HAMPIR dua tahun lalu, satu keputusan dianggap tragedi kesihatan berlaku. Pada April 2023, Menteri Kesihatan menolak syor daripada badan para profesional kesihatan untuk tetap mengekalkan bahan vape mengandungi nikotin di bawah kawalan Akta Racun 1952, khasnya dalam bentuk cecair mahupun gel.
Sebelum itu, tiada keputusan sama dibuat terhadap mereka berumur 18 tahun ke bawah.
Yakni penggunaannya diawasi ketat dan diharamkan atas lunas-lunas kesihatan dan bukti sains yang kukuh dan mantap seantero.
Seperti mana penghisap rokok serta pengguna tembakau bagi peringkat umur tersebut; tetap dalam kawalan rapi dengan berbagai hukuman tertentu mengikut kerangka Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Pun begitu kesan Kawalan tersebut di negara ini adalah antara yang lemah berbanding negara jiran.
Maka vape bersama bahan nikotin telah ‘dihalalkan’ dengan melonggarkannya peraturan berkaitan. Walaupun pelbagai amaran serta peringatan diberikan oleh berbagai pihak, termasuk WHO sendiri.
Mengikut Ketua Pengarahnya, melemahkan kawalan vape bernikotin akan membentuk satu keturunan penagih baharu, berbanding masalah dadah berbahaya yang masih lagi belum selesai melebihi 50 tahun lamanya.
Keputusan itu mendorong isu itu dibawa ke mahkamah oleh tiga badan profesional, sesuatu yang dipercayai tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
Masalah vape kini menjadi beban tambahan yang pasti merumitkan lagi keadaan. Data awal menunjukkan cukai yang dikutip melalui langkah ini tidak akan mampu menampung rawatan anak muda yang mula menagih nikotin. Tiada beza dengan penghisap rokok pada usia muda, namun masih terkawal dari segi perundangan.
Jadi mengapa vape terkecuali? Sungguhpun ada janji-janji untuk mengawalnya semula dinyatakan sejak sidang parlimen lalu, tetapi tindakan agak hambar. Terdapat dakwaan di Parlimen perjumpaan ‘sulit’ antara ahli-ahli parlimen dengan syarikat tembakau sebelum pengundian Rang Undang-undang berkenaan dilangsungkan.
Maka usaha mengawal semula vape seperti yang dijanji masih dilihat seperti gagal. Bak hangat-hangat tahi ayam. Kanak-kanak sekolah dan anak-anak muda terus-menerus terdedah kepada kesan racun dan ketagihan nikotin melalui vape tanpa had.
Vape terus mengimbau para penjual yang terdiri kebanyakan orang Melayu dan pelanggannya juga orang Melayu. Persoalannya untuk kepentingan siapa? Persoalannya siapa yang akan melindungi kesihatan anak-anak muda tidak berdosa ini?
Sebagai seorang pakar toksikologi (bidang keracunan) pernah berpengalaman sebagai Menteri Kesihatan, lebih tangkas dan berwibawa, berjanji lagi akan mengawal kembali vape dengan menyumbatnya semula ke dalam Senarai Racun seperti dulu, sebelum April 1, 2023.

TUNGGU KEPUTUSAN
Gerak kerja untuk mengkaji semula keputusan lalu wajar bermula segera. Tidak perlu kalut dan kemelut. Ramai menunggu pada sidang Parlimen kali ini. Perlu diingat anak-anak muda masih terdedah kepada vape bagi mengelak tragedi vape.
Jika berpandukan tragedi langkah vape yang sudah 15 bulan terheret dan ribuan anak muda terjerumus dengan sengaja, tanpa terbela. Masih belum ada kepastian derita mereka akan tamat.
Sebagai perbandingan yang lebih mudah, bagaimana budaya rasuah dihapuskan jika masih ada pihak terus berdampingan dengan kelompok yang ketagih dengannya. Kerajaan telah menetapkan peperangan terhadap rasuah dan ia harus menjadi landasan kepada membersihkan negara.
Negara harus mengelak seperti penjajah memberi candu sebelum menawan jiwa, raga dan negara sebagaimana berlaku apabila British mengeksport candu ke China hanya untuk meraih pulangan perdagangan yang berpihak kepada negara itu. Semoga perkara itu dijauhi negara ini.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzuklifli Abdul Razak ialah Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)










