Perihal menjaga hati keluarga mangsa dan ‘detektif Conan’ - Utusan Malaysia

Perihal menjaga hati keluarga mangsa dan ‘detektif Conan’

Nur Farah Kartini Abdullah, Zayn Rayyan, Mila Sharmilah Samsusah (Bella) dan Istiqomah Mohd. Rozi antara mangsa pembunuhan kejam yang meruntun hati rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH tentu kita berasa sedih, resah, gelisah dan marah apabila saban minggu negara ini digemparkan dengan kes-kes pembunuhan.

Belum habis tempoh tahanan reman orang disyaki melakukan pembunuhan itu, timbul pula kes bunuh lain. Yang tragisnya, ia dilakukan oleh orang yang dikenali atau ada ikatan kekeluargaan.

Secara purata sebanyak lima kes bunuh berlaku dalam seminggu sepanjang tempoh 2021 hingga Jun tahun ini – Ini yang dikatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain baru-baru ini.

Beliau memberitahu wartawan akhbar ini, sepanjang tempoh itu ia membabitkan 860 kes bunuh di seluruh negara yang kebanyakannya berpunca daripada pertengkaran dan perselisihan faham.

Kini Malaysia yang pada Jun lalu diumumkan berada di kedudukan ke-10 Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) sebagai antara negara paling aman di dunia sedang dikejutkan dengan kes-kes pembunuhan yang ganas lagi kejam.

Kenapa tergamak melakukan pembunuhan itu? Apa yang merasuk mereka? Walhal ada yang disyaki menurut polis tidak mempunyai sebarang kes jenayah lampau sebelum ini.

Membaca komen-komen orang ramai di media sosial yang mengaitkannya dengan banyak melihat filem atau cerita jenayah, saya fikir ini bukan lagi pasal pengaruh cerita-cerita ganas. Jangan suka mengaitkan filem atau drama, kadang-kadang pembunuh ini, TV di rumah pun dia jarang tengok.

Tidak kurang juga yang berlagak seperti detective Conan, menjadi pakar forensik, tahu serba serbi hasil siasatan dan membuat spekulasi yang tidak sensitif dengan perasaan keluarga mangsa terlibat.

Daripada pembunuhan Mila Sharmilah Samsusah (Bella), adik Zayn Rayyan, Nur Farah Kartini Abdullah, tiga beranak yang dibakar rumahnya baru-baru ini dan cikgu Istiqomah Mohd. Rozi yang dipenggal kepalanya, ia menggambarkan betapa kes pembunuhan ini bagaikan begitu mudah dilakukan dengan tiada sedikit rasa kasihan pun terhadap mangsa.

Meneliti satu persatu kes pembunuhan kejam ini, banyak pihak yang mempersoalkan pelakunya jika didapati bersalah oleh mahkamah hanya dihukum penjara. Sedangkan, dia telah melakukan jenayah pembunuhan yang dirancang dengan amat kejam. Kita yang tidak terlibat pun, berasa trauma membaca kronologi kes.

Memotong anggota badan, mencampakkan mayat ke parit atau sungai dan mungkin membakar sekeluarga hidup-hidup dalam rumah, adakah adil dengan hanya hukuman penjara? Tidakkah sepatutnya, yang membunuh perlu dihukum mati juga?

Mengambil contoh kes penderaan dan pembunuhan yang menggemparkan negara melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu, kesemua enam bekas penuntut universiti yang terlibat dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.

Panel tiga hakim itu membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, keenam-enam mereka dihukum penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat terhadap arwah Zulfarhan Osman mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Banyak pihak yang menyambut baik perkembangan terbaru ini, berdasarkan perlakuan-perlakuan kejam terhadap mangsa. Memukul arwah beramai-ramai dan menekap seluruh badannya dengan seterika tentunya terang-terangan boleh membunuh.

Seorang pengamal undang-undang, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar memberitahu saya, fakta dalam setiap kes adalah berbeza dan ada fakta yang melibatkan faktor-faktor keganasan dan perancangan untuk melakukan jenayah. Ini terutamanya di dalam kes pembunuhan atau culik.

“Contohnya, jenayah yang dirancang sehingga mayat mangsa dipotong-potong sebelum dijumpai. Adakah wajar jenayah seumpama ini diberikan hukuman penjara sahaja?,” Soal beliau.

Tambah Syed Azimal, sekiranya ada unsur- unsur begitu maka adalah wajar untuk mahkamah memberikan hukuman mati agar menjadi pengajaran supaya menghindarkan orang lain melakukan jenayah yang sama dan secara tidak langsung dapat melindungi keselamatan masyarakat.

“Saya menyambut baik undang-undang yang memberikan budi bicara mahkamah dalam menjatuhkan hukuman mati atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau di bawah undang-undang juga terdapat peruntukan di dalam Kanun Acara Jenayah 183A memberikan peluang bagi mangsa di dalam kes-kes jenayah memberikan keterangan bagaimana jenayah ini memberikan impak terhadap dirinya, keluarganya dan sebagainya.

“Ini harus juga diberikan pertimbangan dalam menjatuhkan hukuman,” tegas beliau.

Maka sebab itu, apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan bahawa hukuman gantung tersebut adalah detik yang suram dan menyedihkan dalam institusi kehakiman negara, ramai yang mengecam dan marah kerana kenyataan itu bagaikan tidak sensitif dengan kesakitan dan derita yang ditanggung arwah sehingga dia meninggal dunia.

Menganggap ia adalah kenakalan semasa remaja, dan bukan cara pemulihan, ramai meminta Suhakam lebih baik diam dalam isu ini, jika hanya mengeluarkan kenyataan yang menyakiti hati keluarga arwah dan orang ramai yang tidak boleh menerima kekejaman luar biasa itu terhadap mangsa.

Bercakap pasal menegakkan hal-hal hak asasi manusia termasuk ‘memulihkan’ pembunuh apabila tidak kena pada ‘batang hidung’ atau keluarga sendiri, memang senanglah. Yang menanggung derita dan trauma seumur hidup adalah keluarga mangsa.

Dan ketika ini, menambah lagi resah kita ketika kes bunuh saban minggu berlaku, tentulah kes-kes kehilangan budak, remaja dan dewasa yang sering dilaporkan di media sosial.

Kenapa tiba-tiba banyak sangat kes orang hilang ini? Macam mana boleh hilang? Di mana mereka? Selamatkah mereka? Tetapi menimbulkan kemarahan ramai pula apabila rupa-rupanya kebimbangan itu tidak berasas kerana kemudian dilaporkan orang hilang itu lari bersama teman lelaki atau berada di rumah kawan kerana merajuk dan berselisih faham dengan keluarga.

Bimbang pula nanti, apabila ada anak remaja yang betul-betul hilang, ia hanya dianggap masalah keluarga. Tidak perlu diheboh-hebohkan di media sosial kerana kelak yang mendapat aib adalah keluarga yang mengadu kehilangan itu.

Menjadi ibu bapa di zaman ini, cabarannya berganda. Mendidik, pada masa sama memastikan mereka selamat, ketegasan kita adakalanya tidak difahami oleh anak sebab mereka belum matang berfikir selain dipengaruhi pihak luar. Ini juga boleh mengundang jenayah sekiranya tiada kawalan dan tidak berhati-hati.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN