PERKARA 153 dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu peruntukan istimewa bagi orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Apa yang dinyatakan dalam perkara ini tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Ia sama sekali tidak boleh diungkit oleh mana-mana pihak atau mana-mana parti politik.
Perkara 153 jelas sekali mempunyai kedudukan yang kukuh, ia tidak boleh dipinda oleh Parlimen walaupun mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Sebarang pindaan mengenainya mestilah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan, “Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 152.”
Sesebuah negara itu tidak akan stabil andainya kumpulan penduduk utama tidak berada dalam keadaan stabil dan makmur. Pembangunan, pertumbuhan dan pelaburan tidak akan berjalan lancar andainya kestabilan sosial dan politik penduduk utama tidak berada dalam tahap kestabilan yang terjamin. Pelabur luar akan teragak-agak andainya kestabilan politik dan sosial tidak berada dalam tahap yang meyakinkan.
Dalam konteks Malaysia, sokongan utuh orang Melayu dan kaum bumiputera lain terhadap sesebuah kerajaan adalah prasyarat yang sangat penting. Sesebuah kerajaan sukar untuk mencapai kestabilan yang benar-benar kuat andainya tidak mendapat sokongan daripada kumpulan penduduk utama iaitu orang Melayu dan kaum bumiputera lain.
Pelbagai persoalan disentuh secara umumnya terkandung dalam Perkara 153. (Istilah Melayu dalam kontek Perlembagaan Malaysia mesti benar-benar jelas kerana berkaitan langsung dengan agama Islam sebagaimana yang ditakrifkan dalam Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 menyentuh dengan jelas tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dalam aspek seperti peluang ekonomi dan pertukangan, biasiswa dan dermasiswa selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perjawatan awam serta hal-hal yang berkaitan dengan jaminan kehidupan sebagai penduduk asal tanah air.
Peruntukan dalam Perkara 153 tidak menafikan hak penduduk kaum imigran, tetapi lebih menekan jaminan kepada orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lain. Peruntukan 153 dan berkaitan mempunyai hubungan juga dengan pembentukan sebuah negara yang bersifat satu negeri, satu bangsa kerana definisi Melayu mengikut Perkara 160 adalah bukan hanya semata-mata berasaskan faktor biologi. Seorang yang berketurunan Cina, India atau apa bangsa boleh menjadi ‘Melayu’ apabila memenuhi tiga perkara yang ditetapkan iaitu menganuti agama Islam, lazim berbahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu.
Dalam persoalan pokok perbincangan, Perkara 153 perlu dijadikan asas penting bagi parti-parti politik Melayu menarik sokongan orang Melayu dan membina kekuatan kestabilan politik negara.
Hak-hak Melayu dan bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153 perlu disemak semula dengan teliti. Hak sama rata sepenuhnya bagi semua penduduk adalah tidak benar-benar tepat dengan falsafah Perlembagaan negara, khususnya dengan Perkara 153.
Atas dasar apa pun matlamat politik dalam mana-mana kerajaan yang memimpin negara, persamaan hak yang mutlak bagi semua kaum adalah tidak tepat dengan Perlembagaan negara.
Hak pemberian biasiswa, dermasiswa dan perjawatan awam kepada orang Melayu jelas dinyatakan dalam Perkara 153. Kenapa hak ini cuba dinafikan? Adakah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selaras dengan Perkara 153? Jika diteliti dalam Perkara 8 (hak sama rata) pun dinyatakan dengan jelas perkataan “kecuali sebagaimana dibenarkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan ini”- ayat pertama dalam Perkara 8 (2).
Apa maksud ayat pertama dalam Perkara 8(2) ini? Persamaan dan hak sama rata itu kekecualian yang dibolehkan apabila ada peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.
Dalam hal persamaan hak yang dinyatakan dalam Perkara 8 itu, ia dibolehkan dalam beberapa keadaan sekirannya tidak bercanggah dan mempunyai peruntukan tertentu dalam Perlembagaan. Perkara 153 perlu dirujuk dalam mentafsir Perkara 8(2) ini. Pimpinan parti politik, khususnya pemimpin utama mesti benar-benar faham tentang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya peruntukan penting seperti Perkara 153.
PERPADUAN
Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak meletak kedudukan Perkara 153 sebagai asas utama dalam sebarang keputusan. Sebelum keputusan dibuat hendaklah dilihat sama ada bercanggah atau selari dengan peruntukan Perkara 153. Tenyata beliau berjaya membentuk dasar yang kukuh dan berjaya menarik sokongan besar orang-orang Melayu dan juga orang-orang bukan Melayu.
Perpaduan negara dan kestabilan politik negara akan terbentuk bila berlakunya perpaduan menyeluruh dalam kalangan orang Melayu. Orang Melayu tidak akan menyokong sesebuah kerajaan sekiranya kedudukan mereka tidak benar-benar terasa terjamin.
Orang bukan Melayu akan memberikan sokongan yang padu andainya telah terbentuk sebuah perpaduan Melayu. Kedudukan orang dan parti politik Melayu yang berada dalam keadaan yang berpecah-belah, akan diambil peluang oleh pihak dan parti politik yang sukar menerima ketuanan Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu. Percayalah bahawa kedudukan dan keistimewaan Melayu adalah hak yang diterima oleh falsafah dan Perlembagaan negara.
Untuk mengubah dasar asas bina bangsa dan tanah air yang diterima ini akan menimbulkan kecelaruan yang panjang prosesnya dan tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Percayalah kedudukan sekarang, tanpa sebuah kekuatan dan perpaduan parti-parti politik Melayu, pelaburan luar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi sukar berkembang pesat.
Kestabilan politik adalah salah satu asas penting kepada pertumbuhan pesat dan kemajuan ekonomi secara menyeluruh. Semua parti dan orang Melayu serta bukan Melayu yang cintakan kestabilan dan kemakmuran perlu merapatkan saf pemikiran positif, runtuhkan kecelaruan mahupun idea pecah-belah memerintah.
Perpaduan Melayu-Islam berasaskan falsafah Perlembagaan yang sedia terbina teras pembuka jalan jaya, membina kestabilan kekuatan negara, memartabatkan ummah menuju keyakinan kegemilangan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Kanan, Kluster Pembangunan dan Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu serta merupakan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.










