SERINGKALI kita mendengar frasa anak derhaka terhadap ibu bapa. Namun, sedarkah kita bahawa ibu bapa juga boleh terjebak dalam episod kederhakaan terhadap anak?
Mengabaikan tanggungjawab untuk mendidik, memanggil dengan gelaran buruk, memaki hamun, mendoakan kemudaratan, tidak berlaku adil, memperlekeh, mengaibkan di depan khalayak, mendera malah sehingga membunuh merupakan antara sikap kederhakaan terhadap anak.
Menerusi kitab Tanbih al-Ghafilin, seorang lelaki pernah mengadu kepada Saidina Umar al-Khatab perihal anaknya yang derhaka. Khalifah berkenaan seterusnya memanggil anak yang dituduh derhaka tersebut, lantas memarahinya. Anak tersebut kemudian bertanyakan soalan penting kepada Saidina Umar dengan berkata, “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah seseorang anak itu mempunyai hak yang sepatutnya dia dapat dari bapanya?”
Lalu Saidina Umar menjawab, “Ya.” Anak itu kemudiannya bertanya lagi, “Lalu apakah hak-hak tersebut?” Saidina Umar kemudiannya menjawab, “Pertama, hendaklah seseorang bapa memilih wanita yang solehah sebagai ibunya. Kemudian, memberikan nama yang baik dan mengajarkan anak membaca al-Quran.”
Anak tersebut lantas berkata, “Sesungguhnya bapa saya tidak melakukan perkara yang sedemikian. Ibu saya adalah seorang hamba hitam yang dahulunya merupakan isteri kepada seorang penyembah api, kemudian dia telah menamakan saya Jo’ul (lipas) dan dia tidak pernah mengajarkan saya satu huruf pun daripada al-Quran.”
Mendengar jawapan anak tersebut, Saidina Umar lantas berkata kepada si bapa, “Sebenarnya engkaulah yang terlebih dahulu derhaka kepada anakmu, engkau telah merosakkannya sebelum dia merosakkan dirimu.”
Sesungguhnya anak merupakan amanah kepada ibu bapa yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Namun ramai dalam kalangan masyarakat terkhilaf dengan menganggap amanah berkenaan sebagai suatu bebanan sehingga mengabaikan hak anak untuk mendapatkan pendidikan serta membiarkan mereka hanyut dalam keinginan dangkal masing-masing.
Menurut Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia 2023 yang dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seramai 175,304 (13 peratus) kanak-kanak di hujung usia persekolahan peringkat sekolah rendah di negara ini dilaporkan tidak mahir membaca, manakala 1.01 juta (5.03 peratus) rakyat masih tidak mempunyai kemahiran literasi.
Manakala laporan keciciran prasekolah bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang tidak menjalani pembelajaran sebelum memasuki Tahun 1 di sekolah rendah pula menunjukkan terdapat seramai 174,933 (17.1 peratus) kanak-kanak keciciran pada 2019, meningkat kepada 234,476 (22.2 peratus) pada 2020 dan seterusnya melonjak kepada 286,861 (26.9 peratus) pada 2021.
Bukan hanya terhenti di situ, pada April lalu, laporan Bank Dunia bertajuk Melentur Buluh: Mengukuhkan Kemahiran Asas memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan negara.
Walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan bagi tujuan pendidikan dengan pecahan berjumlah 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan yang ditetapkan. Ini kerana hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir darjah lima, jauh lebih teruk berbanding rakan serantau di Asia Tenggara seperti Vietnam yang mencapai 72 peratus pelajar pada usia yang sama.
Laporan ini juga menyerlahkan ketidakcekapan yang membimbangkan apabila pelajar Malaysia menghabiskan purata 12.5 tahun di peringkat persekolahan, tetapi pembelajarannya hanyalah bersamaan 8.9 tahun. Berbeza dengan pelajar Vietnam yang mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa yang sama.
Menyedihkan lagi apabila dibandingkan dengan Singapura yang menghabiskan purata 13.9 tahun di peringkat persekolahan dengan pencapaian pembelajaran bersamaan 12.8 tahun.
Sungguhpun Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pelbagai langkah tuntas bagi menangani isu pendidikan, namun ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyuburkan semangat ingin belajar dalam kalangan anak-anak.
PERCERAIAN
Kajian yang saya jalankan terhadap 669 kes pembubaran perkahwinan di Selangor sepanjang 2015 hingga 2019 mendapati terdapat 1,153 orang anak yang turut terkesan akibat perceraian ibu bapa, dengan majoriti mereka berusia di bawah 12 tahun.
Penemuan penyelidikan ini juga menunjukkan pasangan yang mempunyai anak lebih banyak terlibat dengan pemfailan kes pembubaran perkahwinan, berbeza dengan hasil dapatan yang dilakukan di Bangladesh apabila bilangan kes perceraian yang difailkan pasangan yang mendapat zuriat selepas enam bulan perkahwinan adalah lebih rendah berbanding mereka yang tidak dikurniakan zuriat dalam tempoh tersebut.
Sesungguhnya tidak dinafikan bahawa keluarga merupakan perisai dan pelindung kepada anak-anak. Malah dalam kebanyakan masa, institusi kekeluargaan menjadi pusat pendidikan sama ada melibatkan pendidikan tidak formal, akhlak dan pengukuhan nilai kendiri.
Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pada awal 2000-an mendapati perceraian bukan hanya menyebabkan gangguan emosi kepada pasangan yang terlibat, menyumbang perasaan kurang bahagia dan lebih banyak mencetuskan masalah kesihatan, namun turut menyebabkan kemerosotan terhadap pembelajaran anak-anak.
Paul R. Amato dalam kajiannya menganggarkan bahawa sekiranya kadar stabiliti institusi kekeluargaan di negara terbabit kekal sepertimana pada 1960- an, maka pengulangan gred oleh pelajar di sekolah akan berkurang sebanyak 750,000 kes, pelajar digantung persekolahan (berkurang 1.2 juta kes), salah laku remaja (berkurang 500,000 kes), kanak-kanak mengikuti sesi terapi (berkurang 600,000 kes), malah kes bunuh diri (berkurang 70,000 kes).
Lebih mengejutkan apabila perceraian bukan hanya memberi kesan kepada generasi kedua malah turut memberi kesan kepada generasi ketiga walaupun sebenarnya mereka belum lagi wujud ketika perceraian berlaku.
MUHASABAH
Sesungguhnya tugas ibu bukanlah sekadar melahirkan manakala peranan bapa bukan pula semata menyediakan wang. Namun, tanggungjawabnya bermula dari dalam kandungan dan pertaliannya berterusan hingga ke akhirat badan.
Justeru, ibu bapa sama ada pasangan yang masih sempurna dalam tempoh perkahwinan atau melepasi fasa perceraian, berusahalah untuk bermusyawarah tentang hala tuju, pendidikan, perkembangan sahsiah, berkongsi pengalaman dan terus membimbing anak-anak apabila mereka dewasa kelak.
Terkadang ibu bapa juga melakukan kesilapan, namun kekhilafan itu boleh dikoreksi apabila saling menasihati dan memuhasabah diri.
Semoga setiap kalimah insya-Allah yang dituturkan ibu bapa merupakan lafaz yang paling menjanjikan, alhamdulillah yang paling tulus dan setiap amin yang diucapkan merupakan doa yang paling serius.-UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










