Sesi soal jawab PMQ tingkat akauntabiliti, ketelusan kerajaan

Sesi soal jawab PMQ tingkat akauntabiliti, ketelusan kerajaan

SEJAK mula diperkenalkan, PMQ menjadi sorotan mingguan yang dinantikan oleh rakyat Malaysia kerana ia memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menjawab isu-isu semasa. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI United Kingdom (UK), sejak sekian lama sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) yang berlangsung setiap hari Rabu apabila Dewan Rakyat bersidang dan berlangsung selama setengah jam adalah peristiwa yang sangat diperhatikan kerana Perdana Menteri Britain perlu menjawab soalan yang diajukan secara spontan oleh Ahli Parlimen.

Walaupun begitu, di Malaysia amalan sesi PMQ tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sehinggalah ia diperkenalkan sebagai salah satu langkah reformasi Parlimen yang julung-julung kali dibuat oleh Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Bermula Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas dari 13 Februari 2023 ke 4 April 2023 setiap Selasa selama setengah jam dua ahli Parlimen diberi ruang untuk bertanya soalan secara langsung kepada Perdana Menteri disusuli dengan beberapa soalan tambahan yang dibenar untuk ditanyakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada kerajaan dan pembangkang.

Tujuan utama sesi ini diperkenalkan adalah untuk meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan kerajaan di mana ahli-ahli Parlimen diberi ruang untuk bertanya manakala Perdana Menteri diberi ruang untuk memberi penjelasan mengenai segala dasar dan keputusan kerajaan.

PMQ menyediakan platform bagi ahli-ahli Parlimen untuk berinteraksi secara langsung dengan Perdana Menteri, sekaligus mengukuhkan komunikasi antara cabang eksekutif dan legislatif. Ini memastikan bahawa dasar dan keputusan kerajaan dapat diperjelaskan dengan segera dan tepat, mengurangkan kemungkinan salah faham dan spekulasi yang tidak berasas.

Sejak mula diperkenalkan, PMQ menjadi sorotan mingguan yang dinantikan oleh rakyat Malaysia kerana ia memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menjawab isu-isu semasa yang mungkin menjadi kebimbangan rakyat, dan pada masa yang sama, memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk mendapatkan penjelasan langsung dari ketua kerajaan.

Secara umumnya, Perdana Menteri telah menunjukkan kesediaan dan komitmen yang tinggi dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen. Beliau sering memberikan jawapan yang terperinci dan substansif, serta bersedia untuk menangani isu-isu kontroversi secara langsung.

Kehadiran Perdana Menteri yang konsisten dalam setiap sesi juga menunjukkan komitmen beliau untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan kerajaan. Tentu ramai masih ingat dengan foto Perdana Menteri berlari masuk ke Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023 bagi memastikan beliau hadir tepat pada masanya ketika sesi PMQ ini berlangsung.

Banyak isu penting berjaya dicerakinkan melalui sesi PMQ ini. Antaranya ialah tuduhan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC), reformasi institusi, kos sara hidup dan kandungan perjanjian persempadanan maritim dengan Indonesia yang didakwa mengorbankan soal kedaulatan negara.

Paling mutakhir, dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas, dari 24 Jun ke 18 Julai, Perdana Menteri telah menjawab dengan padu soalan-soalan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen.

Dalam sesi Selasa 25 Jun, Perdana Menteri telah menangani dua isu panas.

Isu pertama ialah keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikemukakan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah [Paya Besar], Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [Machang] dan Khoo Poay Tiong [Kota Melaka].

Isu kedua ialah berkaitan strategi kerajaan ekoran kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024 yang dikemukakan oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden [Alor Setar], Aminolhuda Hassan [Sri Gading] dan Datuk Rosol Wahid [Hulu Terengganu].

Dalam sesi Selasa 9 Julai, Perdana Menteri telah menangani dua lagi isu panas.

Isu pertama ialah dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat untuk menyertai BRICS yang dikemukakan oleh Lee Chuan How [Ipoh Timor], Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] dan Datuk Seri Doris Sophia Brodie [Sri Aman].

Isu kedua ialah berkaitan apakah fokus kerajaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan, selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang dikemukakan oleh Datuk Awang Hashim [Pendang], Dr. Mohammed Taufiq Johari [Sungai Petani] dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman [Muar].

Walaupun PMQ menyediakan platform yang baik untuk pembangkang mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, ahli-ahli Parlimen pembangkang sebaliknya menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan kerana beberapa pemimpin utama pembangkang, khasnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sering tidak hadir.

Ini kerap kali menimbulkan persoalan mengenai ketidaksediaan mereka memanfaatkan peluang ini untuk bertanya soalan dan berdebat dengan Perdana Menteri. Ia memberikan gambaran bahawa pemimpin utama pembangkang lebih gemar untuk berkokok bersendirian di luar berbanding berdepan secara gentleman dengan Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang sewajarnya memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan sesi PMQ berlangsung dengan lebih berkesan. Sebagai cadangan penambahbaikan, bagi memastikan sesi PMQ lebih menarik dan berkesan, Ketua Pembangkang mungkin perlu diwajibkan untuk hadir dan bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri pada masa depan.

Jika ini tidak dipersetujui, satu alternatif lain ialah untuk Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkan untuk membenarkan orang awam mengemukakan soalan melalui proses penyerahan dalam talian. Ini akan meningkatkan keterlibatan rakyat dalam proses demokrasi dan memastikan bahawa isu-isu yang dibangkitkan benar-benar mencerminkan kebimbangan rakyat.

Sesi PMQ ini merupakan satu langkah positif dalam memastikan akauntabiliti dan ketelusan kerajaan. Ia melambangkan keterbukaan dan keberanian Perdana Menteri dalam berhadapan dengan pembangkang. Dengan penambahbaikan yang berterusan, sesi ini pasti dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan dan memperkukuhkan sistem demokrasi. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Rusdi Omar adalah Dekan di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×