Jual barang di tempat makan untuk lulus subjek keusahawanan? - Utusan Malaysia

Jual barang di tempat makan untuk lulus subjek keusahawanan?

Restoran atau kedai makan masih menjadi tumpuan jurujual. Adakah cara ini masih sesuai di zaman ini?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA yang marah-marah apabila jurujual datang ke meja mereka ketika sedang makan. Sebab itu, di kebanyakan restoran ada ditampal ‘jurujual dilarang masuk’ atau ‘dilarang menjual di sini’.

Sepatutnya zaman menjual di tempat makan ini, sudah berakhir. Sekarang ini, boleh saja menjual secara online, atau dalam akaun media sosial masing-masing.

Pun begitu, orang yang masih menjual barang secara bersemuka dan pergi ke tempat awam ini pada saya tentu punya jiwa yang kental lagi berani berbanding yang hanya menarik muka panjang tanda tidak mahu atau tidak suka diganggu lebih-lebih lagi ketika makan.

Kata orang, ketika lapar jangan datang berjual benda-benda lain, kecuali jual makanan. Orang lapar, boleh jadi pemarah. Saya fikir, ada banyak benarnya. Selain jangan kacau orang ketika tidur, masa makan pun agak sensitif untuk diganggu. Jadi, siapakah yang mula-mula mencetuskan idea ini? Strategi pemasarankah ini?

Beberapa bulan lalu, datang seorang lelaki saya agak awal 20-an. Ketika itu saya sedang menunggu makanan bersama anak-anak.

“ Kak beli pewangi ini, boleh letak dalam kereta atau dalam almari baju,” katanya dengan suara agak gugup. Mungkin dia nampak saya telah melihat dia tidak dilayan di meja sebelah atau cuak melihat muka saya yang serius.

“Dari mana beli ini?” Saya sebenarnya tidak ada niat apa-apa dengan soalan itu. Tetapi apabila dia jawab dari sebuah kolej yang mengkehendakinya menjual barang itu dan markah diberikan jika dia dapat menjual banyak, saya jadi terkejut.

“ Ini lebih kurang macam intern lah ya?” Tanya saya. Agak pelik kenapa sebuah kolej yang mengajar subjek keusahawanan meminta pelajarnya menjual barang dengan cara begitu.

Dan sambil menunjuk kepada rakan-rakan lain yang menjual benda yang sama di sekitar restoran itu, katanya, mereka tidur di masjid. Esok atau lusa balik semula ke kolej.

Sampai tidur di masjid? Biar betul ini? Dan dia pun menunjukkan surat dari kolej yang saya pun tidak ingat apa namanya.

Tidak seperti orang di meja sebelah. Saya belilah juga. Bukan pasal suka barang itu, tetapi kasihan.

“Adik masuk live di Shopee lagi boleh jual, tak payah jumpa orang macam ini.,” kata saya dan dia hanya tersengih-sengih.

Dan baru-baru ini, saya terjumpa lagi lebih kurang modus operandi yang sama, kata budak lelaki itu, dia belajar kursus keusahawanan kena jual pelekat cukai jalan kenderaan.

“Adik sekarang ramai tak tampal cukai jalan di kenderaan. Tunjuk road tax di telefon saja kalau polis atau JPJ tahan,” kata saya. Dia mengangguk saja.

Saya beli juga bukan untuk tampal tetapi kasihan. Apabila tengok yang menjual itu mungkin sebaya anak saya, empati mengatasi penolakan.

Hairan cikgu atau pensyarah apa suruh jual-jual barang begini. Sekarang ini jualan boleh dilakukan dalam talian atau melalui media sosial. Kenapalah hendak disusah-susahkan dengan cara begitu. Pensyarah itu hidup zaman apa?

Kalau hendak hantar pelajar untuk latihan praktikal pun, hantarlah di syarikat-syarikat yang dapat mengajar mereka tentang strategi-strategi pemasaran. Boleh timba pengalaman di situ.

Atau adakah budak-budak ini dipergunakan dan didalangi sindiket seperti yang meminta sedekah di tepi jalan? Cuma modus operandinya guna anak-anak muda yang kononnya sedang belajar. Jangan buat begini pada anak-anak. Mereka sedang mencipta masa depan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN