Usia Bumi dikatakan sudah mencecah lebih empat bilion tahun. Jangan tanya saya bagaimana menentukan usia tersebut sebab hanya saintis angkasa yang boleh menentukan.
Kalau Bumi ini ibarat rumah kita. Apa yang kita boleh perkirakan usia sedemikian, Sudah tua?
Apabila berbicara tentang usia, kita akan mengaitkan dengan kesihatan. Maka, dengan usia sedemikian, masih sihatkah Bumi kita? Bumi kita adalah sebahagian daripada keluarga Galaksi Bima sakti.
Mengapa kita perlu mengambil tahu usia planet kita ini? Samalah seperti kita bertanya usia rumah yang kita duduki sekarang dan kita perlu tahu tahap kesihatan planet ini yang satu-satunya boleh diduduki manusia.
Bagi menunjukkan keseriusan kita , program Minggu Sains Negara yang sedang berlangsung sejak April lalu memilih tema Kesihatan Planet sebagai fokus utama penganjurannya pada April.
Fokus lain adalah Kimia dan Bioteknologi ( Mei) , Kegunaan Aman Nuklear (Jun), Inovasi Sosial (Julai), Kejuruteraan dan Kecerdasan Buatan (Ogos), Nanoteknologi (September) dan Angkasa pada bulan Oktober .
MSN ialah program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dilancarkan pada 2 April lalu oleh Menterinya, Chang Lih Kang. Apa pun objektif murninya, bukan isu perbincangan pokok dalam ruangan ini kerana saya ingin membawa itu tentang planet kita ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM) Hazami Habib berkongsi sedikit mengenai isu kesihatan planet ini. Kata beliau, kesihatan planet adalah keseimbangan antara kesihatan manusia, haiwan dan kesihatan alam semula jadi. Kalau ketiga-tiga terjaga dengan baik, terjagalah kita dengan baik.
“Kini, kita menyaksikan kemerosotan sistem alam semula jadi pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah manusia. Pandemik Covid-19 memberi penekanan yang jelas kesihatan manusia telah terjejas akibat perubahan ekosistem, kesihatan haiwan, persekitaran alam semula jadi dan biodiversiti yang tidak seimbang,” ujarnya.
Besarnya peranan kita menjaga kesihatan bumi, planet yang kita huni ini. Akhirnya tahap kesihatan bumi ini ditentukan oleh kita. Kejadian bencana alam, fenomena cuaca ekstrem berlaku disebabkan aktiviti manusia.
Seperti kata Hazami sekiranya kesihatan planet tidak kita pedulikan dengan asyik menimbulkan anasir pencemaran, maka kita juga lah yang akan menanggung akibatnya. Golongan, muda yang mewarisi bumi ini perlu diterapkan dengan amalan menjaga Bumi daripada pencemaran, sekecil mana sekali pun termasuklah membuang sampah merata-rata.
Justeru, kata Hazami pihaknya merancamg untuk mewujudkan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN).
Bagi Zamri Mastor Pegawai Sains Di Planetarium Negara, (MOSTI), ada beberapa parameter yang dijadikan petunjuk mengukur tahap kesihatan Bumi. Antaranya termasuklah gas karbon dioksida (CO2).
Beliau berkata, jika berlaku peningkatan gas tersebut menandakan bumi semakin tidak sihat .
Menurut Zamri, pemerhatian oleh Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) melalui alat pengukur milik Pentadbiran Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) di Mauna Loa Observatory, Hawaii, mendapati bahawa kandungan karbon dioksida Bumi telah mencecah kepekatan 427 bahagian persejuta (ppm) yang menunjukkan peningkatan kandungan gas itu sebanyak satu setengah kali ganda atau 150 peratus berbanding kandungan karbon dioksida Bumi pada tahun 1750.
Karbon dioksida merupakan gas pemerangkap haba atau gas rumah hijau yang boleh meningkatkan suhu permukaan Bumi.
Parameter lain termasuklah suhu permukaan Bumi. Peningkatan suhu permukaan Bumi telah disahkan melalui semakan ke atas data daripada Institut Kajian Angkasa Goddard NASA (GISS) yang mendapati purata suhu permukaan Bumi pada 2023 adalah 1.36 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata suhu Bumi pada penghujung abad ke-19 ( tahun (1850an – 1900 ).
Dalam pada itu, semakan ke atas kandungan gas pemerangkap haba yang lebih kuat berbanding karbon dioksida iaitu metana daripada sumber data rangkaian pengumpul sampel global oleh NOAA mendapati bahawa kandungan metana mencecah kepekatan 1929 bahagian perbilion bahagian (ppb) pada Februari lalu. Kandungan metana didapati telah meningkat lebih dua kali ganda atau lebih 200 peratus dalam tempoh 200 tahun lalu.
Selain itu, katanya, semakan ke atas data misi satelit GRACE (Gravity Recovery And Climate Experiment) oleh NASA mendapati lapisan ais di Antartika mencair 150 bilion tan setahun manakala lapisan ais di Artik atau Greenland mencair sebanyak 270 bilion tan setahun sejak 2002.
Lapisan ais di kedua-dua benua mewakili dua pertiga daripada keseluruhan air bersih di Bumi. Pencairan berterusan ini menyebabkan paras air laut meningkat di seluruh dunia.
Beberapa parameter lain juga menunjukkan ada petanda bumi ini sudah tidak sihat.
Ini kerana kata Zamri berdasarkan semakan ke atas data daripada Pusat Penerbangan Goddard NASA mendapati bahawa paras air laut global pada Januari lalu meningkat sebanyak 103.3 milimeter sejak 1993 atau pada kadar 3.33 milimeter setahun.
Kadar peningkatan terbaharu ini adalah jauh lebih tinggi daripada kadar-kadar sebelum ini untuk tempoh lebih daripada 2,500 tahun yang lalu. Peningkatan paras air laut global yang tinggi ini berpunca daripada pencairan ais di kutub-kutub Bumi dan merupakan petunjuk kepada fenomena pemanasan global yang sedang kita alami pada masa kini.
“Indikator-indikator yang telah disemak menggunakan data-data daripada teknologi angkasa lepas atau oleh misi-misi satelit milik NASA seperti peningkatan kandungan gas karbon dioksida dan gas metana dalam atmosfera Bumi, peningkatan suhu permukaan Bumi, kadar pencairan ais di kutub-kutub Bumi serta peningkatan paras air laut global telah memberi petunjuk kepada fenomena pemanasan global dan dijangka menyebabkan perubahan iklim dunia dan ,” ujarnya.
Berdasarkan data-data tersebut, kebanyakan adalah berpunca daripada aktiviti manusia sendiri di atas muka bumi. Bermakna kesihatan bumi sebenarnya banyak berpunca daripada aktiviti manusia. Ini ditambah dengan semakan ke atas beberapa indikator berasaskan angkasa yang lebih menjurus kepada ancaman kemusnahan Bumi berbanding angkasa lepas juga telah dijalankan dan hasilnya adalah seperti berdasarkan keaktifan aktiviti penerokaan angkasa lepas telah menghasilkan 500,000 serpihan angkasa bersaiz antara satu hingga 10 sentimeter (sm) dan 21,000 serpihan bersaiz lebih besar daripada 10 sm mengelilingi ruang angkasa berdekatan Bumi.
Beberapa lagi parameter juga menunjukkan bahawa ada petanda keaktifan aktiviti matahari dan rempuhan asteroid yang menunjukkan bahawa terdapat asteroid kecil yang akan merempuh atmosfera Bumi dan sebahagiannya menghentam permukaan Bumi.
Namun indikator-indikator berkaitan sistem Bumi yang menjurus ke arah perubahan iklim dunia yang menunjukkan Bumi sedang menuju kepada tahap kesihatannya yang agak membimbangkan jika manusia tidak berusaha menghalangnya. Maka, manusia menjadi punca bumi semakin tercemar, kata pegawai penguasa angkasa MOSTI Mhd. Fairos Asillam.
“Manusia semakin memudaratkan bumi dengan cara penggunaan sumber Bumi dengan skala besar yang menyebabkan bumi semakin tercemar,” ujarnya.
Justeru, kita patut bersetuju dengan inisiatif ASM dengan usaha sama bersama agensi pusat, kementerian dan pelbagai pemegang taruh yang lain kini sedang menggubal PTKPN yang telah dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Sains Negara pada 8 April 2022.
Pembangunan PTKPN ialah pelan berorientasikan misi (berasaskan penyelesaian) yang mengambil pendekatan seluruh negara bagi memastikan kesihatan rakyat, biodiversiti (flora & fauna) dan planet kita.
Penekanan diberikan kepada kerjasama transdisiplin, etika, nilai, pemerkasaan komuniti, dan berpaksikan kemanusiaan, didayakan oleh STI dan dipacu nilai dalam menangani isu ini
Bagi pengerusi PTKPN, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, cabarannya adalah kesedaran, kebimbangan dan tindakan.
“Oleh itu, sebelum menghasilkan PTKPN , kami menjalankan kajian secara perbincangan kumpulan berfokus dan survey dalam kalangan pemegang taruh termasuk kerajaan, institusi penyelidikan, pemain industri, dan masyarakat bertujuan mengenalpasti apakah pemboleh daya atau “suis” yang boleh mencetuskan tindakan daripada semua pemegang taruh,” ujar Asma. – Mingguan Malaysia










