MIC perlu buat keputusan bijak sebelum hadapi PRU16

MIC perlu buat keputusan bijak sebelum hadapi PRU16

SEJAK ditubuhkan pada 1946, satu peristiwa penting dalam persidangan Malaysian Indian Congress (MIC) berlangsung pada September 2024 dijangka menjawab teka-teki sama ada MIC akan kekal bersama BN atau keluar. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBIL rakyat Malaysia menyambut hari kebangsaan pada bulan Ogos 2024 dengan tema ‘Malaysia Madani :Jiwa Merdeka’, harus mengenang sumbangan parti MIC yang merupakan pelopor kemerdekaan bersama UMNO dan MCA. Meskipun MIC sudah melalui liku-liku perjalanan yang penuh mencabar sejak ditubuhkan pada tahun 1946, warga kaum India akan menyaksikan satu peristiwa penting dalam persidangan Malaysian Indian Congress (MIC) yang dijangka akan berlangsung pada bulan September 2024. Persidangan tersebut dijangka akan menjawab teka-teki sama ada MIC akan kekal bersama BN atau keluar?

MIC kini berusia 78 tahun. Ini membuktikan MIC sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan untuk terus kekal relevan sebagai parti yang menjadi platform perjuangan hak dan kepentingan kaum India di Malaysia.
Dalam usaha membela kepentingan kaum India, MIC pernah menyertai Majlis Tindakan Bersama Seluruh Tanah Melayu (All Malaya Council of Joint Action/AMCJA) pada era sebelum merdeka. Menyertai AMCJA untuk memprotes terhadap usaha kerajaan penjajah British cuba memperkenalkan perlembagaan baharu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 tanpa rundingan bersama MIC dan MCA. Perlembagaan Persekutuan 1948 adalah perlembagaan baharu bagi menggantikan gagasan Malayan Union yang ditentang hebat oleh orang Melayu.

AMCJA adalah satu majlis yang disertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Komunis Malaya, New Democratic Youth League, MPAJA Ex-Servis Comrade’s, Malayan Democratic Union (MDU) dan Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU), Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang merupakan gabungan parti-parti Melayu seperti Api, Awas, Geram dan Hizbul Muslimin. Putera merupakan pertubuhan yang disertai oleh hampir 80 buah kesatuan orang Melayu pada tahun 1947.

Gabungan AMCJA-Putera boleh dianggap sebagai bukan sahaja satu bentuk kerjasama antara pelbagai pertubuhan malah merupakan satu bentuk pakatan antara pertubuhan yang mewakili orang bukan Melayu dan Melayu pada julung kalinya dalam sejarah Tanah Melayu.
Pada awalnya MIC masuk gelanggang pilihan raya pada tahun 1952 bagi merebut kerusi Ahli Majlis Bandaran Kuala Lumpur. Dalam pemilihan tersebut, 12 kerusi dipertandingkan daripada calon-calon yang mewakili IMP dan Perikatan. Perikatan adalah gabungan antara UMNO dan MCA cawangan Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada tahun 1952. Antara calon-calon IMP, hanya dua calon yang diwakili oleh MIC sahaja menang dalam pemilihan tersebut manakala bakinya sembilan kerusi lagi dimenangi oleh calon-calon yang mewakili Perikatan.

Kemenangan calon-calon Perikatan telah menyedarkan kepimpinan MIC terhadap pentingnya kerjasama politik dengan UMNO dalam memastikan kemenangan calon-calon MIC dalam pilihan raya. Ekoran itu, MIC keluar daripada IMP dan menyertai pakatan kerjasama antara UMNO dan MCA pada tahun 1954.

Seterusnya MIC menyertai pilihan raya-pilihan raya yang berikutnya mulai tahun 1955 dengan tiket Perikatan. Pada PRU1 yang berlangsung pada tahun 1955, sejumlah 52 kerusi dipertandingkan dengan dua gabungan parti iaitu Perikatan dan Parti Negara. Perikatan diketuai Tunku Abdul Rahman, yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC.

Daripada jumlah 52 kerusi yang dipertandingkan, UMNO diperuntukkan dengan 35 kerusi, MCA dengan 15 kerusi dan MIC pula dengan dua kerusi. Dua kerusi parlimen, Kinta Utara dan Batu Pahat diagihkan kepada MIC dan kedua-dua kawasan itu adalah kawasan majoriti pengundi Melayu. Presiden MIC, V.T. Sambanthan bertanding di kerusi Parlimen Kinta Utara (Sungai Siput), Perak dan satu lagi kerusi Parlimen Batu Pahat, ditanding oleh Chelvasingam MacIntyre (S.C.MaCentyre), pemimpin MIC dari Johor.

Meskipun calon MIC bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu, kedua-dua calon MIC memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan itu dengan sokongan hebat daripada pengundi India serta pengundi Melayu.
Kemenangan dua calon MIC pada tahun 1955 telah menyedarkan kepimpinan MIC untuk terus bersama UMNO yang menerajui gabungan Perikatan dan seterusnya BN yang ditubuhkan pada tahun 1974.

Kerjasama MIC dengan UMNO telah menyebabkan bukan sahaja calon-calon MIC, malah calon-calon UMNO juga memenangi kebanyakan kerusi yang dipertandingkan. Namun, prestasi MIC merosot mulai PRU12 kerana sebahagian besar pengundi India didakwa telah alih sokongan mereka kepada parti bukan BN. Pengundi India didakwa terpengaruh dengan propaganda politik kononnya kerajaan BN yang dikuasai UMNO mengenepikan kepentingan sah kaum India sejak merdeka. Sentimen dan persepsi tersebut telah menyebabkan tercetusnya gelombang Hindraf menjelang PRU12 yang menyebabkan ‘tsunami politik’ yang mengubah corak dan pola pengundian dalam kalangan pengundi India mulai PRU12.

Sebaliknya, calon-calon UMNO juga menghadapi kemerosotan sokongan daripada pengundi Melayu di kawasan-kawasan majoriti Melayu, termasuk di luar bandar yang menjadi tiang seri kekuatan UMNO. Pola pengundian dalam kalangan pengundi Melayu jelas menunjukkan BN sekali gus UMNO bukan parti pilihan utama mereka sejak PRU14. Sebahagian besar pengundi Melayu alih sokongan mereka kepada parti bukan BN.

Memandangkan tiada kawasan yang majoriri pengundi India, maka calon-calon MIC banyak bergantung kepada sokongan pengundi Melayu. Tetapi trend kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada BN mutakhir ini dijangka akan memberi kesan kepada peluang kemenangan calon-calon MIC dalam pilihan raya.

Perkembangan dan perubahan paradigma dalam pola pengundian dalam kalangan pengundi Melayu, pengundi yang banyak membantu kemenangan calon-calon MIC, perlu diambil kira dalam perbincangan, perbahasan atau musyawarah dengan berhemah oleh para perwakilan apabila mengambil keputusan untuk menentukan hala tuju masa depan politik MIC. MIC yang mencecah 78 tahun mampu membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi dilema ini.

Apa pun, para perwakilan MIC pada perhimpunan agung akan datang dijangka akan memberi mandat kepada presidennya, Tan Sri SA. Vigneswaran untuk membuat keputusan yang bijak demi kelangsungan MIC dan kepentingan kaum India. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial-politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN