Banyak perkara boleh dipelajari dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri

Banyak perkara boleh dipelajari dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI orang politik yang mahukan jawatan tanpa memikirkan sama ada mereka mampu melaksanakan tanggungjawab yang bakal dipikul.

Mengukur baju di badan sendiri mungkin tiada dalam kamus mereka dan pengundi yang taksub dengan parti pula akan tetap pangkah sesiapa sahaja yang mewakili parti tanpa mengambil kira sosok tubuh yang bertanding.

Tatkala kerajaan berusaha keras menstabilkan negara, kita terpaksa menyaksikan pertelingkahan dalam kalangan ahli politik seolah-olah tiada noktahnya.

Apatah lagi apabila akhir-akhir ini, kita berhadapan dengan satu demi satu Pilihan Raya Kecil (PRK) yang datang secara bertalu-talu, maka bertambah panas dan gegarlah suasana politik negara.

Kita sedang menunggu keputusan mahkamah berkenaan permohonan injunksi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim untuk menghentikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri seminggu daripada sekarang.

Jadi atau tidak PRK Nenggiri pada 17 Ogos nanti? Hal ini hanya akan terjawab apabila keputusan mahkamah mengenai kes ini diumumkan pada 12 Ogos nanti.

Terdahulu, pada 24 Jun lalu, Mohd. Azizi memfailkan saman pemula bagi menghentikan SPR daripada mengadakan PRK Nenggiri. Mohd. Azizi sebagai plantif menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta SPR sebagai defenden.

SPR mengumumkan PRK Nenggiri diadakan berikutan keputusan Mohd. Amar mengisytiharkan kekosongan kerusi ini pada 19 Jun lalu. Sebelum ini, kerusi tersebut disandang Mohd. Azizi sehinggalah Bersatu mengumumkan keahlian beliau tergugur.

Banyak perkara yang membuatkan PRK ini menarik untuk diperhatikan dari sudut ilmiah. Ini termasuklah pemerhatian daripada sudut perundangan sehinggalah kepada langkah politik dan strategi yang diambil parti-parti yang bertanding.

Malah, cara pemilihan calon bagi mewakili Bersatu kali ini juga menarik. Ini memandangkan Bersatu memilih calon yang baharu sahaja beralih parti dan bukannya daripada kalangan barisan kepimpinan parti yang sedia ada.

Malah, calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, baharu beberapa hari menyertai Bersatu sebelum diumumkan sebagai calon PRK ini.

Kepada pemerhati politik, hal ini memberi isyarat bahawa di DUN Nenggiri, kekuatan Pas sebagai ‘parti individu’ dilihat lebih hebat berbanding kekuatan dalam sebuah pakatan bersama Bersatu serta parti komponen PN lainnya.

Ada rakan-rakan bertanya, mampukah Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional (BN) membuat kejutan dan mengalahkan Mohd. Rizwadi Ismail jika PRK DUN Nenggiri diadakan?

Dalam setiap pertarungan, sudah tentu akan ada peluang untuk menang dan juga untuk kalah.

Namun secara zahirnya, kita tentu sedia maklum tentang kekuatan pengaruh Pas di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. Tambahan pula kerusi ini milik PN sebelum ia diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan yang merupakan pemimpin Pas negeri tersebut.

Maka, di atas kertas, tentulah kita semua melihat peluang untuk bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang itu menang adalah lebih besar.

Malah, tekanan untuk menang besar bukan setakat dipikul oleh Bersatu, tetapi juga turut ditanggung oleh Pas. Ini kerana, walaupun PN mempertaruhkan calon Bersatu, namun secara logiknya Mohd. Rizwadi bukan setakat lebih dikenali oleh penyokong Pas tetapi PN memilih menggunakan logo Pas dan bukannya logo Bersatu atau PN dalam PRK ini. Oleh itu, jika mereka kalah, maruah Pas akan tercalar teruk.

 

 

PERBEZAAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri berbanding kawasan lain menarik untuk diperhatikan dari sudut ilmiah.

 

UMNO
UMNO pula sudah tentu mahu menang untuk menebus kembali maruah parti yang sudah teruk tercalar dan bagi membina momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Besar ertinya bagi UMNO untuk menang di bumi Kelantan, lebih-lebih lagi di DUN Nenggiri yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang.

Namun, UMNO harus mengatur langkah secara strategik jika berhasrat untuk menang di DUN Nenggiri.

Ramai melihat pelantikan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang,Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah PRK DUN Nenggiri amat bertepatan memandangkan beliau amat disayangi, terutamanya dalam kalangan penduduk Orang Asli yang besar bilangannya di Gua Musang.

Lebih penting lagi, Tengku Razaleigh bukan sekadar mempunyai pengaruh yang amat kuat di sini, tetapi beliau amat faham akan kehendak pengundi dalam kawasan Parlimen Gua Musang. Berada dalam keadaan hari ini, UMNO tidak lagi mampu mengatur langkah secara sembarangan jika mereka benar-benar mahu menang.

Walau bagaimanapun, saya belum berpeluang membuat bacaan secara teliti dan mendalam tentang PRK Nenggiri mempunyai jadual yang sangat padat sejak sebulan yang lalu.

Berada di Katowice, Poland sepanjang minggu ini bagi menyertai sebuah persidangan antarabangsa dengan atur cara yang begitu padat tidak memberikan saya banyak masa terluang.

Hanya pada sebelah malam setelah pulang ke bilik hotel, barulah saya berpeluang membaca secara ringkas tentang perkembangan semasa di tanah air.

Rakyat yang mencintai keamanan sudah tentu berharap semoga tiada lagi isu sensitif 3R (agama, bangsa dan raja) dimainkan dalam kempen PRK ini. Jangan pecah-belahkan rakyat hanya kerana mahu memenangi sesebuah pilihan raya.

Lihatlah kepada rusuhan di United Kingdom (UK) yang merebak teruk akibat berita palsu. Hargailah keamanan yang sedang kita kecapi.

Kepada pengundi PRK DUN Nenggiri, buatlah pilihan yang bijak.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×