Mahu kempen pilihan raya paling berakhlak, beradab

Mahu kempen pilihan raya paling berakhlak, beradab

JOOHARI ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEHANGATAN Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sudah mula dirasai ketika ini. Baik calon, jentera parti, pengamal media serta penyokong, kesemuanya sibuk ke sana dan ke sini untuk berkempen atau membuat liputan kempen.

Pertembungan satu lawan antara antara Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan dengan Perikatan Nasional (PN) dilihat ramai pihak seperti perlawanan antara ‘buku dengan ruas’.

Wartawan Utusan Malaysia, ISWAN SHAFIQ ISA dan SITI NUR MAS ERAH AMRAN sempat menemui DR. JOOHARI ARIFFIN atau mesra disapa Cikgu Jo untuk mengetahui perjalanan kempen serta harapan terhadap pengundi di Sungai Bakap.

 

FOKUS ISU SETEMPAT
APABILA proses penamaan calon selesai, saya mula bergerak (berkempen) walaupun sebenarnya telah bermula lebih awal iaitu seminggu sebelum nama diumumkan sebagai calon dan alhamdulillah, setakat ini (selepas beberapa berkempen), saya agak berpuas hati.

Sebenarnya, saya lebih fokus kepada isu setempat. Saya rasa itu yang lebih relevan kepada masyarakat di sini. Itu (nasional) seperti diesel, semua sudah ada jawapan. Sama ada kita mahu terima atau tidak. Jadi, lebih baik isu itu dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Berhubung masalah air (di Sungai Bakap) pula, masalah ini sebenarnya sudah lama. Saya rasa bukan sahaja saya, malah pemimpin-pemimpin (wakil rakyat terdahulu) juga cuba atasi isu ini. Insya-Allah, jika diberi mandat, saya akan cuba atasi perkara ini.

Kalau diikutkan, di kedudukan pertama aduan yang diterima setakat ini ialah kos sara hidup diikuti masalah prasarana termasuk isu bekalan air bersih atau gangguan bekalan air. Begitu juga dengan (isu) banjir. Satu lagi ialah infrastruktur terutamanya berkait dengan jalan raya. Itu antara fokus saya dari segi pembangunan.

PENDIDIKAN
Antara ciri-ciri penting seorang pemimpin, dia perlu ada ilmu selain karakter. Sebab pemimpin ini, kalau dia tiada ilmu, boleh menyesatkan orang lain. Sebab itu pada saya, ‘man are born ignorant, not stupid. They are made stupid by education’. Maknanya, manusia ini bukan tidak pandai, tetapi jahil. Jadi, janganlah kita membodohkan rakyat. Itu sahaja pada saya.

Lagi satu, saya pernah menjadi guru dan guru adalah profesion kedua paling dipercayai di dunia selepas doktor. Jadi, apabila orang mula percayakan kita, maka, jangan tipu orang. Jadi ahli politik pun macam itu juga.

KALAH MAJORITI 1,563 UNDI KETIKA PRN
Pada saya, ada sebab mengapa pengundi sebelum ini memilih PN (ketika Pilihan Raya Negeri 2023). Sebabnya, sebelum ini, kita (PH) tidak pernah kalah (di Sungai Bakap). Hanya tahun lepas sahaja (kalah). Mungkin ini disebabkan isu, sentimen, kepercayaan dan persepsi. Jadi, kita cuba nak betulkan semula persepsi itu, supaya mereka percaya semula kepada kita. Jadi, perlu kerja keras. Beri maklumat yang tepat kepada masyarakat supaya kali ini mereka boleh memilih calon yang betul.

Isu-isu yang kita yakin boleh buat, kita akan cuba buat, atasi. Yang tidak boleh jangan buat. Sebab itu jangan berjanji kalau tidak mampu. Nanti rakyat akan tagih janji itu. Apa pun, sebagai wakil rakyat, isu (yang disuarakan rakyat) kita ketengahkanlah. Saya percaya komitmen kerajaan sekarang ke arah itu juga (menyelesaikan segala masalah rakyat).

TEKANAN
Secara peribadi memang saya tertekanlah. Ini harapan tinggi (untuk menang di Sungai Bakap). Tambahan pula, kita sekarang pula status quo. Maknanya, sebelum ini menang dan sekarang pun menang atau sebelum ini kalah dan sekarang pun kalah. Sekarang, kita nak menang di tempat yang kita kalah ini. Itu yang buat kita tertekan.

Sebab itulah, kita kena kerja keras, tidak mustahil 1,563 (undi majoriti ketika tewas kerusi DUN Sungai Bakap semasa PRN) yang kita panggil undi kelabu itu mampu kita putihkan.

PENGUNDI MUDA DAN KEPENTINGAN ILMU
Saya akui, orang tua mahu mendekati orang muda ini bukan senang. Tetapi, saya masih beruntung kerana ada ramai pelajar yang masih muda. Mungkin itu kelebihan jika seorang yang pernah menjadi guru seperti saya menjadi calon.

Selain itu, saya juga minta semua pihak (terutamanya jentera Perpaduan) untuk mendekati orang muda ini. Ini yang kita panggil pertama kali mengundi. Mereka perlu didekatkan dengan ilmu. Orang yang baharu masuk (mengundi) ini pada saya, kalau dia yakin dengan sesuatu (perjuangan) parti, dia boleh kekal (menyokong) sehingga dua atau tiga penggal untuk mengundi parti yang sama. Jadi, kita kena beri pendidikan yang betul kepada orang muda ini.

Nak cari ilmu ini bukan 30 saat (boleh dapat). Kita kena belajar, bersabar. Lepas masuk kuliah, pi (pergi) buat penyelidikan. Lepas itu, buat rujukan di perpustakaan. Tradisi itu masih ada. Orang yang hearsay (bercakap melalui khabar angin sahaja) ilmu dia tidak ke mana. Semangat sahaja yang naik.

Justeru, sekali lagi saya beritahu, kita tidak boleh sampaikan semua ilmu itu dalam masa yang pendek, tetapi kita sebut, apa sahaja yang dia (orang muda) mahu buat, mestilah berdasarkan kepada maklumat, ilmu yang tepat supaya nanti apabila dia menjadi pemberita sebagai contoh, dia tidak sebar berita-berita yang tidak tepat.

Dalam hal ini, bila dapat maklumat, perlu guna akal, orang muda patut ada idealisme yang tinggi, cita-cita yang tinggi. Segala maklumat yang diterima sepatutnya dia proses dengan menggunakan idealisme yang dia ada.

ILTIZAM
Saya tidak sebut manifesto, saya sebut iltizam. Saya tak sebut janji tetapi saya sebut komitmen.

Buat masa ini, saya beri ringkasan kepada iltizam saya. Saya letakkan ini (manifesto) sebagai komitmen dan iltizam saya. Saya ingin tekankan tentang perpaduan. Perpaduan bagi saya amat penting. Kata ‘akar’ (bagi perpaduan) ini ialah padu yang juga membawa maksud bersatu, bekerjasama dan lain-lain. Padu bagi saya yang berkonsepkan bersatu.

P – mewakili prasarana. prasarana di Sungai Bakap ini agak kritikal. Masalah gangguan air, banjir dan sebagainya. Saya akan cuba mencari jalan penyelesaikan ke arah itu. Termasuk isu infrastruktur iaitu berkaitan jalan raya.
A – merujuk kepada akademik. Tetapi, dalam hal ini akademik sahaja tidak mencukupi. Perlu ada akhlak juga. Jadi, ia merujuk kepada akademik dan akhlak generasi muda.
D – ialah damai. Kita kalau boleh jangan berbalah. Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan bermusuh. Bermusuh ini sampai bila-bila pun tidak selesaikan sebarang masalah.
U – membawa maksud untuk semua. Jadi, kalau mana-mana wakil rakyat yang dilantik, mereka perlu jadi pemimpin kepada semua.

HARAPAN
Hajat saya mahu lihat Sungai Bakap ini menjadi satu penanda aras untuk mana-mana pilihan raya yang akan datang ini. Saya kalau boleh, mahu bentuk satu kempen yang paling berakhlak, yang paling ada nilai, paling ada adab. Ini saya pesan kepada semua (jentera) sebab kita bawa imej ini.

Sebab itulah saya berazam, minta nasihat kawan-kawan semua, kita jangan serang lawan secara peribadi sebab kita tidak tahu orang itu macam mana. Kita nampak luaran, kita serang, jangan. Saya ada berpesan kepada pencabar saya juga (Abidin Ismail). Kita bersaing secara adil. Saya takkan serang anda secara peribadi. Anda mahu sebut kepada saya, anda sebut. Kalau apa yang anda cakap itu betul, saya akan ambil itu sebagai ilmu. Kita semua bukanlah manusia yang sempurna.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×