Usah banyak merungut, universiti awam bukan hotel lima bintang

Usah banyak merungut, universiti awam bukan hotel lima bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIR orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Dalam kehidupan bertamadun, kita hidup berlandaskan hukum. Maka, di mana sahaja bumi dipijak, jangan kita mengambil langkah sumbang membelakangkan undang-undang, peraturan dan adat budayanya.

Sejak kecil, kita dididik dengan adab dan pekerti yang baik. Kita akan ditegur jika menyuap makanan menggunakan tangan kiri atau bercakap ketika mulut penuh dengan makanan. Ketika makan harus duduk, jangan berdiri, apatah lagi berjalan atau berlari.

Kita diajar supaya bersopan-santun dan menjaga tutur kata. Bila bercakap harus menggunakan bahasa yang sopan. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa kasar dan kesat. Kalau bertandang ke rumah orang, ada adabnya dan tidak boleh berbuat sesuka hati.

Dari saat bangun pagi sehinggalah detik kita akan tidur, terdapat rutin dan peraturan yang harus kita patuhi. Kerana sayangkan anak-anak mereka, kedua-dua ibu bapa sanggup bersusah-payah mendidik anak supaya menjadi insan yang baik dan terpuji akhlaknya. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak.

Peraturan dibuat untuk dipatuhi dan jika dilanggar pasti akan ada padahnya. Kita semua tentu sudah pernah melalui pengalaman sebegini di waktu kecil. Akan tetapi, biasanya aturan yang ada akan bertambah lega seiring dengan meningkatnya usia kita.

Tiada lagi peraturan mesti tidur pada jam yang ditetapkan dan kita diberi kepercayaan untuk melakukan lebih banyak perkara yang dahulunya tidak diperbolehkan. Sedikit demi sedikit kita dibenarkan membuat keputusan sendiri, walaupun masih dikawal dan dipantau saban waktu untuk memastikan kita tidak tersilap langkah.

Bermula di rumah dan kemudiannya di sekolah, kita diajar supaya sentiasa bercakap benar, bersikap jujur dan amanah. Kita belajar menjadi insan yang bertanggungjawab serta patuh kepada undang-undang. Di sekolah, kita belajar hidup bermasyarakat serta menyesuaikan diri dalam suasana dan peraturan yang berbeza.

Kita bangga memakai pakaian seragam sekolah dengan kemas, lengkap berlencana. Ia mencerminkan disiplin diri serta melatih kita menjadi insan yang tertib. Jika peraturan sekolah mensyaratkan kita memakai kasut putih, maka kasut putihlah yang mesti kita pakai sewaktu di sekolah.

Namun, semakin menginjak usia, ada di antara kita yang semakin berani mengingkari peraturan.

Di rumah, kita semakin berani membantah cakap ibu bapa. Di sekolah pula sudah ada yang mula menjadi besar kepala. Mungkin kita merasakan diri kita sudah besar dan pandai, maka kita sudah tidak perlu lagi patuh kepada undang-undang yang ada.

Melangkah masuk ke universiti, keadaannya jauh berbeza berbanding suasana di sekolah. Kita diberi lebih kebebasan dalam banyak perkara. Tiada lagi kawalan disiplin yang ketat kerana kita sepatutnya sudah mampu mendisiplinkan diri.

Namun, dengan segala kelonggaran yang dinikmati, ada pula yang leka sehingga gagal membuat pertimbangan yang wajar. Ditambah lagi dengan pengaruh persekitaran universiti yang kaya dengan pelbagai rencah dan rempah ratusnya.

Mahasiswa sering menjadi kelompok sasaran kepada pelbagai pihak berkepentingan sama ada untuk tujuan ekonomi, politik dan sehinggalah kepada penyebaran pelbagai ideologi termasuk yang bersifat anarkis dan radikal. Semuanya diolah bagi menawan hati anak muda yang baru mula melihat dunia luar.

Ada yang terpegun lantas terpengaruh dengan budaya baharu sehingga lupa akan adab dan tatasusila yang telah diajar oleh ibu bapa sejak kita kecil dahulu. Kita lupa akan pesanan dan harapan orang tua kita serta janji kita kepada mereka tatkala menghantar kita masuk ke universiti dahulu.

Kita mula kenal perjuangan menuntut hak dan kebebasan dan ramai yang bersemangat menyertainya. Sehinggakan ada yang terpengaruh dengan fahaman anarkisme yang menentang pihak pengurusan, kerajaan dan pihak berkuasa lainnya.

Dalam perjuangan menuntut kebebasan dan hak, kita harus sedar bahawa sebenarnya tiada kebebasan yang mutlak kerana hidup kita harus berlandaskan undang-undang agama dan negara.

Biarlah kita faham apa yang sebenarnya termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebelum kita bercakap mengenainya. Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara tidak boleh ditafsir dengan sesuka hati termasuk oleh ahli politik.

Di sinilah pentingnya ilmu di dada. Bila berhujah biarlah berisi dan benar faktanya. Kita tidak boleh mengikut budaya bercakap ibarat tin kosong atau memetik sesuatu secara rambang untuk dijadikan isu. Itu bukan budaya orang berilmu.

 

MAHASISWA sering menjadi kelompok sasaran pelbagai pihak berkepentingan untuk tujuan ekonomi, politik dan sehinggalah kepada penyebaran pelbagai ideologi termasuk yang bersifat anarkis dan radikal.

 

REALITI
Dalam memilih arah, kita harus menjaga langkah agar tidak tersasar. Sesuatu yang sedap didengar mungkin tiada nilainya dan tidak lebih daripada sekadar menjadi halwa telinga sahaja.

Jangan diangkat andaian dan persepsi sebagai satu kebenaran. Bukankan kita dididik supaya bersikap amanah dan bertanggungjawab? Seringkali, seekor kuman di negeri China dapat dilihat, tetapi gajah bertenggek di batang hidung tiada disedari.

Kita kadangkala gagal menghargai rezeki yang kita nikmati sehinggakan apa yang kita nampak hanyalah kekurangannya. Siapa yang tidak mahu menikmati kemudahan yang bertaraf lima bintang di universiti awam? Namun, mampukah segalanya disediakan dengan jumlah yuran yang kita bayar sepanjang tempoh pengajian?

Mendongak ke langit, jangan sampai jatuh tersembam ke tanah. Bila berada di atas, pandang jugalah ke bawah supaya kita belajar bersyukur. Renungkan juga jerih perih kita berjuang untuk tiba di sini dan ketika menunggu tawaran masuk dengan penuh doa, debaran dan harapan.

Laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan? Apabila menghadapi halangan, carilah jalan penyelesaian secara berhemah. Masakan sikap angkuh dan kasar yang mahu kita budayakan sebagai wadah perjuangan dalam kalangan mahasiswa? Tepuk dada tanya selera.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN