Tipu sunat atau tipu makruh?

Tipu sunat atau tipu makruh?

SEORANG jutawan Australia melarang pekerja beli kopi ketika waktu bekerja.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Frasa tipu sunat atau bohong sunat sering digunakan masyarakat Melayu sejak dahulu. Malah, dalam konteks negara kita, rangkai kata itu turut difahami dan digunakan masyarakat pelbagai kaum.

Sekiranya diteliti, maksud yang terkandung dalam frasa tipu sunat juga terdapat dalam pelbagai budaya di seluruh dunia. Sekadar contoh, dalam bahasa Inggeris digunakan alasan white lie apabila kita menipu atau berbohong bagi mengatasi masalah.

Ternyata tindakan bohong sunat tidak sama dengan berbohong yang mana pembohongan dilakukan dengan agenda negatif yang sudah dirancang.

Bohong sunat dan tipu sunat pula ada niat baik atau positif di sebaliknya.

Pembohongan dalam kategori ini biasanya bukan melibatkan perkara besar. Sebaliknya, hal-hal kecil dijadikan bahan pembohongan.

Sepertimana disebut, mestilah ada niat positif di sebalik tujuan kita bohong sunat. Kita tentu pernah mengalami situasi di mana kita tidak dapat mengelak daripada tipu sunat.

Misalnya, kita tidak mahu melukakan hati seseorang. Katakan jiran kita memberi lauk yang sebenarnya kurang sedap atau tidak memenuhi selera kita. Tentulah tidak manis untuk berterus-terang. Sebaliknya, kita memilih untuk mengatakan lauk yang diberi itu sedap kerana tidak mahu melukakan hati jiran.

Bohong sunat yang kita buat itu tidak ada agenda negatif, sebaliknya mahu menjaga hati serta menghargai jiran yang memberikan lauk.

Tindakan tipu sunat juga pasti pernah kita gunakan dalam situasi mahu mengelakkan masalah atau konflik. Masalah itu mungkin antara kita dengan orang lain atau melibatkan dua individu lain. Kita mungkin bohong sunat dengan niat mahu meleraikan isu atau mendamaikan situasi.

Tentulah akan ada pihak yang mempertikai dan berbahas sama ada sebarang bentuk pembohongan boleh dibenarkan dengan alasan mahu mengelakkan konflik.

Namun, berdasarkan pengalaman kita dalam keluarga dan masyarakat atau bersama rakan-rakan dan jiran tetangga, tentu kita pernah mengalami keadaan yang mana perbuatan tipu sunat membantu mengelakkan konflik.

Selain membantu mendamaikan pihak yang berbalah dan mencegah konflik, tindakan bohong sunat juga mampu menjaga hubungan baik dalam keluarga, khususnya suami isteri. Misalnya, golongan suami tentu sahaja bohong sunat dengan memuji masakan isteri kerana mahu menjaga hati pasangan.

Perkara sama juga terpakai dalam hubungan kita dengan adik-beradik, rakan sekerja, jiran dan sudara-mara.

Selain membantu menjaga hubungan dan silaturahim, kadang-kadang tipu sunat amat berfungsi mencegah pergeseran, mengatasi konflik dan mendamaikan pihak yang bertelagah.

Dalam budaya kaum India, ada pepatah mengatakan tidak salah kita melakukan seribu pembohongan jika dapat melangsungkan satu perkahwinan. Bukan pula bermakna kita menipu atau memanipulasi mana-mana pihak.

Sebaliknya, sekiranya diteliti atau jika kita bertanya kepada orang tua yang menguruskan perkahwinan anak-anak, mereka akan menceritakan bagaimana dalam banyak keadaan, mereka terpaksa tipu sunat bagi memastikan segala proses berjalan lancar.

Walau bagaimanapun, kita perlu sentiasa ingat bahawa sebarang bentuk penipuan atau pembohongan tidak boleh dibuat dalam apa-apa urusan rasmi.

Misalnya, apabila mendaftar perkahwinan, mestilah semua maklumat yang diberi adalah betul, benar dan tepat.

Kita semua pasti bersetuju bahawa tipu sunat hanya wajar digunakan jika amat perlu atau dalam keadaan terpaksa. Apatah lagi jika ia terpaksa dibuat demi mengelakkan situasi menjadi buruk dan mengundang bahaya.

Sewaktu menjadi pensyarah di kolej swasta dahulu, saya sering menggunakan satu contoh mudah untuk membantu pelajar memahami konsep tipu sunat.

Bayangkan seseorang datang dalam keadaan marah sambil memegang parang, lalu bertanya di mana si polan. Walaupun anda tahu, anda mungkin tipu sunat dengan mengatakan si polan sudah keluar atau sudah tidak lagi tinggal di sana.

Dari satu sudut, anda berbohong. Akan tetapi, pembohongan itu wajar dan perlu bagi mengelakkan konflik dan menyelamatkan nyawa seseorang.

Dari segi istilah, kata tipu merujuk perbuatan atau perkataan tidak jujur yang bertujuan memesongkan orang. Bohong pula apabila maklumat yang disampaikan merupakan dusta atau tidak benar.

NEGATIF
Konotasi bohong sunat pula berubah positif apabila digunakan dengan niat baik seperti yang dibincangkan tadi. Akan tetapi, sikap “abang janji lepas rakam abang delete (padam)” seperti yang sering tular di media sosial tidak termasuk kategori bohong sunat kerana digunakan bagi tujuan negatif.

Perbuatan menipu dengan memberitahu isteri kononnya kerja lebih masa di pejabat, sedangkan sebenarnya keluar berfoya dengan wanita lain tidak boleh dikategorikan sebagai tipu sunat kerana terang-terangan berniat jahat.

Dalam mana-mana agama dan budaya, secara asasnya, perbuatan menipu, berbohong dan berdusta merupakan kesalahan, dosa dan dikecam. Akan tetapi, konsep tipu sunat dan bohong sunat memang ada dalam budaya orang Melayu-Islam.

Kalau kita rajin membaca epik, kitab, purana dan cerita rakyat dalam budaya India-Hindu, konsep tipu sunat juga sentiasa hadir, walaupun kata sunat tidak digunakan. Wujudnya frasa white lie menjadi bukti perbuatan itu bukan budaya terpencil.

Frasa bohong sunat sebenarnya dilabel sebagai bahasa percakapan dalam kamus. Maknanya, frasa itu tidak boleh digunakan dalam penulisan rasmi. Ia merujuk perbuatan berbohong dengan penuh sedar tetapi dilakukan dengan niat baik, misalnya mahu menjaga hati orang atau mengelakkan konflik.

Walaupun kita sering menggunakan ‘sunat’ untuk merujuk amalan berkhatan dalam kalangan lelaki Islam, ia juga sebenarnya berkaitan hukum agama yang mana ada pahala jika dilakukan tetapi tidak berdosa jika ditinggalkan.

Hukum makruh pula bermakna tidak berdosa jika dilakukan tetapi mendapat pahala jika ditinggalkan. Menarik juga untuk direnungkan mengapa kita menggunakan frasa tipu sunat dan bukannya tipu makruh.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN