MALAM Sabtu lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur berlangsung pelancaran dua buah buku tokoh terkenal Pakistan-Kanada, Shaykh ul Islam Dr. Muhammad Tahir-ul-Qadri, bertajuk Fatwa Tentang Terorisme dan Bom Bunuh Diri serta Lakaran Sebenar Nabi Muhammad.
Kedua-dua buah buku ini asalnya diterbitkan dalam bahasa Inggeris tetapi diterjemahkan ke bahasa Malaysia dan Indonesia oleh Minhaj Ul Quran Antarabangsa (MQI).
Pelancaran kedua-dua buah buku dalam bahasa Malaysia dan Indonesia ini adalah satu langkah yang signifikan kerana kedua-dua buah buku ini adalah antara sumbangan penting Tahir-ul-Qadri dalam wacana antarabangsa mengenai Islam dan keamanan.
Buku Fatwa Tentang Terorisme dan Bom Bunuh Diri menjadi rujukan utama dalam wacana antarabangsa mengenai Islam dan keamanan selain ia terus memberi impak positif dalam usaha global untuk memerangi ekstremisme, sejak diterbitkan pada 2010.
Buku ini adalah sebuah karya yang penting dalam menangani isu-isu ekstremisme dan keganasan yang sering dikaitkan dengan penganut Islam. Buku ini dengan beraninya menegaskan bahawa tindakan terorisme, termasuk bom bunuh diri bertentangan dengan ajaran Islam.
Melalui kajian yang mendalam ke atas teks-teks agama dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama terkemuka, Tahir-ul-Qadri menolak sebarang bentuk keganasan atas nama agama, kerana Islam mementingkan keamanan, kasih sayang dan kesejahteraan umat manusia.
Tahir-ul-Qadri secara khusus menegaskan bahawa tindakan keganasan tidak mempunyai asas dalam agama Islam dan sebaliknya adalah pelanggaran terhadap prinsip-prinsip asas agama ini. Ia juga memandu umat Islam dan masyarakat antarabangsa memahami ajaran Islam sebenar.
Buku ini mendapat pujian dari pelbagai tokoh antarabangsa, termasuk Dr. John Esposito yang menyifatkan fatwa Tahir-ul-Qadri yang mengutuk terorisme ini sebagai pernyataan penting dari salah satu pemikir Islam yang paling berpengaruh dan diiktiraf secara global.
Begitu juga bekas Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron, yang menyebut buku ini sebagai panggilan yang jelas dan tegas terhadap ekstremisme. Beliau memuji Tahir-ul-Qadri atas sumbangannya dalam mempromosikan keamanan dan menentang radikalisasi.
Sementara buku Lakaran sebenar Nabi Muhammad juga adalah satu karya penting yang memperkenalkan kepada dunia tentang keperibadian dan akhlak Nabi Muhammad, dengan menekankan kasih sayang, belas kasihan, keadilan dan integriti yang menjadi ciri utama kehidupan baginda.
Tahir-ul-Qadri dalam buku ini menekankan bahawa Nabi Muhammad adalah contoh sempurna dalam mempromosikan keamanan, keharmonian dan toleransi antara manusia sekali gus menyeru umat Islam untuk mencontohi akhlak mulia baginda dalam kehidupan seharian mereka.
Buku ini berfungsi sebagai jambatan untuk menghubungkan masyarakat yang berlainan latar belakang dan memperkenalkan Nabi Muhammad sebagai contoh teladan terbaik yang dapat diikuti oleh seluruh manusia dalam mencari kehidupan yang lebih damai dan harmoni.
Selain pelancaran dua buku ini, majlis ini turut diserikan dengan syarahan akademik oleh dua anak kepada Tahir-ul-Qadri, iaitu Profesor Dr. Hussain Mohi-ud-Din Qadri selaku Timbalan Pengerusi Universiti Minhaj, Lahore dan Dr. Hassan Mohi-ud-Din Qadri selaku Pengerusi MQI.
Hussain adalah berkelulusan doktor falsafah dalam bidang ekonomi daripada Universiti Victoria, Melbourne, dengan tesis bertajuk Analisis aliran perdagangan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (ECO) dan potensi kawasan perdagangan bebas.
Hassan berkelulusan doktor falsafah dalam bidang undang-undang daripada the Arab League University, Mesir, dengan tesis bertajuk Perlembagaan Madinah dan prinsip perlembagaan moden: Kajian perbandingan undang-undang Perlembagaan Amerika Syarikat, British dan Eropah.
Syarahan Hussain, bertajuk Penyeragaman dalam Sistem Perbankan dan Kewangan Islam adalah satu penjelasan mendalam tentang kepentingan standardisasi dalam sistem perbankan dan kewangan Islam untuk memastikan keadilan, ketelusan dan efisiensi dalam operasinya.
Hussain juga menyentuh tentang cabaran-cabaran yang dihadapi dalam mencapai standardisasi global perbankan Islam, termasuk perbezaan dalam fiqh antara negara dan institusi berlainan yang memerlukan kerjasama lebih erat antara negara dan institusi Islam.
Hussain menekankan dengan adanya standardisasi yang kukuh, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), perbankan Islam bukan sahaja akan dapat bersaing dengan sistem perbankan konvensional tetapi akan menjadi alternatif yang lebih beretika dan adil.
Syarahan oleh Hassan yang bertajuk Perlembagaan dan sistem Madinah pula adalah satu penerokaan dan huraian ke atas Piagam Madinah dan sistem-sistem pemerintahan yang dibentuk di bawah kepemimpinan Nabi Muhammad SAW di Kota Madinah.
Dalam syarahan ini, Hassan menjelaskan Piagam Madinah mengatur hubungan antara umat Islam sesama mereka dan dengan komuniti bukan Islam yang tinggal di Madinah pada masa itu dengan prinsip-prinsip seperti keadilan, persamaan hak, kebebasan beragama serta tanggungjawab sosial yang menjadi teras kepada sebuah masyarakat yang aman dan stabil.
Hassan turut mengulas tentang relevansi Piagam Madinah dalam konteks dunia moden. Beliau menegaskan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam Piagam Madinah masih relevan dan boleh dijadikan panduan dalam usaha membina sebuah masyarakat yang berteraskan keadilan dan kemanusiaan, khususnya dalam negara-negara yang berbilang kaum dan agama.
Saya dan beberapa wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan penjawat daripada agensi kerajaan merasa bertuah dapat menghadiri dan mendengar mesej keamanan dari MQI dan Universiti Minhaj.-UTUSAN
PENULIS adalah Setiausaha Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (BERDAYA).










