INI negara demokrasi, sesiapa pun berhak untuk bersuara. Kenyataan sebegitu seringkali didengar apabila sekumpulan individu ingin mengadakan perhimpunan aman atau berdemonstrasi di jalanan.
Tidak ada salahnya untuk berdemonstrasi tapi, bertindaklah secara rasional agar isu yang diperjuangkan boleh mencapai objektifnya.
Begitulah perkara yang seharusnya dilakukan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berusaha mengangkat isu air untuk perhatian kerajaan negeri Sabah.
Masalah air di UMS yang berada pada tahap kritikal awal tahun lalu mula beransur pulih selepas Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Tinggi menyalurkan peruntukan berjumlah RM5 juta pada tahun lalu bagi mengatasi masalah air yang berlaku dalam kampus induk universiti berkenaan.
Susulan itu, UMS berjaya menyiapkan sembilan telaga tiub yang mampu menghasilkan sejuta liter air sehari.
Pada masa sama, UMS turut menerima bekalan air kira-kira tiga juta liter sehari yang disalurkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (Jans).
Melihat kepada bekalan air yang kini dibekalkan ke UMS, ia mungkin masih belum mencukupi untuk menampung keperluan 16,000 orang mahasiswa.
Justeru, mahasiswa UMS berusaha membawa suara dan rintihan mereka untuk perhatian kerajaan negeri.
Tanggal 14 Jun, kumpulan mahasiswa tersebut berarak sejauh lima kilometer dari UMS ke Menara Kinabalu bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dengan #KamiMahuAir Sabah, kumpulan mahasiswa yang disertai kira-kira 80 orang mahasiswa dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berhimpun semalaman di hadapan Menara Kinabalu.
Hasrat mereka cuma satu iaitu meminta kerajaan menyelesaikan masalah air di UMS dan Sabah secara keseluruhannya. Niat mereka cukup baik kerana menyuarakan isu yang begitu dekat dihati masyarakat umum.
Tetapi tindakan mereka sedikit mengecewakan apabila tidak menghormati kehadiran Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya yang diwakilkan untuk menerima memorandum yang ingin diserahkan kepada Ketua Menteri.
Kumpulan mahasiswa itu bersikap ‘sombong’, mereka enggan menyerahkan memorandum tersebut kepada Shahelmey dan bertegas untuk menyerahkan kepada Ketua Menteri.
Selaku Menteri Kerja Raya yang bertanggungjawab terhadap Jans, Shahelmey adalah orang yang tepat untuk menerima memorandum tersebut.
Kehadiran Shahelmey di hadapan Menara Kinabalu seolah-olah diperkecilkan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan. Di mana letaknya rasa hormat mahasiswa ini terhadap Timbalan Ketua Menteri? Orang kedua penting dalam pentadbiran negeri.
Tujuan mengadakan perhimpunan aman adalah untuk penyerahan memorandum kepada Ketua Menteri tapi, apabila ada wakil Ketua Menteri yang datang bertemu mereka, kumpulan mahasiswa ini bertindak degil dan enggan menyerahkan memorandum tersebut.
Menurut Shahelmey, kumpulan mahasiswa itu lebih berminat untuk meraih perhatian media.
“Kalau kita tengok ayat-ayat seterusnya lebih bermotifkan politik. Saya pun tidak tahu apa tujuan motif politik yang mereka cuba sampaikan.
“Saya sudi turun, saya berada di sini sebagai rakyat biasa untuk mendengar suara mereka namun, seperti mereka tidak hormat kita,” katanya.
Apa yang diperkatakan oleh Timbalan Ketua Menteri itu ada kebenarannya. Jika benar kumpulan mahasiswa ini berniat mahu masalah air di UMS ditangani, mereka seharusnya menyerahkan sahaja memorandum tersebut kepada Shahelmey.
Percayalah kerajaan tidak akan bertindak membutakan mata dan pekakkan telinga dalam menangani isu air di UMS.
Keseriusan kerajaan dalam menangani isu air jelas terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi melaksanakan projek telaga tiub.
Sikap yang ditunjukkan kumpulan mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi itu menunjukkan mereka belum cukup matang dalam mengangkat isu-isu rakyat.
Sekiranya kumpulan mahasiswa ini mahu suara mereka didengari maka, bertindaklah secara matang. Hormati wakil Ketua Menteri yang telah dihantar untuk bertemu dengan mereka dan bukan berlagak seolah-olah Timbalan Ketua Menteri itu rakan sekuliah yang boleh ditolak tepi.
Perbuatan kumpulan mahasiswa yang turut membawa individu tanpa kewarganegaraan (stateless) menyertai perhimpunan itu turut menarik perhatian Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Mustapha memberitahu, beliau agak terkejut apabila ketua pelajar menyatakan mereka membawa individu tanpa kewarganegaraan (stateless) demonstrasi isu-isu dalam perjuangan rakyat negeri Sabah.
“Saya agak terkejut dan tidak jangka perkara ini berlaku kerana ini melibatkan mahasiswa kita. Itu sebabnya saya lebih awal menerangkan bahawa kena rasional tentang isu ini.
“Bukan kita menghalang mereka untuk berdemonstrasi tapi, daripada awal saya terangkan dapatkan permit, buatlah demonstrasi secara aman dengan penuh rasional,” katanya.
Dalam memperjuangkan isu air yang merupakan isu yang diwarisi sejak pertengahan 90-an, anak-anak muda harus bertindak secara rasional.
Isu bekalan air tidak boleh selesai semalaman, untuk stabilkan bekalan air perlu mengambil sedikit masa. Itu sebabnya sehingga kini, beberapa kawasan masih berhadapan dengan catuan air. – UTUSAN










