Bulan Muharram pengajaran berguna buat mahasiswa

Bulan Muharram pengajaran berguna buat mahasiswa

SEBAGAI contoh, mahasiswa boleh mengambil iktibar daripada hijrah nabi dengan merancang perjalanan akademik mereka dengan teliti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Muharram merupakan bulan pertama dalam kalendar Hijrah, yang menandakan permulaan tahun baharu bagi umat Islam. Bulan ini mempunyai makna dan keutamaan yang istimewa, terutama sekali berkenaan peristiwa hijrah Nabi Muhammad dari kota Mekah ke Madinah berlaku pada tahun 622 Masihi dan bertepatan dengan bulan Muharram.

Hijrah adalah satu peristiwa penting yang membawa perubahan besar dalam sejarah Islam. Terdapat beberapa hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripada bulan Muharram, serta bagaimana kita boleh memanfaatkan bulan ini untuk refleksi dan perancangan masa depan, khususnya dalam konteks kehidupan mahasiswa di Malaysia.

Keutamaan Bulan Muharram
Bulan Muharram termasuk dalam empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijah, Muharram, dan Rejab) sebagaimana disebut dalam al-Quran. Dalam surah At-Taubah ayat 36, Allah berfirman: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Bulan ini dinamakan bulan yang haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Ini menekankan betapa pentingnya menghormati dan memuliakan bulan-bulan ini, termasuk Muharram. Namun demikian, pada bulan ini juga terdapat juga pelbagai peristiwa, keistimewaan, hikmah dan pengajaran serta pada bulan haram ini juga setiap amal yang dilakukan akan digandakan.

Mahasiswa dan Muharram
Dalam konteks kehidupan mahasiswa di Malaysia, terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil daripada bulan Muharram. Mahasiswa menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan dalam kehidupan seharian, seperti tekanan akademik, kewangan, dan sosial.
Mengambil ibrah (pengajaran) dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad, kita boleh belajar tentang kepentingan kesabaran, ketabahan, dan keikhlasan dalam menghadapi ujian. Sebagai contoh, mahasiswa boleh mengambil iktibar daripada hijrah nabi dengan merancang perjalanan akademik mereka dengan teliti.

Seperti mana nabi merancang hijrahnya dengan penuh strategi dan persiapan, mahasiswa juga perlu merancang jadual belajar, tugasan dan aktiviti kokurikulum dengan baik. Ini termasuk menghadiri kuliah, mengulang kaji pelajaran dan menyertai aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran diri.

Selain itu, bulan Muharram juga mengajar kita tentang pentingnya menguruskan masa dengan bijak. Dalam surah Al-Asr, Allah berfirman: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. Ayat ini mengingatkan kita tentang pentingnya menghargai masa dan menggunakan setiap saat dengan sebaik-baiknya. Mahasiswa perlu bijak menguruskan masa untuk memastikan mereka dapat mencapai kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan.

Akademik dan Rohani
Bulan Muharram adalah masa yang sesuai untuk kita merenung dan menilai perjalanan hidup sepanjang setahun. Muhasabah, atau introspeksi diri, adalah satu amalan yang sangat digalakkan dalam Islam. Dengan merenung kembali amalan-amalan kita selama ini, kita dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri, serta merangka pelan tindakan untuk meningkatkan kualiti hidup dan ibadah kita. Selain itu, bulan Muharram juga merupakan masa yang sesuai untuk menetapkan matlamat dan perancangan untuk masa depan.

Dengan bermulanya tahun baharu Hijrah, kita boleh mengambil peluang ini untuk membuat resolusi baharu dan berusaha untuk mencapainya dengan lebih baik. Sebagai contoh, kita boleh menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti solat, memperbanyakkan amalan sunat, atau memperbaiki hubungan dengan keluarga dan masyarakat, memperbaiki pengurusan diri dan menetapkan matlamat akademik. Justeru mahasiswa boleh mengambil kesempatan ini sebagai titik permulaan baharu untuk memperbaiki kedua-dua aspek akademik dan rohani agar ia dapat membentuk diri menjadi seorang mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga cemerlang akhirat.

Amalan Sunat di Bulan Muharram
Disebalik niat dalam membuat perubahan diri ke arah mahasiswa yang cemerlang akademik dan rohani, tidak lupa juga untuk mengambil peluang memanfaatkan keistimewaan bulan haram ini dengan membuat amalan sunat. Terdapat beberapa amalan sunat yang digalakkan untuk dilakukan pada bulan Muharram. Antaranya adalah berpuasa pada hari Asyura, iaitu pada 10 Muharram. Rasulullah bersabda: Puasa yang paling utama setelah Ramadan adalah puasa pada bulan Allah, Muharram. (Hadis Riwayat Muslim). Puasa pada hari Asyura mempunyai ganjaran yang besar, iaitu dapat menghapuskan dosa-dosa kecil selama setahun yang lalu.

Selain itu, mahasiswa juga digalakkan untuk memperbanyakkan amalan sunat seperti solat malam, membaca al-Quran, bersedekah dan berzikir. Hal ini kerana, pada bulan haram setiap amalan yang dilakukan akan digandakan oleh Allah. Amalan-amalan ini bukan sahaja dapat mendekatkan diri kepada Allah, tetapi juga dapat memberi ketenangan jiwa dan membantu dalam menguruskan tekanan akademik.

Bulan Muharram adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan keutamaan. Ia bukan sahaja menandakan permulaan tahun baharu Hijrah, tetapi juga mengingatkan kita tentang peristiwa penting dalam sejarah Islam, iaitu hijrah Nabi Muhammad. Dengan mengambil iktibar daripada bulan ini, mahasiswa di Malaysia boleh memperbaiki diri, menetapkan matlamat baharu dan berusaha untuk menjadi individu yang lebih baik. Semoga kita semua dapat memanfaatkan bulan Muharram dengan sebaik-baiknya dan memperoleh keberkatan daripada Allah. –UTUSAN

ZUHAIMI Abdul Rahim ialah Pengarah Pusat Islam Universiti di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN