UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis sebenarnya masih mempunyai kekuatan dan menjadi tempat rakyat bergantung meskipun hilang penguasaan sebagai kerajaan negeri buat kali pertama dalam sejarah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selepas hampir dua tahun ‘tragedi’ yang menyaksikan UMNO kalah di semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen di negeri ini namun parti itu sebenarnya sudah kembali bangkit dengan aura lebih segar dalam misi kembali merampas Perlis dalam PRU16.
Seperti kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Arau baru-baru ini, UMNO di Perlis mempunyai kekuatan tersendiri dan agak unik meskipun kali pertama tsunami politik dalam PRU14 pada 2018 lalu apabila BN tumbang di peringkat pusat dan kehilangan banyak negeri namun di Perlis masih berjaya mengekalkan penguasaan kerajaan negeri.
Apabila UMNO hilang semua kerusi di Perlis dalam PRU15 lalu sudah tentu ramai tertanya-tanya dan pastinya kata Johari, sesuatu yang berlaku sehingga menyebabkan kekalahan terburuk di Perlis itu mesti ada sebab.
UMNO kalah atau menjadi lemah bukan disebabkan ‘berperang’ dengan parti lawan sebaliknya bergasak sesama sendiri untuk berebut menjadi pemimpin yang akhirnya memberi kelebihan kepada parti lawan yang sebenarnya bukan terlalu kuat.
Parti keramat orang Melayu itu perlu bertanggungjawab atas kelemahan dan kejatuhan UMNO hari ini dan perlu bangkit untuk mengembalikan kuasa orang Melayu ini.
Justeru, cadangan Johari kepada UMNO Perlis untuk kembali merampas negeri ini dalam PRU16 adalah semua barisan kepemimpinan negeri ini perlu mula dari sekarang untuk sediakan 15 calon DUN dan tiga Parlimen yang berkualiti untuk diketengahkan dalam pilihan raya nanti.
Cari pemimpin untuk diketengahkan itu daripada sekarang dan bekerjasama sebagai pasukan yang baik sebelum menghadapi PRU16 dan kembali merampas negeri ini.
Jika dilihat pada hari ini, UMNO di Perlis sebenarnya masih dirindui oleh rakyat khususnya dalam aspek perkhidmatan kepada rakyat yang semua sedia maklum parti itu sentiasa ke depan dalam soal berkenaan.
Meskipun bukan lagi sebagai kerajaan di negeri ini, namun setiap kali berlaku musibah seperti ribut, banjir dan sebagainya, pemimpin-pemimpin UMNO di kawasan-kawasan ini yang sentiasa dicari terlebih dahulu.
Meskipun dalam keadaan serba kekurangan apabila bukan lagi sebagai kerajaan, namun UMNO tetap akan berusaha sedaya mampu bagi membantu rakyat yang memerlukan itu.
Itulah sifat UMNO yang kita tidak boleh nafikan apabila sentiasa ke depan dalam soal memberi perkhidmatan kepada rakyat.
TAMPIL LEBIH AWAL
Kembali kepada soal cadangan menampilkan calon lebih awal untuk diketengahkan dalam PRU16, ia disambut baik oleh UMNO negeri ini yang telah mula mengenal pasti calon.
Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman, secara dasarnya, perkara tersebut dibincangkan sebelum ini namun parti masih mempertimbangkan bagi mengumumkan calon berkenaan secara rasmi atau sebaliknya.
Beliau berkata, langkah mengenal pasti calon lebih awal merupakan antara perubahan cuba dilakukan parti itu di peringkat negeri bagi membantu kemenangan UMNO dalam PRU16.
“Saya percaya kita akan dapat persetujuan daripada presiden untuk ketengahkan calon yang telah dikenal pasti tersebut. Dan daripada situlah kita akan lihat petunjuk prestasi utama (KPI) mereka sama ada mampu untuk diketengahkan sebagai calon atau tidak,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya pula berkata, di Kangar sudah beberapa pemimpin dikenal pasti bukan sahaja daripada sudut kelayakan tetapi gerak kerja ditunjukkan di peringkat bawah.
“Tentunya penentuan nanti (calon) akan berlaku di peringkat pusat yang akan dibawa oleh pengerusi perhubungan selepas berbincang dengan tiga bahagian sebelum mengangkat nama ke pusat.
“Pemilihan calon bukan oleh negeri semata-mata sebaliknya kita juga nak minta dapatan dan kajian daripada peringkat pusat yang mungkin melihat impak calon apabila berada di Parlimen kelak yang mampu beraksi, yang ada idea dan pandangan.
“Kita juga nak idea dan cadangan daripada pihak pusat. UMNO pusat mungkin melihat (calon) daripada kaca mata yang lebih luas, kami mungkin melihat daripada sudut gerak kerja di sini. Gabungan kedua-dua (negeri dan pusat) itu penting dalam pemilihan calon,” katanya.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










