Minggu ini satu negara kecoh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mulai tahun ini semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat 10A dan ke atas akan dijamin tempat untuk kemasukan mereka ke matrikulasi.
Di peringkat awal pengumuman ini, ada sebahagian pihak menyuarakan rasa tidak senang dan merasakan keputusan ini seperti mencabar hak dan keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan.
Bagaimanapun, setelah dijelaskan oleh Perdana Menteri dan beberapa menteri lain bahawa keputusan ini tidak akan mengganggu gugat kuota pelajar bumiputera sedia ada, suara- suara yang menolak keputusan ini semakin sepi. Ketetapan yang dibuat oleh kerajaan sudah jelas iaitu penawaran tempat di matrikulasi kepada pelajar yang mencapai 10A dan ke atas kepada pelajar bukan bumiputera tidak akan menjejaskan sedikit pun kuota yang disediakan untuk pelajar bumiputera.
Sebagai latar belakang, program matrikulasi bermula pada 1998. Matrikulasi adalah satu program khas pra universiti yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan. Sebelum 1998, program matrikulasi adalah di bawah seliaan universiti awam. Matlamat utama program matrikulasi diwujudkan adalah bagi memastikan penyertaan kaum bumiputera dalam pengajian aliran sains meningkat.
Mulai 2003, program matrikulasi membuka tempat sebanyak 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputera manakala kaum bumiputera disediakan kuota sebanyak 90 peratus. Dasar agihan 90:10 ini berjalan selama lebih 20 tahun tanpa masalah besar. Masyarakat negara ini umumnya telah menerima dasar ini.
Apabila Perdana Menteri memaklumkan persetujuan Jemaah Menteri untuk menjamin tempat kepada semua pelajar yang mendapat 10A dan ke atas tanpa mengira latar belakang, ini sebenarnya merupakan satu langkah tambahan kepada pelaksanaan penawaran tempat ke matrikulasi. Bagaimanapun, Perdana Menteri telah memberikan jaminan kuota bumiputera kekal dan tidak akan berkurang.
Dari perspektif pendidikan, langkah menjamin tempat untuk pelajar yang memiliki 10A dan ke atas dalam SPM adalah satu usaha yang akan membina persaingan sihat dalam kalangan pelajar negara ini.
Sudah pasti anak-anak kita di sekolah mulai tahun ini akan lebih berusaha gigih untuk memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas dalam peperiksaan SPM akan datang kerana ini akan menjamin tempat mereka di matrikulasi.
Dalam kerangka kenegaraan yang lebih besar, keputusan ini dilihat sebagai satu usaha untuk membina rasa saling percaya berasakan keadilan pendidikan, menghormati antara satu sama lain dan bersedia menerima bahawa kecemerlangan pendidikan adalah matlamat akhir yang harus diraikan tanpa mengira latar belakang kaum dan wilayah datangnya para pelajar.
Sesiapa juga anak-anak Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik yang cemerlang dalam akademik harus diberikan jaminan untuk mereka terus kekal cemerlang pada masa depan.
Malah ini juga boleh dilihat sebagai langkah awal mengelakkan berlakunya hijrah cendekiawan (brain drain) di dalam kalangan generasi muda yang cemerlang.
Matrikulasi mesti sentiasa dilihat sebagai sebuah institusi pendidikan yang meraikan kecemerlangan pendidikan berasaskan merit. Anak-anak yang berjaya dengan cemerlang di dalam pendidikan seharusnya diberikan peluang untuk menjadi sumber tenaga manusia berprestasi tinggi di dalam negara ini.
Malah, kehidupan dalam persekitaran kepelbagaian etnik di dalam institusi kampus matrikulasi sebenarnya akan menyediakan pengalaman yang lebih berkesan dalam membentuk anak-anak Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk saling bersosialisasi antara satu dengan lain secara lebih erat.
Pada masa sama, institusi matrikulasi juga mestilah kukuh dengan matlamat asalnya bagi membantu anak-anak bumiputera yang berpotensi dan datang dari keluarga miskin untuk lebih cemerlang.
Kita akur terdapat ramai anak bumiputera yang mempunyai peluang dan potensi untuk lebih cemerlang jika mereka mempunyai persekitaran pembelajaran yang lebih baik ketika di alam persekolahan.
Bagaimanapun, ada antara mereka datang daripada keluarga miskin dan berada di dalam persekitaran keluarga yang tidak mampu menyediakan kemudahan pembelajaran yang baik.
Anak-anak dalam kumpulan ini mesti diberikan perhatian supaya mereka tidak ketinggalan dalam mendapat tempat di matrikulasi. Malah, kejayaan kerajaan dalam membantu anak-anak miskin untuk belajar di matrikulasi juga akan membantu keluarga mereka supaya akhirnya keluar daripada kemiskinan.
Polemik matrikulasi ini nampaknya telah selesai. Pihak kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim telah berjaya menjelaskan dengan meyakinkan kepada rakyat tentang keputusan kerajaan untuk menjamin tempat di matrikulasi kepada pelajar yang mendapat 10A dan ke atas kepada rakyat.
Dalam tempoh beberapa hari ini, isu ini nampaknya reda dan keputusan kerajaan nampaknya diterima dengan baik oleh kebanyakan ahli masyarakat.
Tentu sahaja pada masa akan datang, bilangan matrikulasi mesti ditambah supaya lebih ramai anak-anak Malaysia yang cemerlang dan berpotensi dalam ditempatkan di institusi tersebut sebagai persediaan sebelum mereka melangkah ke institusi pengajian tinggi. Buat masa ini, 17 matrikulasi (termasuk kolej MARA) yang sedia ada dilihat masih belum mencukupi dan perlu ditingkatkan jumlahnya.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengerusi, Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dan Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










