Indeks kepercayaan meningkat bukti rakyat yakin dengan PM

Indeks kepercayaan meningkat bukti rakyat yakin dengan PM

LONJAKAN kepercayaan rakyat khususnya persepsi awam mencerminkan keyakinan terhadap kerajaan Madani walaupun menghadapi cabaran ekonomi yang berterusan. – GAMBAR ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENEMUAN hasil kaji selidik Barometer Kepercayaan Edelmen 2024 menunjukkan Skor Indeks Kepercayaan keseluruhan Malaysia sebanyak 63 peratus, berlaku peningkatan enam mata berbanding 2023, sekali gus meletakkan Malaysia antara 10 negara paling dipercayai daripada 28 negara yang dikaji. Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan peningkatan 13 mata yang luar biasa dalam kepercayaan awam sejak tahun lepas.

Secara umumnya, pembentangan data ini menunjukkan tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan khususnya persepsi awam terhadap tadbir urus dan rangka kerja institusi negara ini melonjak dengan ketara, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kerangka demokrasi di bawah kerajaan Madani walaupun menghadapi cabaran ekonomi yang berterusan. Ini juga memberikan gambaran kukuh terhadap sentimen orang ramai tentang kepercayaan, inovasi dan tadbir urus serta membuktikan segala perancangan, pendekatan, inisiatif dan dasar diperkenalkan kerajaan berada pada landasan yang betul dan tepat untuk memacu kegemilangan negara.

Dari segi ekonomi misalnya, kemasukan pelaburan secara besar-besaran dari pelbagai syarikat antarabangsa terutamanya yang berpaksikan teknologi serta kemasukan modal asing dari rakan dagang yang besar seperti China yang mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara terutamanya kesan rantaian terhadap industri yang berkaitan serta menggalakkan pemindahan teknologi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat dilihat membantu meningkatkan sentimen kepercayaan orang ramai terhadap inisiatif kerajaan dalam memacu ekonomi negara.

Ternyata pelbagai dasar dan rancangan ekonomi yang diperkenal dan dilaksanakan mula memberikan hasil yang sewajarnya kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Jumlah penganggur yang direkodkan pada Mac 2024 misalnya dilaporkan terus menurun kepada 566,600 orang, mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 3.3 peratus.

Walaupun dasar penyasaran subsidi diesel sedang hangat dibincangkan, namun secara umumnya anggota masyarakat dilihat boleh memahami rasional dan justifikasi di sebalik keputusan tidak popular kerajaan ini yakni tidak lain dan tidak bukan untuk menangani ketirisan dan kebocoran subsidi kepada pihak yang tidak layak selain menyelamatkan wang negara untuk perbelanjaan yang lebih memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Malah inisiatif kerajaan membantu golongan yang layak melalui pengagihan bantuan tunai Budi Madani mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu kelompok yang terkesan dengan langkah penyasaran subsidi ini. Jadi, dasar penyasaran subsidi diesel ternyata satu keputusan yang wajar dan perlu dilaksanakan.

Selain itu, inisiatif dasar gaji progresif dapat membantu golongan pekerja swasta yang selama ini terjerat dengan kadar gaji yang tidak setimpal sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan apabila berlakunya peningkatan kos sara hidup yang mendadak. Menurut laporan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif, kadar pertumbuhan purata gaji penengah bulanan dari 2021 hingga 2022 hanya 4.1 peratus setahun. Implikasi gaji rendah menyebabkan pekerja membelanjakan gaji mereka untuk perkara asas dan tidak berpeluang membuat simpanan.

Secara umumnya, Dasar Gaji Progresif bertujuan meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta melalui reformasi sistem upah di mana pendapatan pekerja akan diselaraskan dengan tahap produktiviti mereka sekali gus mengatasi keherotan struktur gaji pekerja. Dasar yang akan dilaksanakan secara menyeluruh bermula Oktober ini dijangka memberi faedah kepada empat juta pekerja swasta warga Malaysia dalam sektor formal bergaji antara RM1,550 sehingga RM4,999 sebulan. Ini satu lagi dasar signifikan yang meningkatkan tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Pada masa sama, komitmen kerajaan untuk terus meningkatkan kualiti hidup penjawat awam yang merupakan tulang belakang pentadbiran kerajaan melalui peningkatan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan dilihat mencetuskan fenomena peningkatan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Malah baru-baru ini, Perdana Menteri juga telah memberikan jaminan perincian kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam tersebut akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini.

Ternyata dasar-dasar baharu yang telah diperkenal untuk naik taraf kualiti hidup dan membela kebajikan golongan pekerja sektor awam dan swasta mula menarik perhatian dan sokongan warga pekerja terhadap kerajaan.

Komitmen kerajaan untuk terus membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melalui amalan tata kelola dan tadbir urus yang baik juga dilihat turut menyumbang kepada peningkatan tahap kepercayaan rakyat terhadap Anwar dan kerajaan. Ironinya sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara, antara isu yang sentiasa ditekankan oleh Anwar ialah keperluan tadbir urus yang betul dalam sistem pentadbiran kerajaan demi menyelamatkan wang rakyat, membangunkan negara serta meningkatkan kesejahteraan hidup anggota masyarakat.

Selain itu, keputusan kerajaan yang memberi jaminan menyediakan tempat di matrikulasi untuk semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas, tanpa mengira kaum dan latar belakang akan terus melonjakkan sokongan rakyat dari pelbagai kaum dan agama terhadap kerajaan.

Justeru, kita berharap kerajaan tidak akan sia-siakan harapan dan sokongan anggota masyarakat sebaliknya terus berusaha sebaik mungkin sebagai membalas kepercayaan tersebut. Untuk itu, kerajaan perlu terus melaksanakan pelbagai lagi dasar bagi memacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan negara dan kesejahteraan hidup rakyat khususnya kelompok majoriti dan golongan rentan tanpa menafikan hak minoriti. Dalam hal ini, kerajaan tidak perlu melayan kerenah dan polemik yang cuba dicetuskan oleh pelbagai pihak yang hanya tahu mencari kesalahan dan mengganggu proses transformasi yang sedang dilaksanakan.

Kita yakin kerajaan berada di landasan yang betul untuk memacu kegemilangan negara melalui pelaksanaan pelbagai dasar baharu yang lebih progresif, drastik dan efisien. Maka sebagai galakan kepada usaha kerajaan, seluruh anggota masyarakat perlu terus memberikan sokongan penuh agar segala perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan segera demi memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. – UTUSAN

NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN