Noktahkan pencemaran plastik di Malaysia

Noktahkan pencemaran plastik di Malaysia

PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyasarkan untuk menamatkan pencemaran plastik termasuk persekitaran marin menjelang 2025 dan Malaysia juga telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBINCANGAN tentang pencemaran plastik semakin hangat apabila banyak penemuan baharu tentang kesan pencemaran plastik dalam manusia dilaporkan dalam jurnal saintifik terkemuka dan ulasan dalam media umum antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menganjurkan kempen menamatkan pencemaran plastik di lautan. Pada Februari 2017, Program Alam Sekitar PBB (UNEP), telah melancarkan kempen laut bersih bagi melakukan transformasi sikap, amalan dan polisi tentang mengurangkan pencemaran plastik di lautan dan meningkatkan kesedaran tentang kesan negatif plastik kepada alam sekitar, sosial, ekonomi dan kesihatan.

Memandangkan kesan pencemaran plastik kepada alam sekitar amnya sangat penting, maka pada Mac 2022, Perhimpunan Alam Sekitar PBB membincangkan tentang menamatkan pencemaran plastik termasuk persekitaran marin. Perkara mudah dicadangkan adalah mengurangkan plastik sekali guna dengan mengubah kepada guna semula botol air dan beg. Sebanyak 175 negara bersetuju dengan cadangan itu untuk diselesaikan menjelang 2025.

Malaysia juga mengambil langkah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030. Aktiviti awal telah dilaksanakan melibatkan aktiviti pembersihan pantai bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang pencemaran plastik, mengadakan kempen tiada penyedut minuman plastik dan beg plastik sekali guna.

Dasar ini tidak boleh dilaksanakan dengan baik apabila seluruh dunia menghadapi pandemik Covid-19. Penggunaan plastik sangat meningkat pada masa itu demi menghalang penularan virus Covid-19. Peningkatan penggunaan plastik meningkat dengan mendadak daripada biasa. Plastik digunakan dalam peralatan untuk perkhidmatan kesihatan, penyediaan makanan dan pembungkusan barangan. Keadaan rakyat yang tertekan, kurang kefahaman tentang pencemaran plastik dan penyelenggaraan yang kurang berkesan menyebabkan pencemaran plastik terus berleluasa.

Pada 2021, China dikatakan antara yang bertanggungjawab dalam menghasilkan 32 peratus bahan berasaskan plastik dan menyumbang kepada pencemaran plastik dunia diikuti oleh Amerika Utara yang mengeluarkan 18 peratus plastik.

Penyumbang utama pencemaran plastik dunia dalam kalangan syarikat-syarikat pada 2023 juga dilaporkan, termasuk The Coca-Cola Company, Nestle, Unilever, PepsiCo, Mondelez International, Mars, Danone and British American Tobacco.

Syarikat-syarikat ini bekerja keras dalam mendisiplinkan pengguna melalui program pendidikan dan mengubahsuai rekabentuk bahan berasaskan plastik bagi mengurangkan pencemaran. Misalnya pihak Coca-Cola menaja 10 tahun program pendidikan dan kesedaran kepada mahasiswa universiti melalui Universiti Putra Malaysia.

Program ini berkembang kepada peringkat komuniti dan pelajar sekolah. Kajian yang lebih menarik lagi apabila ahli-ahli sains mengkaji kesan kepada manusia dan melaporkan dalam jurnal antarabangsa.

Antara jurnal popular antarabangsa yang melaporkan kesan partikel plastik kepada sistem pembiakan manusia ialah jurnal Toxicological Sciences keluaran Mei 2024 yang melaporkan plastik mikro terdapat dalam testis manusia dan anjing, Jurnal Science Total Environment keluaran 2023 juga melaporkan pengesanan plastik mikro dalam testis dan semen manusia, Jurnal Environmental Science and Pollution Research International keluaran 2024 juga mendapati ada plastik mikro dalam sistem pembiakan manusia dan tikus, manakala Jurnal Ecotoxicology and Environmental Safety 2023 juga melaporkan penemuan tentang keracunan mikro dan nanoplastik terhadap kualiti sperma dan perubahan sel testis.

Malah International Journal Environmental Research Public Health 2020 telah lama membincangkan potensi kesan plastik mikro dalam kesihatan manusia. Perhatian ini diberikan setelah mendapati plastik mikro terdapat di merata-rata termasuk di udara, air dan tanah di tempat tertinggi, lautan yang paling dalam dan gurun yang paling gersang di dunia. Plastik mikro dan plastik nano membawa bersama bahan kimia merbahaya dalam ekosistem bersamanya. Plastik mikro boleh menjadi pembawa atau vektor kepada bahan kimia merbahaya yang boleh mengganggu sistem hormon.

Bahan kimia yang boleh mengganggu sistem hormon (EDC) sudah lama dibincangkan dan menjadi perkara penting dalam kesihatan awam. Namun semua perkara itu mungkin setakat perbincangan peringkat teknikal dan tidak dimanfaatkan oleh orang awam dan menjadi polisi kerajaan yang serius. Laporan dalam Toxicological Sciences keluaran Mei 2024 tentang penemuan plastik mikro dalam semen dan testis menarik perhatian media dunia mengulas. Ulasan media antarabangsa seperti The Guardian, CNN dan BBC berkaitan kualiti sperma akibat keracunan plastik mikro mendapat perhatian dunia.

Status pencemaran plastik di Malaysia juga dilaporkan media tempatan dan antarabangsa. Misalnya dilaporkan rakyat Malaysia makan lebih plastik setiap hari berbanding daripada 108 negara lain. Ada juga berita melaporkan rakyat Malaysia nombor satu di dunia memakan plastik mikro daripada makanan laut. Apakah maksud laporan ini? Kerajaan mesti mengambil tindakan serius tanpa alasan untuk membuktikan keadaan melalui kajian yang terperinci.

Kerajaan sedang menyediakan polisi berkaitan penghasilan, penggunaan dan pembuangan sisa plastik selari dengan perjanjian plastik global. Pengurusan plastik mikro yang cekap sangat penting di seluruh dunia.

Undang-undang berkaitan kualiti makanan melibatkan plastik juga perlu diberikan perhatian dan mungkin undang-undang yang akan disediakan mesti selari dengan penggunaan bahan berasaskan plastik dan penyelenggaraannya. Pencemaran plastik dalam manusia berpotensi mendedahkan risiko kepada kesihatan manusia. Plastik mikro telah dijumpai dalam bahagian tubuh manusia termasuk paru-paru, perut, darah dan organ lain. Kesan kepada kesihatan manusia termasuk meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

Pencemaran plastik mikro ada kaitan dengan urbanisasi, masakan di rumah dan penggunaan penggosok semasa membersih. Keracunan akibat plastik boleh mengganggu proses spermatogenesis dan tekanan kepada proses fisiologi lain yang boleh menyebabkan keadaan metabolisme yang tidak normal.

Pengaruh media sangat penting dalam memberikan kesedaran awam tentang pencemaran plastik, kesan pencemaran plastik kepada manusia dan kaedah pengurusan terbaik. Isu pengurusan plastik terbaik adalah terletak kepada semua orang kerana kesannya nanti akan terkena kepada semua orang lain tanpa disedari. Sejauh mana kesan media mempengaruhi masyarakat secara berterusan perlu dikaji.

Dalam hal ini media adalah perantara antara ahli sains dan masyarakat. Keberkesanan media, selain daripada kreativiti media, maklumat saintifik tentang pencemaran plastik amat penting. Penemuan secara saintifik dan perbincangan umum dalam media telah meningkatkan perhatian umum terutamanya melibatkan sistem pembiakan yang boleh memberikan kesan kepada generasi akan datang. Kesan plastik mikro ke atas kesihatan sistem pembiakan sangat membimbangkan dan mesti diberikan perhatian segera.

DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN