Peruntukan undang-undang untuk menangani buli difahamkan masih tidak dapat menzahirkan hukuman yang berat dan keras. Soalnya, siapa yang harus bertanggungjawab memantapkan undang-undang untuk memastikan buli tidak mendapat tempat dalam masyarakat.
Sewajarnya perkara kritikal ini mendapat lampu sorot daripada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada saat ini kecewa, marah dan beribu sesalan tidak akan mengembalikan nyawa mangsa buli siber. Semua pihak terutama pihak kerajaan, pejabat Peguam Negara, badan-badan guaman, badan bukan kerajaan dan lain-lain perlu proaktif mencari solusi bagi menangani isu ini.
Jika dibiarkan, dibimbangi kelak masalah mental akan melanda anak-anak kita tanpa mereka keluar dari rumah.
Dalam era globalisasi ini contohnya, masalah di negara lain memberi kesan domino kepada negara kita daripada sudut sosio-ekonomi. Kesan rentas sempadan ini adalah disebabkan sistem ekonomi global yang saling berhubung menerusi perjanjian perdagangan dan kerjasama rakan dagang antara usahawan dan usahawan yang lain.
Namun bila membicarakan tentang dunia siber, ia adalah dunia tanpa sempadan, tanpa perjanjian dan tanpa birokrasi yang boleh menghubungkan seseorang secara terus tanpa perlu menunggu beberapa saat. Sudah sampai masanya suatu kerangka perundangan diwujudkan bagi mengelak buli menjadi aktiviti tidak terkawal melangkau sempadan imigresen membabitkan pembuli antarabangsa.
Banyak kes berlaku apabila laman media sosial pihak tertentu di luar negara diserang wira papan kekunci tidak kira di negara ini atau peringkat antarabangsa. Sememangnya ada yang koyak hingga terpaksa memohon maaf atas sesuatu isu yang mengguris hati netizen.
Walaupun ia boleh dianggap buli siber, pihak yang terkesan sewajarnya menggunakan pertimbangan akal untuk tidak mewujudkan provokasi dengan mengeluarkan kenyataan dan tindakan mengguris hati kumpulan dan kelompok tertentu.
Dalam isu wujud pihak yang mencetus isu sensitif membuat hantaran yang menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) sememangnya individu tersebut wajar dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang ada.
Jangan pula dirinya mengadu menjadi mangsa buli siber apabila diserang oleh netizen secara berjemaah. Jika kita tidak menulis mengikut akal, maka tanggunglah akibat yang menjejaskan mental sendiri.
Sudah tiba masanya buli dianggap jenayah secara khusus di bawah satu Akta Anti Buli yang bersifat komprehensif. Undang-undang sedia ada tidak memberikan definisi khusus berkaitan buli seperti menurut Kanun Keseksaan. Kebiasaannya, tindakan membuli yang mengakibatkan kecederaan sama ada dituduh mengikut Seksyen 323, 324 dan kesalahan berkaitan perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 pula, hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda boleh dikenakan mengikut Seksyen 325. Oleh itu, perlunya pihak berkepentingan merangka undang-undang spesifik mengenai buli dan definisi jelas mengenainya. Hukuman akibat daripada perbuatan membuli juga perlu dinaikkan bagi menunjukkan betapa membuli adalah kesalahan jenayah serius.
Dalam masa sama, kita juga memerlukan dasar pencegahan dan pemulihan. Membendung gejala buli perlu dikesan daripada puncanya kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Proses pemulihan berkesan juga diperlukan termasuk memberikan kesedaran kepada pembuli.
Selain itu, kempen kesedaran oleh pihak berkuasa dengan memberikan penjelasan dan penerangan perlu disemarakkan mengenai gejala buli.
Peri pentingnya golongan ibu bapa memainkan peranan besar dalam menyokong proses terbabit dengan kerjasama pihak sekolah. Dalam era kecerdasan buatan (AI) buli dibimbangi menjadi semakin canggih menggunakan teknologi tersebut. Sebelum yang lebih buruk berlaku, wujudkan segera undang-undang anti buli tidak kira fizikal atau siber.
Jangan sampai ada lagi nyawa terkorban dan pembuli terus mentertawakan mangsa kerana dia tidak boleh disentuh oleh undang-undang keras dan khusus. – UTUSAN










