Pengundi tempatan jadi penentu

Pengundi tempatan jadi penentu

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) dan Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail (kanan) pada 17 Ogos ini. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP keputusan ada nilai dan pengukuran. Itu adat pertandingan. Ertinya, menang atau kalah bukan semudah boleh dilupakan begitu saja sebaik selesai mengharungi pertarungan, tanpa diekori persepsi dan reputasi.

Justeru, menghitung segenap sudut yang boleh mempengaruhi menang-kalah dalam mana-mana pertandingan merupakan suatu cabaran besar kepada setiap pihak yang terbabit.

Gagal menganalisa faktor pendorong atau punca kelemahan membawa risiko usaha tidak menemui matlamat, langkah tidak mencapai hasrat.

Demikianlah cabaran awal yang perlu menjadi perhitungan pihak-pihak yang berkaitan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Gua Musang yang suasananya semakin ‘hangat’ menjelang tarikh pengundian pada 17 Ogos.

Elok jika dikatakan pengundi tempatan adalah cabaran utama yang terpaksa dipikul dalam PRK ini. Mereka adalah penentu keputusan, kerana kuasa undi terletak di tangan mereka. Perlu ada pertimbangan dan penilaian tersendiri setelah melihat dan merasa sendiri kewajaran dan keperluan memilih mana-mana calon atau parti yang dianggap sesuai.

Cabaran bagi pengundi juga ialah keupayaan menilai antara realiti atau hanya terpengaruh dengan sumber kempen. Mereka tidak perlu ‘pening’ atau terkeliru. Di hadapan mereka, tentu mudah untuk mengenali personaliti calon-calon yang bertanding. Cari peluang untuk meninjau latar belakang calon, termasuk pelajaran, pengalaman mahu pun sedikit sebanyak hal-hal peribadi. Maklumlah, mereka bakal dipilih menjadi pemimpin.

Sebagai pengundi, mereka juga perlu mampu mengagak atau seboleh-bolehnya mengenal pasti parti mana yang berupaya menepati janji atau sekadar mengumpan retorik slogan penyedap pendengaran. Berpandulah pada dalil ‘rekod upaya’ parti-parti yang pernah diberi kemenangan sebelum ini.

Bagi Kerajaan Negeri Kelantan yang didominasi Pas, cabaran besar mereka ialah menentukan sokogan pengundi memihak kepada mereka. Jika tidak, tentu akan menimbulkan reputasi sokongan rakyat terhadap kerajaan yang ada. Kalah atau menang, sedikit sebanyak dapat mengukur populariti atau kemerosotan keyakinan terhadap prestasi kerajaan negeri.

Mereka sendiri dapat menyelami sejauh mana pemerintahan kerajaan negeri relevan, menepati citarasa atau dalam kata mudah, apakah kecaknaan yang dilaksanakan kerajaan negeri selama ini dapat diterima dengan senang hati khususnya bagi rakyat di Nenggiri?

Juga, jika kecundang, reputasi besar yang terpaksa diterima oleh Kerajaan Negeri Kelantan ialah betapa mereka ditolak oleh sebahagian besar penduduk Gua Musang, kerana satu lagi kawasan dalam kawasan Palimen Gua Musang iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berada di tangan Barisan Nasional (BN).

Barangkali penduduk Gua Musang mahu terus membangun bersama agensi-agensi kerajaan Persekutuan yang sekian lama bergerak maju di daerah berkenaan? Yang sukar disangkal ialah peranan berkesan yang dimainkan oleh agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Juga, keberkesanan peranan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

Tempo pembangunan tidak mampu dilihat dalam tempoh seminggu dua. Ertinya, rakyat dapat melihat dengan jelas pihak mana membangunkan Gua Musang secara berterusan atau sekadar ‘berkokok’ apabila tiba musim pilihan raya, kononnya berjanji mahu membangunkan kehidupan rakyat. Gua Musang tidak cukup untuk dibangun dan dimajukan dengan sekadar kata-kata “berpotensi maju”. Tetapi yang lebih penting ialah perancangan yang kemas, disusuli tindakan yang terusun dan berkesan.

ISYARAT
Seramai 20,245 pengundi berdaftar layak mengundi pada 17 Ogos ini. Jumlah besar pengundi terdiri daripada kaum Melayu seramai 17,561 orang, masyarakat Orang Asli (2,560) dan Cina (119). Masing-masing tentu dapat menilai pada perspektif tentang pembelaan kebajikan dan jaminan masa depan berpandukan layanan kerajaan negeri mahu pun keberkesanan agensi-agensi Persekutuan di persekitaran mereka.

Bagi calon yang mewaikli parti gabungan kerajaan Persekutuan, cabaran mereka ‘tidak seberat’ yang dipikul oleh parti dalam gabungan kerajaan negeri. Kelebihan (bonus) berada di tangan mereka. Menang, bermakna itu isyarat rakyat Nenggiri kurang yakin dengan prestasi kerajaan negeri dan pada masa yang sama mereka mahu melihat Malaysia terus stabil dan membangun secara berkesan di bawah kerajaan Persekutuan yang ada sekarang.

Memberi laluan kemenangan kepada calon BN bermakna, para pengundi Nenggiri ingin sederak selangkah dengan kerajaan Persekutuan untuk menikmati pembangunan lebih bermakna khususnya di Gua Musang.

Masa yang berlalu tentu rugi tanpa diisi dengan sebaiknya. Justeru, dengan pelbagai sumber yang terdapat di sekitar kawasan Hulu Kelantan, elok jika dicari peluang untuk dapat diurus dan dimajukan secara berkesan segala sumber yang ada khususnya untuk kebaikan rakyat tempatan.
Apapun, cabaran bagi calon BN ialah untuk memperoleh sokongan moral daripada rakyat Kelantan untuk menjadi bekalan rangsangan bagi bergerak gagah di persada politik tanah air.

Jika menang, barangkali boleh diambilkira sebagai mesej atau isyarat awal, bahawa BN mampu meletakkan harapan untuk memenangi semula hati rakyat Kelantan dan bertapak ‘lebih jauh’ lagi di bumi Kelantan.

Pilihan tepat menggamit manfaat, pilihan bijak memungkinkan masa depan mampu melonjak.-UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×