Pemilihan MIC perkukuh pimpinan, hala tuju dan masa depan parti

Pemilihan MIC perkukuh pimpinan, hala tuju dan masa depan parti

PEMILIHAN MIC kali ini jelas menunjukkan demokrasi masih segar dalam parti MIC malah pemimpin-pemimpin muda daripada akar umbi dilantik untuk menyertai saf kepimpinan utama sebagai pelapis kepimpinan MIC. – Gambar TAN SRI VIGNESWARAN SANASEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIHAN MIC untuk jawatan-jawatan utama bagi penggal 2024-2027 dan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap, Pulau Pinang untuk memilih seorang wakil rakyat telah berlangsung pada hari yang sama iaitu 6 Julai 2024. Para perwakilan MIC dan pengundi telah keluar mengundi dengan bijak.

Enam wakil daripada setiap cawangan MIC, lebih kurang 3,000 cawangan MIC yang bertabur di seluruh negara, layak mengundi dalam pemilihan tersebut. Namun hanya lebih kurang 7,000 wakil sahaja (48 peratus) keluar mengundi dalam pemilihan MIC tersebut. Meskipun DUN Sungai Bakap terdiri daripada 39,279 pengundi berdaftar, hanya 63.45 peratus atau lebih kurang 24,711 pengundi sahaja keluar mengundi.

Walaupun pertandingan antara calon-calon yang bertanding untuk merebut jawatan naib presiden dan wakil rakyat Sungai Bakap kelihatan sengit, para perwakilan MIC yang keluar mengundi telah memilih dengan tenang dan bijak.
Para perwakilan MIC perlu pilih hanya tiga orang naib presiden daripada empat calon yang bertanding iaitu T. Mohan, M. Asojan, T. Murugiah dan Nelson Renganathan. Mereka juga perlu memilih 21 orang ahli majlis tertinggi MIC (CWC) daripada 44 calon yang bertanding bagi penggal 2024-2027.

Bagi jawatan naib presiden, calon M. Asojan, memperoleh 8,633 undi, T. Murugiah memperoleh 8,566 undi dan Nelson Renganathan memperoleh 8,338 undi. Manakala calon T. Mohan tewas dengan memperoleh 8,284 undi. Antara yang menang. M. Asojan dan T. Murugiah adalah penyandang jawatan naib presiden, manakala Nelson Renganathan adalah muka baharu atau kali pertama bertanding bagi jawatan naib presiden. Calon yang tewas, T. Mohan, adalah penyandang jawatan naib presiden bagi tiga penggal.
Berhubung dengan PRK Sungai Bakap pula, calon Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 4267 apabila memperoleh 14,489 undi. Calon PH hanya mampu memperoleh 10,222 undi.

Meskipun pelbagai alasan dan tafsiran dikemukakan terhadap keputusan-keputusan pemilihan MIC dan PRK Sungai Bakap, apa yang jelas kelihatan adalah keputusan bagi pemilihan tersebut bukan sahaja mencerminkan kecenderungan semasa ahli parti dan pengundi malah pemilihan dilaksanakan dengan demokratik, bersih dan teratur tanpa sebarang unsur salah guna kuasa.

Dalam hal ini, keputusan pilihan MIC menunjukkan kecenderungan ahli MIC adalah lebih akur kepada kepimpinan parti malah bertekad untuk mengukuhkan perpaduan dan kekuatan parti. Keputusan juga kelihatan mereka sanggup dan sedia menerapkan pembaharuan-pembaharuan dalam parti mengikut keperluan semasa.

Selain itu, keputusan pemilihan MIC juga jelas menunjukkan Tan Sri SA. Vigneswaran, presiden MIC yang menang tanpa bertanding bagi penggal ketiga, semakin disokong oleh ahli-ahli dan semakin kuat dalam parti. Malah, menunjukkan perpaduan dan kekuatan MIC adalah berada dalam tahap yang amat tinggi dalam sejarah MIC. Sebahagian besar pemimpin-pemimpin barisan utama yang dipilih oleh ahli adalah terdiri daripada bukan sahaja orang lama dan berpengalaman dalam parti malah orang-orang yang cukup memahami, meresapi dan menghayati cita-cita Vigneswaran terhadap masa depan MIC.

Dengan menguasai parti, Vigneswaran selaku nakhoda kapal MIC, dilihat mampu malah mudah untuk bukan sahaja mengurus parti, termasuk membuat keputusan-keputusan yang strategik bagi kepentingan masa depan parti dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu yang kian tercetus dalam pentas politik negara yang tidak tentu, terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengundi Sungai Bakap pula lebih cenderung untuk mengekalkan calon daripada parti PN sebagai wakil rakyat mereka. Pengundi dikesan menolak calon PH bukan atas faktor calon tetapi lebih dipengaruhi oleh permasalahan semasa yang mereka hadapi terutamanya isu kenaikan harga barang, kenaikan kos sara hidup, isu subsidi diesel dan tidak ketinggalan sentimen kaum.

Meskipun presiden MIC memberi amaran kepada calon-calon supaya jangan menggunakan isu kasta dan agama dalam usaha merayu mengundi, timbul juga bibit sentimen kasta dan agama dalam pemilihan MIC pada kali ini. Walaupun penggunaan sentimen kasta tidak menyeluruh dalam parti seperti dahulu, namun penggunaan sentimen ini oleh sesetengah pihak telah menimbulkan kebimbangan dan kerisauan dalam kalangan ahli MIC yang ingin menolak dan menghapuskan sentimen kasta dalam parti yang mampu meruntuhkan kekuatan parti.

Namun, pada keseluruhannya, pemilihan MIC pada kali ini jelas menunjukkan demokrasi masih segar dalam parti MIC malah pemimpin-pemimpin muda daripada akar umbi dilantik untuk menyertai saf kepimpinan utama sebagai pelapis kepimpinan MIC.
Usaha kesiapsiagaan Vigneswaran dalam menyediakan pelapis kepimpinan parti melalui pemilihan parti pada kali ini didapati diterima baik malah disokong oleh sebahagian besar ahli-ahli MIC daripada semua peringkat. Dengan ini, para perwakilan telah memberi mandat kepada Vigneswaran, selaku presiden MIC, untuk membuat keputusan yang strategik dan bijak terhadap hala tuju MIC bagi menghadapi masa depan politik negara yang tidak tentu malah kian berubah.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang dalam pemilihan MIC dan PRK Sungai Bakap. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial-politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×