Pakar dan bakat tangani isu bekalan makanan - Utusan Malaysia

Pakar dan bakat tangani isu bekalan makanan

MALAYSIA memerlukan pakar pertanian bagi menghasilkan produk yang berkualiti seperti tahan penyakit dan berproduktiviti tinggi. – GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA umumnya antara persoalan utama isu keterjaminan makanan yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pakar dan anggota masyarakat adalah sejauh mana negara mampu menghasilkan bakat yang kompeten untuk memastikan pelbagai keperluan sekuriti makanan ditangani secara konsisten oleh individu yang terlatih dan berkemahiran tinggi demi kelangsungan bekalan makanan kepada rakyat, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan UNESCO yang mencakupi ‘kelaparan sifar’.

Hakikatnya, sebagai universiti yang bertunjangkan disiplin pertanian dan makanan sejak 1971, Universiti Putra Malaysia (UPM) memiliki kepakaran terlatih, dan sumber yang pelbagai untuk menyumbang kepada isu keterjaminan makanan yang dihadapi negara melalui program akademik, penyelidikan dan inovasi, serta khidmat pengembangan.

Bagi menyokong Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (2021-2025), UPM telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan Pelan Tindakan (Blueprint) Keterjaminan Makanan peringkat universiti dalam usaha membantu kerajaan membina sistem makanan yang lestari, berdaya saing dan setara di peringkat nasional dan global.

Pelan tindakan ini telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Pembangunan dokumen strategik ini selari dengan visi universiti untuk menjadi peneraju kepada pelbagai inisiatif penting terutama menangani ancaman berkaitan keterjaminan makanan yang semakin membimbangkan.

Kesediaan UPM membantu isu keterjaminan makanan negara diberi penekanan khusus oleh Naib Canselor, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah yang berharap penerbitan dokumen ini dapat dimanfaatkan sebagai sumber rujukan berautoriti dalam mendepani cabaran mendatang dalam isu keterjaminan makanan.

Tiga lonjakan telah ditetapkan iaitu lonjakan teras, lonjakan pemboleh daya dan lonjakan keberhasilan dengan lonjakan pemboleh daya menampilkan iltizam dan komitmen UPM melalui skop ketersediaan bakat untuk menyediakan sumber bakat kompeten diperlukan negara bagi memacu kecemerlangan sektor pertanian dan agribio.

Untuk rekod, sehingga 2024, sebanyak 34 program prasiswazah berkaitan pertanian dan agribio merangkumi 26 program Bachelor, tujuh program Diploma dan satu program Asasi Sains Pertanian ditawarkan oleh UPM. Ini merangkumi 37 peratus daripada keseluruhan 92 program prasiswazah.

Sumbangan menyediakan bakat terbukti apabila pada 2023 UPM berjaya mengeluarkan sebanyak 36 peratus graduan prasiswazah berkaitan pertanian dan agribio yang sedang menyumbang tenaga dan kepakaran di seluruh negara.

Universiti ini juga berjaya menghasilkan modal insan yang memiliki atribut keusahawanan tani berteraskan teknologi melalui penawaran Bachelor Teknologi Pertanian Pintar Dengan Kepujian.

Usahawan tani moden dengan ilmu pertanian berteknologi dapat membuktikan pertanian juga merupakan perniagaan yang menjamin pulangan lumayan dan pada akhirnya graduan ini dapat menyumbang kepada kelangsungan keterjaminan makanan negara berpaksikan pelbagai kemudahan teknologi terkini.

Secara umumnya ketersediaan bakat didefinisikan sebagai kesediaan pegawai akademik, pegawai bukan akademik, pelajar dan pemegang taruh pertanian yang meliputi pembuat dasar, pemain industri, komuniti dan masyarakat secara amnya dalam menyumbang secara efektif dan kolektif untuk memastikan keterjaminan dan kelestarian bekalan makanan negara melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi produk pertanian.

Peranan universiti menyediakan bakat diperlukan negara terserlah melalui inisiatif dan komitmen berterusan dalam menyediakan program pendidikan dan latihan sebagai usaha pemupukan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman serta sikap yang positif dalam bidang tanaman makanan, penternakan, dan perikanan. Ini termasuk menyediakan pendidikan formal dan tidak formal, latihan serta program pendidikan yang berorientasikan pertanian seperti pengeluaran makanan, perkhidmatan pendidikan nutrisi sihat dan TVET pertanian.

Tuntasnya empat skop utama menjadi sandaran iaitu, pembangunan kemahiran, kepakaran yakni memastikan ketersediaan pelapis kepakaran, keahlian dalam badan profesional untuk mendapatkan pengiktirafan Agrologist serta pelaksanaan program sangkutan di industri.
Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di bawah empat skop itu, UPM yakin boleh menyumbang kepada proses penyediaan bakat yang kompeten dalam bidang keterjaminan makanan dengan berterusan menjadi sumber yang mendidik, membimbing, membentuk serta menyalurkan kepakaran dan membangunkan bakat yang diperlukan industri dan negara.

Di samping itu universiti awam dan swasta lain serta agensi kerajaan berkaitan juga diharap dapat membentuk kerjasama strategik dengan UPM melalui perkongsian pintar dokumen pelan tindakan ini supaya dapat melatih bakat masing-masing ke arah menjadi pakar rujuk sektor pertanian dan agribio.

Ironinya negara ini, kaya dengan pelbagai sumber alam dan tidak sepatutnya berhadapan masalah bekalan makanan jika sumber yang dimiliki dapat digembleng dengan kepakaran tempatan sekali gus mewujudkan bekalan yang lestari.

Hakikatnya, kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan makanan negara khususnya komuniti pertanian di tengah-tengah cabaran seperti perubahan iklim dan teknologi disruptif mampu mewujudkan impak positif menang-menang kepada rakyat dan negara. Keterjaminan makanan perlu terus diangkat menjadi agenda utama negara kerana membabitkan soal kesejahteraan rakyat.

Semoga pelaksanaan segala inisiatif yang terkandung dalam dokumen pelan tindakan ini menjadi pemangkin penting dalam menyokong Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (2021-2025) melalui penyediaan bakat kompeten yang bakal memacu sektor pertanian negara.

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN