Akhirnya kita akan bertemu saat ketikanya apabila populasi harimau ini benar-benar sifar atau pupus di rimba. ‘Pak Belang’ atau dikenali sebagai Harimau Malaya adalah simbol kekuatan, keagungan, kecergasan dan keberanian dan di Malaysia, harimau amat dihormati sehingga menjadi lambang pada jata negara.
Saiznya lebih kecil berbanding harimau di negara jiran seperti di Sumatera, Indonesia dan Thailand. Namun, amat membimbangkan, populasi Harimau Malaya berada pada jumlah kritikal yang kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor dan Malaysia dijangka kehilangan populasi harimau liar antara tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni berkurangan secara drastik sejak beberapa dekad lepas. Pada asalnya, terdapat sembilan subspesies harimau di dunia dan tiga daripadanya pupus. Populasinya dikatakan berkurangan drastik iaitu daripada kira kira 3,000 ekor pada dua atau tiga dekad lepas berbanding sekarang kira kira 150 ekor di hutan.
Antara puncanya adalah pembukaan tanah untuk pelbagai aktiviti menyebabkan harimau kurang kawasan mencari makanan.

Apabila habitatnya terganggu, haiwan liar ini sukar mendapatkan makanan menyebabkan populasinya semakin terancam. Pada dekad 1960-an dan 1970-an populasinya mula terancam apabila kerajaan mula membuka tanah pertanian.
Berdasarkan taburan populasi spesies haiwan ini dijumpai di tiga kawasan utama iaitu hutan Belum-Temenggor, Taman Negara Pahang dan Endau Rompin. Dengan kes- kes sebegini , harimau mati kerana kebuluran selain masalah penyakit tertentu
Harimau Malaya dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Justeru ada signifikan apabila kita meraikan Hari Harimau pada esok. Sambutan Hari Harimau Sedunia setiap tahun memberi signifikan atas usaha kita melindungi haiwan yang menjadi lambang jata negara. Hari Harimau Sedunia yang diraikan pada 29 Julai setiap tahun bertujuan bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spesies harimau.
Kepupusannya secara drastik meletakkan spesies Mamalia ini dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Dianggarkan jika tiada usaha pemuliharaan jumlah 150 ekor ini pun akan pupus dalam tempoh kurang dari 10 tahun. Justeru inisiatif Tabung Hidupan Liar (WWF-Malaysia) bekerjasama dengan Maybank melalui program ‘Memantapkan Pemuliharaan Harimau di Kompleks Hutan Belum-Temengor’ baru-baru ini amat tepat pada masanya.
Pengurus Perlindungan dan Pemantauan Harimau WWF Malaysia, Azlan Mohamed berkata, antara punca penurunan populasi harimau Malaya termasuk pemburuan haram, perdagangan haram dan kehilangan habitat yang membawa kepada konflik manusia serta hidupan liar.
“WWF-Malaysia juga bekerjasama dengan Orang Asli dengan memasukkan mereka ke dalam rondaan anti pemburuan haram. Pasukan peronda yang kebanyakannya terdiri daripada suku kaum Jahai, sentiasa memantau hutan untuk mengesan dan merungkai jerat, mengumpul data tentang hidupan liar dan melaporkan aktiviti haram.
“Pengetahuan mendalam mereka tentang rupa bumi dan tingkah laku hidupan liar meningkatkan keberkesanan rondaan ini, yang membawa kepada pengurangan ketara dalam aktiviti pemburuan haram,” katanya.
Antara usaha yang dilakukan untuk memeliharan harimau dan haiwan liar lain adalah:
1.Sira Garam Rambai
Sira Garam Rambai adalah tempat haiwan untuk memperoleh nutrien seperti kalsium, magnesium, natrium, dan zink oleh kebanyakan haiwan herbivor.
Selain itu, sira garam juga boleh dianggap sebagai ‘klinik semula jadi’ kepada jenis haiwan liar yang terdapat di kawasan itu kerana selain mendapatkan bahan mineral, ia juga dijadikan ubat merawat tubuh badan masing-masing dari semasa ke semasa.
2.Perangkap kamera
Sebanyak 500 perangkap kamera dipasang di sepanjang 250 lokasi dalam Hutan Belum-Temengor ini untuk terus memantau populasi harimau dan haiwan lain seperti gajah, seladang dan kijang untuk mengumpulkan data tentang pergerakan, tingkah laku dan ancaman mereka.
Sehubungan itu, perangkap kamera ini akan diperiksa pada setiap tiga hingga empat bulan oleh Orang Asli yang dilantik bersama WWF-Malaysia untuk menukar bateri kamera dan melihat gambar haiwan yang ditangkap menggunakan kamera tersebut.
3.Jejambat di sepanjang Lebuhraya Gerik-Jeli
Jejambat yang dibina berada tidak jauh dari pusat geografi Lebuhraya Gerik-Jeli, untuk memudahkan laluan selamat hidupan liar dari satu sisi lebuhraya ke sisi lain.
Sehubungan itu, sebanyak dua pagar elektrik turut dibina sepanjang lima kilometer di sepanjang Lebuhraya Gerik-Jeli yang bertindak sebagai corong untuk membantu hidupan liar dan menghalang haiwan itu daripada menyeberangi lebuh raya di sekelilingnya.
Sejak pembinaannya, perangkap kamera yang ditetapkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara merekodkan babi hutan, gajah, gaur, rusa sambar dan rusa berkeliaran di sekitar jejambat itu.
Bagaimanapun, hanya gajah dan babi hutan direkodkan melintas di bawah jejambat semasa kajian jangka pendek ini dilakukan dan kajian jangka panjang yang lebih terperinci diperlukan untuk menilai sepenuhnya kefungsian lintasan hidupan liar ini.
Fakta mengenai
Royal Belum
1.Kawasan tumpuan utama untuk usaha pemuliharaan harimau WWF-Malaysia, yang terkenal dengan populasi harimau dan biodiversiti yang ketara.
2. Taman Negeri Royal Belum, di bawah pengurusan Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC), dianugerahkan kelulusan Conservation Assured |Tiger Standards (CA|TS) yang berprestij sebagai mengiktiraf usaha pemuliharaan yang luar biasa dan komitmennya terhadap pemuliharaan harimau.
3. Dengan pengiktirafan ini, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan CA|TS, menyertai barisan negara-negara banjaran harimau lain seperti India dan Nepal.
4.Terdapat lebih 1,100 Orang Asli tinggal di Taman Negeri Royal Belum, dibahagikan kepada 245 isi rumah di beberapa kampung.
5.Orang Asli khususnya suku kaum Jahai, memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan harimau WWF-Malaysia di Kompleks Hutan Belum-Temengor. Komuniti Orang Asli ini tinggal di hutan selama beberapa generasi dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang landskap dan hidupan liar. – UTUSAN
Yasmin Natasha Hairul ialah wartawan Utusan Malaysia.










