Kepimpinan melalui teladan selari prinsip ajaran Islam

Kepimpinan melalui teladan selari prinsip ajaran Islam

ATOMIC Habits, tulisan James Clear menyajikan pendekatan relevan dalam konteks kepimpimpinan dengan menekankan betapa pentingnya perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten untuk mencapai hasil yang besar. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPIMPINAN melalui teladan adalah satu konsep fundamental dalam pengurusan yang menuntut pemimpin untuk tidak hanya memegang jawatan, tetapi menjadi contoh terbaik kepada pekerja. Ini bermakna pemimpin harus menunjukkan nilai dan prinsip yang diajarkan melalui tindakan mereka sendiri, bukan sekadar melalui kata-kata atau arahan.

Dengan cara ini, pemimpin bukan sahaja memimpin pekerja dalam mencapai matlamat dan visi bersama tetapi memberi inspirasi dan motivasi yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi dan semangat kerja mereka.

Naskhah buku, Atomic Habits oleh James Clear menyajikan pendekatan yang sangat relevan dalam konteks ini dengan menekankan betapa pentingnya perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten untuk mencapai hasil yang besar.

James menunjukkan amalan tabiat kecil yang positif dan membuat penyesuaian kecil secara berterusan membolehkan seseorang mencapai perubahan signifikan dalam jangka panjang. Prinsip ini mengajar kejayaan bukanlah hasil daripada satu tindakan besar tetapi merupakan usaha kecil yang berterusan yang dikumpulkan dari masa ke masa.

Di samping itu, ajaran Islam memberikan panduan moral yang kuat dan komprehensif selari dengan konsep ini. Islam menekankan pentingnya integriti, keadilan dan amanah dalam setiap tindakan.

Rasulullah SAW, adalah teladan terbaik dalam amalan kepimpinan yang berintegriti serta bertanggungjawab, yang terus diiktiraf dan dihargai sehingga hari ini.

Amat kritikal untuk untuk menambah elemen kepercayaan dalam memastikan keberkesanan amalan kepimpinan tersebut. Kepercayaan adalah asas kepada hubungan yang kukuh antara pemimpin dan pekerja.

Apabila pemimpin menunjukkan konsistensi dalam tindakan dan mematuhi prinsip-prinsip seperti kejujuran, ketepatan kerja mahupun komitmen, ia membina kepercayaan yang mendalam dalam kalangan pekerja.

Kepercayaan ini, seterus­nya, memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan pekerja, mencipta suasana kerja yang lebih harmoni dan produktif.

Prinsip ini sejajar dengan ajaran Islam yang menggariskan pentingnya amalan berterusan dan konsistensi. Rasulullah SAW bersabda, “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah yang kekal walaupun sedikit” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

TABIAT BERASASKAN IDENTITI
Konsep tabiat berasaskan identiti dalam Atomic Habits mengajarkan perubahan tabiat yang berfokus pada pembentukan identiti jauh lebih efektif daripada sekadar mengubahnya semata-mata. Dalam erti kata lain, apabila seseorang berusaha untuk membentuk tabiat baharu dengan mengaitkannya dengan identiti diri mereka, perubahan tersebut menjadi lebih berkekalan dan memberi impak yang lebih besar.

Prinsip ini selaras dengan ajaran Islam, yang menekankan pentingnya tawheed (keesaan Allah SWT) dan nilai moral yang terdapat dalam al-Quran serta sunnah. Dalam Islam, pembentukan identiti peribadi yang berlandaskan nilai murni seperti amanah, keadilan dan kasih sayang merupakan teras kepada kehidupan yang berkat.

Dalam konteks kepimpinan, ini bermakna pemimpin yang aktif mengamalkan nilai Islam dalam setiap tindakan mereka akan membentuk budaya organisasi yang selaras dengan prinsip-prinsip tersebut.

De­ngan mem­pa­mer­kan identiti yang berlan­daskan nilai-nilai Islam, pemimpin tidak hanya memberi arahan tetapi juga menunjukkan bagaimana ia diterapkan dalam tindakan sebenar. Ini menguatkan lagi integriti dan kredibiliti pemimpin serta menggalakkan pekerja untuk mengikuti jejak yang sama.

Dalam Atomic Habits, konsep reka bentuk persekitaran menekankan pentingnya mendukung tabiat baik untuk mencapai kejayaan. Ini menunjukkan kejayaan sering kali bergantung kepada bagaimana persekitaran disusun untuk memudahkan amalan positif. Prinsip ini sejajar dengan usaha dalam Islam untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi kebaikan dan kebajikan, seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Pemimpin yang berusaha mencipta persekitaran kerja yang adil, positif dan menyokong nilai-nilai seperti kejujuran, kerjasama dan tanggungjawab akan membentuk budaya kerja yang sihat serta produktif.

GABUNGAN TABIAT BAHARU DAN SEDIA ADA
Konsep ‘habit stacking’ dalam Atomic Habits melibatkan penggabungan tabiat baharu dengan tabiat sedia ada untuk memperkukuh amalan baik. Prinsip ini menunjukkan bahawa menambahkan tabiat baharu dalam rutin sedia ada menjadikannya lebih mudah diterima dan diteruskan.

Dalam Islam, prinsip ini dapat diterjemahkan kepada amalan istiqamah, yang mana kebaikan diperkuat dan diperkukuhkan dengan amalan yang telah ada, sebagai tanda kesungguhan dan komitmen yang berterusan.

James juga menekankan pentingnya meraikan kejayaan kecil sebagai cara untuk memperkukuh tabiat baik. Prinsip ini menunjukkan bahawa pengiktirafan terhadap pencapaian kecil dapat meningkat­kan motivasi dan ketahanan dalam amalan positif. Konsep ini sejajar dengan ajaran Islam mengenai penghargaan dan syukur.

Rasulullah mengajarkan pentingnya mengiktiraf pencapaian dan memberi penghargaan kepada usaha yang baik, seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 261, bermaksud, “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai,” Ayat ini menekankan setiap usaha kecil mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT.

PENGHARGAAN
Memberi penghargaan kepada pencapaian kecil bukan sahaja memotivasi pekerja tetapi juga membina kepercayaan yang mendalam. Apabila pemimpin mengiktiraf dan menghargai usaha serta penca­paian pekerja. Ini menun­jukkan mereka meng­hargai sumbangan dan berkomitmen terhadap kesejahteraan serta kejayaan kakitangannya.

Kepimpinan melalui teladan yang mengintegrasikan prinsip-prinsip Atomic Habits, ajaran Islam, dan elemen kepercayaan membentuk pendekatan yang menyeluruh dan berkesan dalam mempengaruhi serta memotivasi pekerja.

Dalam konteks ini, perubahan kecil yang dilakukan secara berterusan, selari dengan prinsip Atomic Habits, membantu membina tabiat yang produktif. Ajaran Islam menekankan konsistensi dalam amal ibadah, menunjukkan bahawa usaha berterusan, walaupun kecil, mendapat ganjaran besar.

Ciptaan persekitaran yang menyokong nilai-nilai seperti kejujuran dan kerjasama, serta memberikan penghargaan kepada pencapaian, memperkukuhkan hubungan serta motivasi antara pemimpin dan pekerja. Pendekatan ini memastikan kejayaan berterusan dalam setiap aspek organisasi, menjadikan kepimpinan melalui teladan sebagai amalan yang holistik, berkesan dan sejajar dengan prinsip-prinsip Islam.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah, Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC @IIUM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×