KAMPUS Bachok segar nyaman dihembus bayu Pantai Irama. Kampus Bandar bergerak aktif seiring perjalanan kehidupan kota di pinggiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa yang menuju gelaran bertaraf antarabangsa. Manakala Kampus Jeli damai indah di pedalaman desa. Dari tiga daerah, tiga penjuru negeri, berdiri megah sebuah institusi bernama Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
UMK bergerak maju seiring dan seindah suasana persekitarannya. Usianya mencecah 17 tahun. Usia sebaya remaja yang mula mengorak langkah, merencana masa hadapan dengan cermat sambil menempah kegemilangan. Namun bagi UMK, berada di usia ini telah banyak menyerlah prestasi kemajuan, menggapai kejayaan.
Melalui satu hingga 13 majlis graduasi (konvokesyen), universiti di Tanah Serendah Sekebun Bunga itu telah melahirkan sejumlah 19,738 siswazah dengan seramai 910 orang pelajar pascasiswazah. Turut mengikuti pengajian di UMK pelajar-pelajar dari Arab Saudi, Palestin, Indonesia, Jepun, Somalia, Bangladesh dan Yaman.
Hasil lawatan pihak pengurusan universiti bagi mempromosikan institut pengajian tinggi ini terutama sepanjang 2023, UMK dijangka menerima kemasukan lebih ramai pelajar-pelajar dari luar negara.
Mengikut angka semasa, jumlah pelajar-pelajar yang aktif di ketiga-tiga kampus utama ialah seramai 6,987 di kampus kota, 2,873 di kampus Jeli dan 2,798 di kampus Bachok. Sementara, antara fakulti atau bidang-bidang pengajian yang disediakan termasuk Keusahawanan dan Perniagaan, Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, Perubatan Veteriner, Teknologi Kreatif dan Warisan, Senibina dan Ekistik, Industri Asas Tani, Sains Bumi, Biokejuruteraan dan Teknologi, Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan dan Sains Data Komputeran.
Antara pencapaian dan pengiktirafan yang dicatatkan UMK ialah keberadaannya pada kedudukan 501-600 daripada 1,172 institusi dalam penarafan Times Higher Education (THE) Young University Ranking yang telah diumumkan pada 14 Mei 2024.
Penarafan ini menyenaraikan universiti terbaik dunia yang berumur 50-tahun atau yang lebih muda. Secara keseluruhan, 21 universiti awam dan swasta di Malaysia telah tersenarai dalam penarafan ini berbanding tahun sebelum, iaitu sebanyak 17 universiti awam dan swasta di Malaysia sahaja.
Penarafan ini telah menambahbaik penilaian daripada 13 indikator kepada 18 indikator yang telah dikelompokkan kepada lima bidang utama iaitu Pengajaran (persekitaran pembelajaran), Persekitaran Penyelidikan (jumlah, pendapatan dan reputasi), Kualiti Penyelidikan (impak sitasi, kekuatan penyelidikan, kecemerlangan penyelidikan dan pengaruh penyelidikan), Keterlibatan Antarabangsa (kakitangan, pelajar, penyelidikan) dan Industri (pendapatan dan paten).
UMK dilahirkan dengan kaitan sebagai sebuah Universiti Keusahawanan. Bidang keusahawanan diberi tumpuan sama ada melahirkan seberapa ramai usahawan dalam kalangan pelajar atau membantu menerapkan ilmu dan bimbingan bagi memperkasakan komuniti maju dalam bidang keusahawanan. Turut dijayakan, Program Pemerkasaan Keusahawanan Kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU) khususnya di Kelantan.
Kerjasama strategik juga dilaksanakan dengan pihak-pihak terbabit seperti badan-badan kewangan, agensi kerajaan yang terbabit atau dengan kalangan pihak yang sudah berjaya dengan cemerlang dalam lapangan perniagaan dan perusahaan.
Setakat ini, jumlah pelajar UMK yang terlibat dengan bidang keusahawan seramai 3,069 orang. Dijangka angka ini akan terus melonjak ekoran penekanan pihak universiti meneruskan usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang berjaya bergelar usahawan. Sebagai menggiatkan program keusahawanan pelajar, penambahbaikan infrastruktur strategik, termasuk 47 kiosk perniagan, telah dilaksanakan di ketiga-tiga kampus Jeli, Pengkalan Chepa dan Bachok.
UMK juga sedang giat membangunkan pusat kecemerlangan penyelidikan dan inkubator keusahawanan yang meliputi semua bidang iaitu sains dan teknologi, sains sosial dan juga kemanusiaan, kesenian selain pendekatan kerjasama strategik. UMK turut mendapat Skim Geran UMK-MOF di bawah Social Enterprise Project, memperoleh Geran Penyelidikan Input dengan mewujudkan Syarikat Pelajar Nurseri yang dikenali sebagai Hobbit Garden. Projek ini berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan.
Projek Gold Rare Earth and Material Technopreneurship Centre (GREAT) diwujudkan secara ummnya bertujuan untuk mengembangkan aktiviti penjanaan pendapatan di UMK serta membangunkan program-program yang berkaitan dengan nadir bumi, emas dan mineral yang merangkumi bidang pendidikan, penyelidikan dan keusahawanan.
Berbicara tentang prestasi dan pencapaian, satu lagi sudut penilaian atau pengukuran yang dilihat ialah pada aspek pasaran kerja. UMK sehingga kini telah mencatatkan kebolehpasaran graduan (GE) mencecah 94.5 peratus, melebihi sasaran Kementeran Pendidikan Tinggi iaitu sebanyak 80 peratus.
UMK terus berada di landasan tepat iaitu membina modal insan yang cemerlang dan berkualiti untuk mengisi keperluan industri dan pada masa yang sama menepati konsep pembinaan negara bangsa yang bertamadun tinggi.
Pada konteks umumnya, sebagaimana sering disebut oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Razli Che Razak, UMK sentiasa mengutamakan pendekatan ‘membekal ilmu dan membina keperibadian’. Ini selari dengan slogan yang dilontarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir iaitu ke arah membina kepentingan nilai ‘otak dan watak’. Penjurusannya adalah untuk melahirkan insan berilmu sekali gus memiliki nilai siasah kemanusiaan dan keperibadian yang luhur dan mulia. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










