KETIKA berucap dalam Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) di Stadium Bukit Jalil kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencapai keputusan 10A ke atas akan diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.
Pengumuman ini dibuat susulan keputusan berani yang dibuat oleh mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Jun lalu yang mahu memastikan semua pelajar cemerlang dari semua aliran sekolah tanpa mengira kaum dan wilayah di negara ini mendapat peluang terbaik untuk melanjutkan pengajian lebih tinggi sekali gus meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara.
Satu kata kunci yang digunakan oleh Perdana Menteri dalam membuat pengumuman ini ialah ‘mengiktiraf kecemerlangan’ yang selaras dengan objektif NTW 2024 untuk memperkasakan rakyat menjadi lebih berkemahiran dan berpengetahuan melalui pelbagai inisiatif latihan yang menyeluruh dalam memajukan pertumbuhan dan kesejahteraan negara.
Dari segi kesannya terhadap dasar pendidikan, langkah ini dijangka akan dapat meningkatkan akses ke pendidikan tinggi untuk pelajar cemerlang dari semua latar belakang. Semoga tidak akan kedengaran lagi selepas ini dalam media cerita mana-mana pelajar cemerlang dari mana-mana aliran sekolah gagal mendapat tempat di peringkat matrikulasi.
Dari sudut politik, pengumuman ini seharusnya mendapat penerimaan positif dari pelbagai segmen masyarakat yang mengharapkan kesamarataan peluang dalam pendidikan, khususnya kepada pelajar cemerlang. Memang pernah berlaku ada pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di peringkat matrikulasi kerana kekangan tertentu, termasuk kewujudan sistem kuota.
Perdana Menteri jelas dalam soal ini. Seperti ditegaskan ketika menjawab soalan seorang pelajar yang tidak berpuas hati dengan kewujudan sistem kuota kemasukan ke institusi pendidikan awam dalam sesi Temu Anwar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang pada 5 Ogos 2023, Perdana Menteri menyatakan pembatalan sistem kuota akan menimbulkan kekacauan dalam negara.
Perdana Menteri berkata, mereka yang mempersoalkan tentang sistem kuota harus belajar mengenai sejarah negara ini dan memahami mengapa ia penting bagi menjamin keadilan untuk kaum bumiputera, tetapi beliau akan sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk melakukan perubahan dalam sistem pendidikan negara bagi menjamin keadilan untuk semua pihak.
“Kita perlu lakukan perubahan secara berperingkat, tidak boleh buat secara gopoh. Anak-anak India, anak-anak Cina, semua anak saya. Anda paksa kami untuk mengubah sistem kuota sekarang untuk memenuhi permintaan golongan ekstremis, tetapi perubahan ini akan menyebabkan kami kalah teruk dalam pilihan raya,” itulah penjelasan Perdana Menteri pada waktu itu.
Inilah fakta yang berlaku sekarang. Sebaik sahaja pengumuman seperti ini dibuat terus berlegar dalam media sosial propaganda liar untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu bahawa mereka sedang terancam kerana Perdana Menteri kini berkompromi dan akur dengan tuntutan kaum bukan Melayu serta menyerahkan hak serta kuasa orang Melayu.
Atas sebab ini maka Perdana Menteri menyatakan keputusan ini adalah keputusan berani. Berani kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang Melayu yang ditakut-takutkan bahawa langkah ini mengancam keistimewaan orang Melayu dalam beberapa aspek, termasuk dalam bidang pendidikan, yang dijamin oleh Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.
Berikutan pengumuman ini, ada kemungkinan bahawa beberapa golongan dalam masyarakat Melayu merasa tidak puas hati kerana melihat langkah ini sebagai melanggar atau mengubah status quo yang telah lama diamalkan oleh kerajaan sebelum ini, khususnya kerana merasakan ada pengurangan atau ancaman terhadap keistimewaan yang mereka terima selama ini.
Walhalnya Perdana Menteri sendiri telah menegaskan bahawa keputusan Kabinet itu bukan bermakna kerajaan pimpinan beliau mengenepikan agenda memartabatkan bumiputera. Malah prinsip perlembagaan tidak terungkai dan sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dan tidak terjejas.
Inilah kerja sukar yang sedang dibuat oleh Perdana Menteri, iaitu menjadi seinklusif mungkin dengan menyeimbangkan sistem meritokrasi yang bertujuan untuk memastikan kesamarataan akses ke pendidikan tinggi dengan prinsip keistimewaan melalui sistem kuota yang bertujuan untuk menangani beberapa ketidakadilan di masa lampau terhadap golongan bumiputera.
Sewajarnya langkah ini tidak akan membawa kepada kekecohan sebaliknya mendapat sokongan meluas dari rakyat. Membesarkan kek pernah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menambah kuota kemasukan matrikulasi untuk kaum bukan Melayu antara 2012 ke 2018. Begitu juga oleh Dr. Maszlee Malik antara 2018 ke 2019.
EKONOMI
Apa yang berbeza ialah langkah sekarang jauh lebih berani dan lebih menyeluruh kerana buat pertama kali tidak ditetapkan apa-apa kuota kepada mana-mana kaum. Asal sahaja pelajar lepasan SPM itu mencapai keputusan 10A ke atas maka mereka secara automatik akan diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi tanpa mengira apa kaum mereka.
Secara ekonomi, pengiktirafan kecemerlangan ini adalah pelaburan penting dalam pembangunan insan berkualiti yang akan memberi pulangan positif kepada negara dalam jangka panjang selaras dengan matlamat yang ingin dicapai melalui Ekonomi Madani, iaitu kedudukan antara 30 ekonomi terbesar dunia serta tangga ke-25 teratas dunia dalam Indeks Pembangunan Manusia.
Sewaktu melancarkan Ekonomi Madani pada 27 Julai 2023, Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk meletakkan Malaysia sebagai Peneraju Ekonomi Asia dan melakukan Peningkatan Darjat Hidup Rakyat yang akan dicapai melalui pekerjaan bermakna dan berpendapatan tinggi, antaranya melalui pemberian akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua.
Dalam usaha tersebut, kita perlu memastikan tiada mana-mana pihak yang tercicir. Kita tidak mahu mendengar lagi cerita penerima Anugerah Pelajaran Diraja dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), M. Nahvin, mengenai kawannya yang layak tetapi tidak diterima untuk masuk ke program matrikulasi mengalami kemurungan dan meninggal dunia kerananya.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Muhammad Fuad Othman ialah Pengarah Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM).










