SEPERTI dijangka, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail, 41 dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38.
BN kelihatan di hadapan kali ini. UMNO Gua Musang lebih fokus dan bersemangat. Dengan arahan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Pengerusi ‘War Room’ BN, memastikan ‘war room’ diaktifkan pada 6 Julai lagi untuk membolehkan gerak kerja awal dibuat untuk merampas Nenggiri.
Malah, sehari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRK Nenggiri pada 28 Jun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terus mengumumkan lantikan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li sebagai Pengarah PRK dan Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob sebagai Pengarah Operasi PRK.
Dan ketika PN masih bergelut untuk memilih calonnya, Ahmad Zahid mengumumkan pada 18 Julai lagi, Mohd. Azmawi Fikri sebagai calon BN. Pemilihan Mohd. Azmawi Fikri ini pula dibuat setelah dicalonkan sendiri oleh Ku Li dengan dokongan penuh daripada UMNO Gua Musang dan peringkat akar umbinya.
Perkiraan Ku Li logik. 62.2 peratus pengundi di Nenggiri terdiri daripada golongan muda yang berusia 40 tahun je bawah. Oleh itu, meletakkan Mohd. Azmawi Fikri yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda UMNO Gua Musang adalah amat bersesuaian.
Dari sudut pemilihan calon, BN dilihat mempunyai kelebihan kerana bila ia diumum lebih awal membolehkan Mohd. Azmawi Fikri ‘bergerak’ turun padang bertemu pengundi di Nenggiri dengan memasuki sebanyak mana kampung untuk beramah mesra dengan mereka.
Kenyataan Ku Li dan Setiausaha Kelab Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, yang menggesa pemimpin DAP tidak menyertai kempen PRK Nenggiri juga tepat. Kehadiran DAP mungkin mengelirukan pengundi di Nenggiri yang hampir seratus peratus adalah Melayu Muslim.
Pengumuman Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Azaha Abdul Rani, bahawa jentera DAP yang sanggup buka khemah dan duduk di kawasan Orang Asli di dalam hutan selama 14 hari bagi memastikan calon BN menang di Nenggiri lebih menimbulkan banyak masalah kepada BN.
Di Nenggiri hanya ada 28 pengundi Cina dan dua pengundi India. Keputusan undian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada 12 Ogos 2023 juga menunjukkan BN menang besar di kesemua lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) Orang Asli tatkala PN hanya menang 154 undi.
Oleh itu, fokus BN semestinya adalah untuk mendapatkan undi Melayu. Strategi BN mesti tepat. Sebab itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan BN akan menggunakan strategi sasaran berkelompok dan tidak mahu fokus kepada ceramah umum.
Antara isu utama ialah hubungan UMNO dan DAP dengan pemimpin PN memainkan pantun undi UMNO dapat DAP. Bagi menanganinya, satu video berdurasi tiga minit Asyraf Wajdi menjawab soalan Abe Zizi sedang tular yang menjelaskan betapa bukan UMNO yang ‘ikut erey’ DAP.
Asyraf Wajdi menjelaskan dalam bahasa yang mudah difahami orang kampung bahawa bila dititahkan menyertai Kerajaan Perpaduan, UMNO tegas meletakkan syarat kepada DAP untuk tidak menyentuh kepentingan orang-orang Melayu Islam dan ini dipersetujui oleh parti itu.
Ini membolehkan perkara seperti Dasar Pendidikan Tahfiz Negara bernilai RM150 juta, permintaan tabung wakaf Majlis Amanah Rakyat (Mara) bernilai RM100 juta dan dana tahunan RM2 bilion untuk Mara membiayai pengajian pelajar Melayu di luar negara yang tidak dipersoalkan oleh DAP.
PN BANYAK MASALAH?
Sementara pencalonan Mohd. Rizwadi juga menimbulkan banyak masalah setelah surat berhentinya dari menjadi ahli Pas, dengan jawatan tertingginya dalam parti adalah Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, sehari sebelum pengumuman calon PN dibuat pada 29 Julai tersebar.
Sebelum ini nama calon PN yang dicanang-canangkan ialah Sheikh Razali Hamad, ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang yang sejak 11 Julai lagi menyatakan kesediaan untuk galas tugas sebagai calon PN jika diberi peluang dan ruang.
Bersatu mahukan Sheikh Razali bertanding kerana beliau ahli parti dan kerusi Nenggiri pula milik Bersatu. Kedudukannya sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang juga dijangka akan membolehkan Bersatu memperoleh undi sebahagian penyokong UMNO.
Namun ini tidak berlaku kerana nafsu besar Pas untuk melebarkan kuasanya. Pas merasakan kepentingan politiknya lebih terjamin jika orang Pas menyertai Bersatu, kemudiannya diletakkan sebagai calon walaupun ini melukakan hati pemimpin Bersatu.
Kini bila calon mu’alaf Bersatu diturunkan tiada lagi jaminan undi penyokong dan bekas penyokong UMNO akan pergi kepada parti itu tetapi disebabkan kedudukan Pas sebagai ‘abang besar’ di Kelantan, maka terpaksa diterima dengan hati terbuku oleh pemimpin Bersatu.
Dari sudut isu pula, PN terutamanya Pas Kelantan seolah-olah mahu menyembunyikan isu yang berlaku di Kelantan bila mana dalam ceramah setakat ini Pas mendiamkan isu yang sebelum ini menjadi senjata mereka, contohnya Kelantan dianaktirikan oleh Kerajaan Perpaduan.
Prestasi enam ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bersatu juga amat lemah. Mereka hanya sekadar pak turut (yes man) kepada Pas. Apa yang perlu ialah menambah kerusi BN-Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan suara semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri lebih kuat.
Ringkasnya, di atas kertas, peluang untuk Mohd. Azmawi Fikri menang di Nenggiri amat cerah. –UTUSAN
DATUK Dr. Mohamed Anwar Omar Din ialah Profesor Adjung di Asian e University (AeU), Subang Jaya.










