SECARA umum prestasi pendidikan anak-anak Orang Asli masih berada di peringkat rendah walaupun di kebanyakkan penempatan sudah ada program dan kemudahan asas pendidikan.
Hasil daripada program pendidikan yang dijalankan kerajaan dan pendedahan yang diberikan serta kemudahan komunikasi sekarang, masyarakat Orang Asli nampak berminat dalam pendidikan.
Kajian tentang keperluan pendidikan moden ke atas Orang Asli perlu lebih agresif dan sistematik, mengambil peluang kehendak generasi baharu masyarakat berkenaan.
Walaupun ada kajian menyatakan mereka masih mengamalkan sikap lama dan kurang berminat terhadap pendidikan, usaha mengubah golongan ini mesti diteruskan dengan bantuan teknologi terkini.
Banyak faktor yang mempengaruhi sikap dan minat terhadap pendidikan. Antaranya sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang pelajaran anak-anak, pelajar kurang motivasi, persekitaran fizikal dan budaya yang tidak menerima kemajuan serta cabaran yang dihadapi guru.
Pendekatan pembelajaran seperti nyanyian, aktiviti bercerita, debat, lakonan, puisi dan aktiviti lapangan bagi memahami sains dan kemahiran hidup mungkin boleh mengubah sikap dan minat dalam pendidikan.
Latihan berfikir secara saintifik juga memberi peluang baharu untuk kanak-kanak ini minat kepada pendidikan di sekolah.
Mungkin faktor ekonomi dan cara hidup juga perlu diberikan perhatian segera. Ada tempat yang mungkin berlaku kejutan budaya akibat daripada pembangunan.
Kehidupan mereka yang bekerja makan gaji di ladang atau kilang merubah cara berfikir, gaya hidup dan permintaan yang lebih untuk kehidupan seperti masyarakat bandar.
Perubahan ini memberikan tekanan baharu kepada faktor sosial, ekonomi dan alam semula jadi. Pendedahan baharu ini mesti selari dengan perubahan budaya, pendidikan dan ekonomi mereka.
Program pendidikan yang sistematik perlu diadakan melalui aktiviti prasekolah, pembelajaran di sekolah rendah dan menengah serta penglibatan masyarakat dalam pendidikan tidak formal.
Pendidikan Orang Asli memerlukan reka bentuk kurikulum khas agar mereka lebih minat dan tidak tercicir dalam pendidikan serta tidak ketinggalan dalam penghayatan budaya tradisi.
Antara faktor yang perlu ditangani ialah psikologi, kesedaran kendiri dan keluarga, perkembangan identiti, hubungan sosial, kepentingan komuniti demi perubahan taraf serta gaya kehidupan masa hadapan. Kebergantungan kepada sumber hutan semata-mata mungkin sudah terhad dan memerlukan pendekatan baharu.
Dari sudut psikologi, motivasi boleh meningkatkan semangat pelajar untuk menuntut ilmu di peringkat sekolah sehingga ke menara gading. Peranan ibu bapa, guru dan kerajaan penting dalam membantu anak-anak Orang Asli minat untuk belajar selain berdaya saing hingga ke peringkat antarabangsa.
Dalam bidang pekerjaan moden, ada anak-anak Orang Asli sudah menjawat jawatan penting seperti pengarah, pegawai pentadbir di jabatan kerajaan, doktor perubatan, jurutera, ahli sains, pensyarah, guru dan lain-lain bidang pekerjaan termasuk pramugari syarikat penerbangan.
Bagi masyarakat Orang Asli yang sudah terdedah kepada kejayaan dalam akademik, mereka sudah berubah persepsi terhadap pendidikan. Suku kaum Semelai misalnya antara yang mempunyai persepsi positif terhadap pendidikan dan sentiasa memberikan galakkan kepada anak-anak.
Ekosistem sekolah mesti dapat menggalakkan mereka untuk belajar dan mengubah pandangan yang sekolah adalah tempat untuk bermain, berjumpa kawan dan makan.
Keadaan sekolah dan aktiviti menarik dapat mengubah sikap pelajar, mewujudkan pengaruh rakan sebaya untuk menarik minat pelajar lain datang ke sekolah, meningkatkan keyakinan pelajar, sokongan ibu bapa serta masyarakat seluruhnya.
HAK TERIMA PENDIDIKAN
Orang Asli mempunyai hak mendapat pendidikan yang sempurna sesuai peruntukan Perlembagaan dan perundangan antarabangsa. Peratusan rendah dalam celik huruf dalam kalangan Orang Asli mesti ditangani segera.
Kemiskinan komuniti Orang Asli menjadi salah satu punca berlakunya keciciran pendidikan.
Mengikut rekod pada 2020, terdapat lebih kurang 205,000 penduduk Orang Asli daripada etnik Negrito, Senoi dan Proto-Melayu.
Status kemiskinan Orang Asli mengikut maklumat selepas Pandemik Covid-19 berjumlah lebih 90 peratus adalah mundur dan sederhana mundur.
Sementara lebih 10 peratus anak Orang Asli dikesan tercicir daripada sistem pendidikan pada 2022 disebabkan oleh penempatan jauh dan ibu bapa tidak mengambil berat tentang akademik.
Orang Semelai dikatakan lebih maju, terdedah kepada persekitaran yang lebih aktif dan kurang kebergantungan kepada sumber hutan sebagai pendapatan harian mereka.
Malah sudah ramai anak-anak Semelai yang sudah berjaya dalam pendidikan dan ada yang ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Namun begitu mereka mesti terus diberikan perhatian dengan pendekatan baharu untuk menjadi model kepada masyarakat Orang Asli seluruhnya.
Kebetulan Orang Semelai yang tinggal di kawasan Tasek Bera yang dimasyhurkan sebagai Tapak Ramsar Pertama di Malaysia dan mempunyai kepentingan antarabangsa. Peranan mereka diperlukan dalam memastikan kelestarian Tapak Ramsar.
Justeru itu, pendekatan pendidikan anak-anak Semelai mesti berkisar sekitar Tasek Bera dan apa yang mereka nampak hari-hari dalam kehidupan.
Melalui pendekatan itu, mereka akan lebih faham tentang kepentingan memanfaatkan Tapak Ramsar.
Sempena sambutan Hari Antarabangsa Orang Asli Sedunia (HAOAS) tahun ini, penekanan kepada pendidikan berasaskan Tasek Bera akan menjadi tumpuan.
Modul khas disediakan oleh Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) untuk membantu pembelajaran dan pengajaran serta aktiviti kokurikulum di sekolah.
Dengan pengetahuan yang jelas tentang sains alam sekeliling, generasi akan datang akan lebih memahami tentang Tapak Ramsar dan komited untuk menjaganya.
Berdasarkan kepada budaya dan amalan orang Semelai berkaitan kelestarian hutan, mereka layak diiktiraf sebagai pihak yang mampu berperanan dalam menjaga kepelbagaian biologi negara selain menyumbang dalam pemuliharaan Tapak Ramsar.
Semoga sambutan tahun ini dapat menganjakkan perubahan baharu dalam pendidikan anak-anak Orang Asli agar berjaya dalam akademik tanpa meninggalkan budaya asal.
Bagi Orang Semelai khususnya, dengan pengetahuan berkaitan alam semula jadi, mampu berfikir secara saintifik dan menghargai amalan nenek moyang mereka dahulu, boleh menjadi pasukan penting menjaga Tapak Ramsar selain dalam masa sama mendapatkan manfaat daripadanya untuk generasi akan datang.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).










