Terima kasih PMX!!! Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelarasan gaji baharu sebagai bermulanya Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai 1 Disember ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Di bawah SSPA, kerajaan telah menggariskan beberapa elemen penting seperti disiplin, tatakelola, kenaikan pangkat, penilaian prestasi dan integriti membabitkan penjawat awam. Menerusi SSPA, penjawat awam bakal menerima pelarasan gaji 15 peratus hingga 7 peratus bagi kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional serta pengurusan tertinggi.
Pelarasan gaji boleh memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada penerima manfaat (penjawat awam) dan ahli keluarganya. Kesan yang pasti dijangka adalah isu kenaikan harga barangan dan keperluan harian yang terus menghantui rakyat.
Menerusi pelarasan gaji, masalah kewangan dalam kalangan penjawat awam dapat dikurangkan, tetapi bagaimana dengan isu kenaikan harga barangan dan keperluan harian? Andai itu berlaku, pelarasan gaji tidak memberi kesan besar dan keharmonian dalam kalangan penjawat awam.
Dalam konteks dasar awam, pengenalan SSPA dengan penyelarasan gaji adalah keputusan penting Kerajaan Perpaduan kepada kumpulan penjawat awam yang terakhir disemak pada 2013. Pelarasan itu mengambil kira selain isu beban kewangan penjawat awam, ia dilihat sebagai mekanisme bagi meningkatkan motivasi kerja dan prestasi cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan secara berkesan dan cekap kepada rakyat.
Dalam isu ini, seperkara yang cuba saya bangkitkan adalah kesan lain daripada pelarasan gaji tentang tahap indeks sokongan penjawat awam kepada Kerajaan Perpaduan yang sinonim dengan Dasar Malaysia Madani (DMM).
Sebelum ini, kumpulan saya telah menjalankan kajian tinjauan bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 2023, di mana dapatan kajian menunjukkan tahap sokongan penjawat awam terhadap pelaksanaan DMM agak rendah berbanding kumpulan mahasiswa.
Jadi, penerimaan terhadap DMM itu memberi petunjuk indeks sokongan kepada Kerajaan Perpaduan. Ini adalah kesan (outcomes) pelaksanaan DMM sama ada ia memberi kesan positif (menerima) atau negatif (menolak). Hal yang sama juga boleh berlaku kesan daripada pelarasan gaji apabila ia juga boleh mempengaruhi indeks penjawat awam kepada Kerajaan Perpaduan.
Walaupun pelarasan gaji itu disambut baik, tetapi indeks sokongan penjawat awam dalam lingkungan 1.5 juta orang belum tentu majoritinya berpihak kepada Kerajaan Perpaduan.
Ini adalah cabaran yang bakal dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-16 akan datang. Pastinya ujian awal kesan pelarasan gaji ini dapat dinilai berkaitan indeks sokongan penjawat awam dalam PRN bagi DUN Sabah pada tahun hadapan.
Dalam PRN Sabah nanti dapat dinilai penerimaan pengundi melibatkan penjawat awam kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Dalam perkara ini, maklum balas daripada rakyat termasuk penjawat awam terhadap sesuatu dasar seperti pelarasan gaji boleh dinilai dalam bentuk undi yang diterima.
Oleh itu, pelarasan gaji belum tentu menjamin sokongan majoriti penjawat awam berpihak kepada Kerajaan Perpaduan seperti mana bakal berlaku dalam PRN Sabah tahun hadapan. Jika sokongan pengundi tidak berpihak kepada Kerajaan Perpaduan, maka pelaksanaan DMM perlu dikaji dan disemak semula walaupun pelarasan gaji sudah dilakukan.
Indeks sokongan yang tinggi melibatkan kumpulan penjawat awam adalah penting kepada Kerajaan Perpaduan. Hal ini kerana penjawat awam adalah jentera utama dalam melaksanakan segala dasar dan tindakan kerajaan demi kepentingan rakyat.
Jika berlaku penolakan dan protes secara senyap dalam kalangan penjawat awam, maka ia memberi kesan buruk kepada Kerajaan Perpaduan walaupun menerusi DMM sebagai kerangka dasar reformasi pembangunan negara. Dalam hal ini, proses penyampaian perkhidmatan secara berkesan dan cekap tidak dapat dinikmati oleh rakyat hingga kerajaan disalahkan.
Apa lagi keperluan penjawat awam? Jika dibandingkan dengan kumpulan masyarakat yang lain, adakah penjawat awam menerima manfaat yang sama daripada dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan? Berbanding masyarakat nelayan, penjawat awam tidak banyak menerima inisiatif dan insentif terutama bagi kumpulan pelaksana atau sokongan.
Jadi, demi kepentingan kumpulan ini, selain semakan gaji, maka kerajaan juga perlu menilai daripada segi keupayaan dan kelayakan misalnya, untuk memiliki kediaman yang bersesuaian, soal kebajikan yang membabitkan tanggungan khususnya anak-anak, perlindungan insurans, skim berpencen dan pengembangan kerjaya kepada gred jawatan yang lebih tinggi.
Dalam momentum penjawat awam menzahirkan kesyukuran di atas pelarasan gaji, kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu melakukan bedah siasat dan kajian selidik berhubung indeks sokongan penjawat awam kepada Kerajaan Perpaduan.
Perkara ini adalah penting kerana tanpa sokongan kuat penjawat awam, kelemahan yang berlaku dalam sistem perkhidmatan awam dilihat secara langsung oleh rakyat sebagai kelemahan di pihak Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, penjawat awam perlu bersyukur di atas keputusan Kerajaan Perpaduan membuat pelarasan gaji untuk lebih komited, berdisiplin, bermotivasi, berprestasi tinggi dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab, amanah dan yang menurut perintah.
Prof. Madya Dr. Malike Brahim ialah Ketua Unit Kajian Kepimpinan Madani, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia.










