelas masih menjadi penyakit kepercayaan yang sukar dihilangkan dari masyarakat kita. Ini termasuklah tragedi yang menimpa Allahyarham Zulfarhan yang diakibatkan oleh bomoh juga, sehingga nyawanya melayang. Percaya kepada telahan bomoh dan penyebaran surat layang – yang sepatutnya dapat menyelamatkan nyawa pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu – sukar dikikis daripada perbuatan mahupun pemikiran kita.

Dan sehari dua ini dan sebenarnya sejak seminggu dua ini lagi bertalu-talu mesej WhatsApp masuk dalam telefon saya (penulis) ini menyebut si polan ini, si polan itu bakal jadi Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu. Tidak ketinggalan senarai nama yang dikatakan terlibat dalam rombakan pegawai-pegawai kanan di Bukit Aman. Sebelum ini ‘dikacaunya’ kastam. Malah surat-surat layang pun barangkali sudah ‘ambil tempatnya’ – untuk menaikkan atau menjatuhkan seseorang.

Gejala-gejala ini, baik bomoh atau surat layang yang pastinya berbaur fitnah, kontroversi dan dakyah akan melekat ‘merajai’ pemikiran si pengamal dan penerimanya.

SURAT RASMI, PEKELILING BOCOR?
Juga, suatu ketika setahun dua lalu, begitu mudah surat pekeliling atau surat rasmi membabitkan anggota pentadbiran kerajaan atau Kabinet boleh ‘bocor’. Bahkan dalam surat mohon menghadap seorang sultan daripada seorang presiden parti politik pun boleh ‘jatuh’ ke tangan seorang blogger politik.

Di masa-masa lepas seingat saya sehingga ke era Perdana Menteri ketiga Datuk Hussein Onn (Tun) atau sekurang-kurangnya fasa pertama pentadbiran PM keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun) sekitar 1980-an, anggota pentadbiran kerajaan tidak dibenarkan menghantar terus surat atau mengenakan pengaruh kepada hal-hal yang akan memadam imej perjuangan.

Tetapi sekarang sejak media sosial berleluasa terutama bermula pilihan raya umum ke-13 (2013), kita tidak ada garis panduan lagi. Curi rahsia, screenshot surat rasmi kerajaan dan barangkali dijual kepada pihak berkepentingan ada berlaku. Sampai begitu segelintir orang ini memperguna kedudukan dan pengaruh di luar dugaan.

Hari ini, tidak sekadar surat layang masih merebak, tetapi lagi teruk lagi selepas media sosial wujud, ia menghentam terus bak asteroid menghentam bumi. ‘Hentam menghentam’ dahsyat sekali di media sosial. Datang daripada masyarakat kita juga, orang Melayu. Pakar psikologi harus buat kajian ini.

Dan kalaulah kita sedar tentang faktor majoriti, nescaya kita akan fikir sebaik-baiknya. Maka akan selamatlah dari menjadi rebutan pihak-pihak yang tidak ada sifat kenegaraannya, sosial, budaya dan ekonomi. Sayangnya objektif ini tidak nampak diterima pakai oleh sebahagian besar kita.

BERNASIB BAIKKAH?

Nujum Pak Belalang tadi selepas berjaya ‘menemukan’ lembu dan kambing penduduk kampung kemudiannya dikenali ramai. Terkenal di seluruh pelosok negeri. Ada sahaja akal dan nasib baiknya melepasi pembohongan di sepanjang perjalanan hidupnya.

Suatu ketika Pak Belalang bersembunyi di Gua Bukit Tunggal dan menyebut perkataan “nyawa” dan “badan,” sedangkan dia sebenarnya merintih nasibnya sendiri yang kehilangan nyawa dan badan. Keluhan itu telah menyebabkan dua perompak dikenali Badan dan Nyawa menyangkakan penunggu gua telah mengetahui angkara rompakan mereka. Akibat daripada kebetulan itu Pak Belalang berjaya mendapatkan kembali harta raja dan dianugerahkan sebagai ahli Nujum Negara.

Demikian juga Pak Belalang yang tidak mengetahui jawapan yang diajukan oleh kerajaan Masai telah menyuruh Belalang mencari perahu untuk melarikan diri. Belalang yang kebetulan cuba mencuri perahu milik kerajaan Masai telah terperangkap dalam perahu dan mendengar segala jawapan bagi segala soalan yang diajukan kepada bapanya. Akibat dari kebetulan itu Pak Belalang berjaya menjawab keempat soalan yang diajukan.

Tidak semua surat layang ataupun tilikan bomoh ‘bernasib baik’ diterima sama ada fakta, kebenarannya atau pembohongan seperti mana dilalui Pak Belalang.

Namun persoalan besarnya dan realiti yang berpijak di bumi nyata – surat layang dan bomoh masih ‘mengasap’ kehidupan masyarakat kita. –Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN