MUKADIMAH
AKHIR-akhir ini, tanpa segan silu dan secara terang-terangan, ramai yang menghentam dan mengkritik golongan ulama atau agamawan di negara ini dengan hujah-hujah yang tidak berasaskan ilmu. Semuanya ‘main pukul rata sama’ sahaja. Adakah cakap-cakap golongan agamawan sama dengan ahil-ahli politik yang sering diperlekeh terutamanya di media sosial?
Ideologi politik seorang ulama boleh dikritik, tetapi sosok tubuhnya sebagai seorang ulama perlu dihormati, demikian penegasan pendakwah terkenal, Mohamad Wadi Annuar Ayub yang tersohor dengan panggilan Ustaz Wadi Annuar (UWA).
Pendakwah muda yang berusia 41 tahun dan berasal dari Sungai Petani, Kedah ini, juga tidak terlepas menjadi sasaran komen-komen negatif di media sosial.
Wartawan Mingguan Malaysia, JAMLIAH ABDULLAH baru-baru ini berpeluang menemu bual beliau di Akademi Darul Ilmi di Sungai Petani mengupas isu ini di samping pelbagai kontroversi lain yang melanda institusi Islam di Malaysia ketika ini.
KRISIS ADAB DAN ILMU
MINGGUAN MALAYSIA: Sejak kebelakangan ini kita melihat terdapat tindak tanduk orang ramai yang memperlekehkan ulama, pada masa sama ramai tidak dapat membezakan ulama dan ahli politik. Apa pandangan ustaz?
USTAZ WADI ANNUAR: Para ulama adalah pewaris para Nabi. Tugas mereka adalah untuk menjaga agama Allah seperti dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Cukuplah dengan penamaan ke atas mereka sebagai pewaris para Nabi itu yang menjadi sebab mereka perlu dihormati dan disanjung oleh semua.
Masyarakat perlu membezakan di antara ahli politik dan juga ulama. Tugas ahli politik adalah memenangkan ideologi parti yang diwakili, tetapi seorang ulama tugasnya adalah menyuburkan syariat Allah SWT di atas muka bumi ini.
Oleh itu, ideologi politik seorang ulama boleh dikritik, tetapi sosok tubuhnya sebagai seorang ulama perlu dihormati.
Tindak tanduk memperlekehkan ulama sepatutnya tidak berlaku kecuali orang itu rendah akhlaknya. Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengakui orang bertindak laku seperti itu sebagai umatnya.
Adakah perkara itu memberi petanda yang tidak sihat terhadap institusi Islam terutama berkaitan ulama?
Ya! Ini menunjukkan bahawa institusi Islam yang menjadi pertahanan utama agama di negara ini tidak lagi dihormati seperti dulu.
Perkara ini juga menunjukkan realiti masyarakat kita sedang mengalami krisis adab dan ilmu yang sangat kritikal.
Nabi Muhammad SAW bersabda; “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
Berdasarkan hadis ini jelaslah seorang Muslim wajib menghormati dan memuliakan para ulama.
Semua daripada kita sepatutnya merebut peluang mendekati dan belajar agama dengan ulama-ulama yang masih hidup ketika ini kerana sampai masa Allah SWT akan mematikan mereka.
Sampai masa akan datang satu zaman apabila orang alim ulama akan jadi sedikit dan orang pandai bercakap tetapi sedikit ilmu jadi banyak. Mereka bukan sahaja pandai bercakap tetapi mereka juga menyalahkan ilmu orang alim ulama ini. Perkara ini sedang berlaku.
Hari ini, orang pandai bercakap ini pakat ada saluran masing-masing di media sosial, mereka sudah rancang, hari ini hendak cakap apa malah mereka juga menjawab soalan-soalan tanpa ilmu. Mereka sesat dan buatkan semua yang lain sesat, ada juga zaman ini dan sedang ramai dengannya.
Hati-hati apabila anak-anak belajar agama, perincikan dengan siapa dia belajar. Sebagai orang Islam seharusnya mendalami ilmu fardhu ain daripada golongan ulama, setiap minggu mesti ada pengajian feqah, tauhid dan tasawuf.
Setiap daripada kita wajib belajar ilmu itu, siapa pun dia kena belajar ilmu fardhu ain sebelum Allah SWT mematikan ulama ini. Kena belajar, cari para ulama dan belajar agama daripada mereka.
RANG UNDANG-UNDANG MUFTI
RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 yang akan dibaca kali kedua dan ketiga pada sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga kini mencetuskan pelbagai pandangan dan polemik. Apa pandangan ustaz?
Isu agama adalah salah satu isu yang sensitif bagi umat Islam di Malaysia, oleh itu bukanlah satu perkara yang pelik sekiranya berlaku polemik apabila pindaan RUU berkaitan agama dicadangkan.
Adapun RUU Mufti Wilayah ini, khususnya berkenaan kelayakan menjadi mufti iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang terfokus pada Perkara 4 (a) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasawuf.
Hakikatnya, perkara ini memainkan peranan yang penting dalam membuka pandangan banyak pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat tentang akidah Ahli Sunnah yang dipegang oleh masyarakat Islam di Malaysia sejak sekian lama iaitu al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
Pada pandangan ustaz apakah kepentingan RUU ini disokong dan didukung oleh semua pihak?
RUU ini perlu disokong dan didukung oleh semua pihak tanpa pindaan kerana kepentingan RUU ini bukan sahaja dapat mengukuhkan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia bahkan memberi kesan terhadap keseragaman rakyat Malaysia dalam beragama.
Perkara ini sekali gus mengelakkan berlakunya perpecahan ketika berbeza pandangan dalam perkara agama. Ketiga-tiga syarat dalam perkara empat tersebut merupakan majoriti yang dianuti oleh ulama dan masyarakat Islam di Malaysia.
Alhamdulillah, kerana ketika ini 12 mufti dan umat Islam bangkit menyatakan sokongan terhadap RUU ini.
Saya sendiri menyokong dan mengikut pendirian semua mufti tersebut kerana saya berada di belakang mereka ada jawatankuasa majlis fatwa.
RUU Mufti Wilayah Persekutuan turut menafsirkan perbalahan dalam kalangan beragama Islam, adakah ini sesuatu yang negatif?
Perbalahan bukan semuanya negatif. Pada pandangan saya perbalahan dalam isu ini bukanlah sesuatu yang negatif kerana saya melihat disebabkan RUU ini, banyak rakyat Malaysia mula mengenali pegangan al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Adakah perbalahan ini secara tidak langsung menunjukkan rakyat beragama Islam di negara ini berpecah?
Untuk dikatakan sebagai berpecah adalah kurang tepat. Lebih tepat adalah tiada keseragaman sebab itu perlunya RUU ini diluluskan agar satu keseragaman dalam pentadbiran agama dapat diwujudkan atas nama Ahli Sunnah Wal Jamaah, seterusnya mengelakkan berlakunya perpecahan umat Islam di Malaysia.
Pengajaran yang boleh dipelajari daripada isu RUU ini?
Pertama, terzahir bahawa kesatuan umat Islam di Malaysia adalah terhasil dengan majoriti umat Islam berpaut kepada ASWJ hakiki.
Kesatuan dapat dilihat daripada segi perundangan setiap negeri yang memperuntukkan undang-undang atau enakmen yang selari dengan RUU Mufti Wilayah.
Itu termasuk sokongan padu 12 orang mufti yang dilantik oleh sultan-sultan dari setiap negeri; termasuk negeri yang tiada sultan seperti Sabah, Pulau Pinang dan Melaka.
Kedua, majoriti umat Islam Malaysia bersatu hati untuk mendaulatkan Islam menerusi jalan ASWJ.
Ketiga, majoriti umat Islam Malaysia bersatu hati untuk menelusuri jalan para ulama dan tradisi keilmuan Islam di nusantara yang berorientasikan kepada ASWJ hakiki.
Keempat, kerajaan hari ini serius untuk memperkasakan undang-undang Islam di Malaysia.
JANGAN CAMPUR HAL YANG TIDAK TAHU
Nasihat ustaz kepada semua terlibat dalam mendepani isu berkaitan agama seperti ini?
Saya memohon agar semua pihak ambil peranan masing-masing dan tahu kadar kapasiti posisi mereka. Orang alim seperti para mufti dan agamawan haruslah menjelaskan kekeliruan yang timbul terhadap masyarakat.
Sebagai orang awam pula haruslah tidak masuk campur dengan mengatakan sesuatu yang mereka tidak tahu. Sebaliknya, serahkan sesuatu pada ahlinya seperti mana disebutkan dalam hadis – “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Nanti akan datang satu zaman yang penuh penipuan, penipuan banyak, tipu satu perkara kerana mereka juga akan bercakap dalam hal bukan bidang dia.
Dia bukan orang agama tetapi bercakap tentang agama dan siap tegur ulama lagi sebab bercakap di media sosial tidak perlu lesen apa, jadi kita lihat ada ayat dan fatwa yang bertentangan dengan ajaran islam.
Akan tiba juga di zaman itu, orang yang menipu itu dikatakan betul dan ada pengikut kata ini betul pada zaman itu, orang kepakaran dalam bidang itu akan tenggelam sebab tidak terkenal. Mereka hendak yang masyhur.
Tenggelam orang profesional, yang pakar dalam bidang itu. Hari ini, kita lihat sebahagian netizen kita kongsi sebab mereka popular. Orang yang bukan mendalami bidang agama tetapi dia buat juga. Tegur orang agama yang bawa keluar fatwa itu ini.
Jadi, saya menyeru agar alim ulama kita, tok-tok guru kita termasuk profesional agama kita yang ramai di negara ini masuk ke media sosial dengan pendapat serta kajian saintifik yang terbukti supaya apabila berlaku apa-apa isu seperti ini kumpulan yang layak tersebut, percakapan mereka didengari oleh netizen.
Jika percakapan seperti ini banyak maka netizen akan dapat mengimbangi percakapan yang tidak tepat daripada orang tidak layak yang disebut oleh Nabi SAW sebagai, Ruwaibidhah ini.
Semoga Allah SWT selamatkan kita dan orang Muslim semua daripada percakapan songsang golongan ini.
Ahli Sunnah Wal Jamaah
Apakah kepentingan ASWJ ini terutama bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah ini menjadi teras pegangan terutama dalam pentadbiran agama?
Untuk menjawab soalan ini kita perlu mengetahui bahawa metode al-Asyairah dan al-Maturidiyah itu sendiri adalah bermanhaj syumul dan wasatiy.
Syumul kerana ia melengkapi tiga rukun utama dalam beragama iaitu İman, İslam dan İhsan manakala wasatiy pula kita dapat lihat manhaj ini adalah manhaj yang insaf dalam perkara akidah dan ibadah.
Contohnya, dalam aspek akidahnya manhaj ini tidak mudah mengkafirkan orang selagi mana seseorang mengucap dua kalimah syahadah dan solat menghadap ke Kaabah.
Sementara dalam aspek ibadah pula manhaj ini meraikan semua mazhab yang muktabar dan tidak mencela para imam mazhab.
Dengan dua keistimewaan manhaj ini iaitu syumul dan wasatiy diharapkan rakyat di negara ini dapat menjalani agama Islam dengan sempurna dan tidak terjadinya perbalahan.
Ada pandangan serong mengatakan ASWJ ini sesat dan sebagainya. Adakah fahaman lain yang menular dalam masyarakat kita?
Golongan yang mengatakan al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai sesat telah menyesatkan lebih daripada 90 peratus umat Islam dunia ini yang berpegang dengan akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
Ini adalah satu pandangan yang sangat ekstrem. Para ulama sejak 1,000 tahun dahulu telah pun berpegang dengan akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah seperti al-Baihaqi, al-Nawawi, Ibn Hajar, al-Buhuti dan banyak lagi ulama besar daripada pelbagai bidang yang berpegang dengan al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
CABARAN BERDAKWAH
Apakah kesukaran yang pernah ustaz hadapi dalam berdakwah?
Antara kesukaran yang saya hadapi dalam berdakwah adalah ketika mana saya berdakwah dalam kawasan pedalaman Orang Asli. Masyarakat Islam di sana memerlukan dakwah yang berterusan. Namun, sukar untuk saya terus menetap di sana kerana saya juga perlu menyampaikan dakwah di seluruh Malaysia.
Dalam masa sama, saya juga membina generasi ulama serta menjaga kebajikan masyarakat di sekeliling saya.
Oleh yang demikian, saya menguruskan maahad tahfiz iaitu Akademi Darul Ilmi dan NGO kebajikan iaitu Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda di bawah kelolaan saya sendiri. Inilah antara cabaran saya dalam berdakwah.
TARIK ORANG MUDA KE MASJID
Bagaimana ustaz berjaya menarik banyak orang muda ke masjid dan mendengar ceramah ustaz secara langsung atau di media sosial?
Para ulama dan guru-guru kami di Syria dahulu selalu berpesan agar mengikhlaskan niat dalam apa jua perkara yang kami lakukan, apa yang diucapkan dengan hati yang ikhlas pasti akan memberi kesan kepada pendengarnya.
Inilah satu perkara yang saya sentiasa ingatkan kepada diri saya setiap kali sebelum memulakan ceramah.
Majlis ilmu adalah usaha kita mencari keberkatan dan reda Allah SWT, iaitu majlis yang dihadiri oleh malaikat jadi kita kena kejar keberkatan ini selagi bernyawa.
Datang mengaji duduk dalam majlis ilmu ini juga satu nikmat. Saya ingin menyeru semua daripada kita merebut peluang ini.
USTAZ SELEBRITI BAYARAN TINGGI?
Adakah benar terdapat dakwaan setiap penceramah terutama yang popular ini dibayar dengan bayaran yang tinggi? Adakah kadar bayaran tertentu?
Bagi pihak ustaz-ustaz selebriti lain saya tidak tahu adakah mereka ada kenakan bayaran ataupun tidak, tetapi pihak saya tidak pernah menetapkan apa-apa bayaran untuk ceramah yang saya sampaikan.
Saya tidak pernah mengharapkan apa-apa bayaran, kerana saya yakin penat lelah yang saya hadapi dalam berdakwah akan dibayar oleh Allah SWT.
HADIS SAHIH DAN DAIF
Banyak yang memperkatakan tentang hadis sahih atau daif dalam kalangan penceramah, apakah pendirian ustaz?
Pendirian saya sama dengan pendirian majoriti para ulama sejak sekian lama iaitu hadis daif boleh diceritakan dan diamalkan selagi mana hadis daif itu tidak palsu dengan syarat-syarat tertentu.
Namun ini tidak bermakna saya lebih mendahulukan hadis daif daripada hadis sahih, bahkan hadis sahih lebih utama bagi saya untuk diamalkan dan diriwayatkan. – Mingguan Malaysia










