Semangat ‘Olimpik’ atlet Terengganu di Sukma Sarawak

Semangat ‘Olimpik’ atlet Terengganu di Sukma Sarawak

AHMAD Samsuri Mokhtar bersalaman dengan atlet selepas Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu Sempena 100 Hari Menjelang Sukma Sarawak 2024 di Kuala Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Sarawak yang bermula pada 17 hingga 24 Ogos depan bakal menjadi gelanggang kepada 1,076 atlet dan pegawai kontinjen Terengganu memulakan langkah ke Olimpik pada masa hadapan.

Semangat ‘Olimpik’ yang mahu dibawa atlet Terengganu ke Sarawak semakin membara apabila dua jaguh trek berbasikal negara berasal dari negeri itu, Datuk Azizulhasni Awang dan Nur Aisyah Mohamad Zubir terpilih mewakili Malaysia pada Sukan ­Olimpik Paris 2024.

Penampilan dua jaguh sukan berbasikal di pentas sukan dunia itu menjadi idola kepada atlet muda Sukma Terengganu untuk mempamerkan aksi luar biasa yang dapat menggegarkan ‘Bumi Kenyalang’ setelah melakukan persiapan rapi yang diatur Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sejak dua tahun lalu.

Malah, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu 100 Hari Menjelang Sukma Ke-21, di Kuala Terengganu, baru-baru ini, memberi cabaran kepada para atlet tersebut supaya menjadikan temasya Sukma di Sarawak sebagai perjalanan awal mereka ke Olimpik.

“Kita semua yakin bahawa kita boleh, kita tidak lemah semangat. Kalau dua orang (Azizulhasni dan Nur Aisyah) dari Terengganu yang bukan berbadan sado macam Mat Salleh boleh sampai ke Olimpik pada Ogos ini, tidak mustahil ada dalam kalangan ramai-ramai (atlet Sukma di Sarawak) tidak mudah lemah semangat dan akan terus bertarung, perjalanan untuk sampai ke Olimpik,” katanya.

Untuk rekod, pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Azizulhasni yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ mencipta sejarah gemilang apabila kayuhannya di Veldorum Izu di Shizuoka, Tokyo berjaya menyumbang pingat perak buat Malaysia dan sebelum itu anak kelahiran Dungun itu meraih gangsa di Olimpik Rio 2016.

Atlet hebat lain dari Terengganu yang turut layak beraksi pada temasya sukan yang teragung dan berprestij di dunia itu di Tokyo 2020 ialah pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias, Khairul Annuar Mohamad dalam acara memanah dan Zulhairie Ahmad Tarmizi bagi aksi sukan berbasikal paralimpik.

Selain itu, bekas pelumba basikal kebangsaan, Fatehah Mustapa yang berasal dari Hulu Terengganu juga pernah dipilih mewakili Malaysia pada sukan Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016.

Hasil sokongan padu Kerajaan Terengganu selama ini, tidak mustahil Sukma di Sarawak bakal muncul bintang-bintang baharu dari negeri itu yang berpotensi diketengahkan di peringkat kebangsaan, seterusnya terpilih mewakili Malaysia ke Olimpik.

Terengganu sebelum ini juga terkenal sebagai negeri pembikinan ‘ubi muda’ yang mempunyai potensi besar dalam beberapa acara sukan utama di peringkat antarabangsa bermula dari pentas Sukma.

Pada Sukma Ke-21 kali ini, Terengganu meletakkan sasaran 75 pingat emas walaupun mengakui bakal berhadapan dengan pencabar hebat dari beberapa negeri seperti Johor, Wilayah Persekutuan, Selangor dan tuan rumah, Sarawak.

Sasaran pingat emas yang diletakkan itu mengatasi pencapaian kontinjen negeri pada temasya sama di Kuala Lumpur, dua tahun lalu apabila memperoleh 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa untuk berada di tempat kedua, di belakang Johor.

Berdasarkan semangat ‘Olimpik’ yang dibawa itu, Terengganu mampu menjadi ‘kuasa besar’ dengan menuai pingat yang banyak seterusnya muncul sebagai juara keseluruhan Sukma di Sarawak, seterusnya menterjemahkan ‘Misi Hanelang Bangkit 2024’.

Antara acara sukan yang diharapkan dapat menyumbang kilauan pingat emas terbesar seperti berbasikal, olahraga, pelayaran, judo, petanque dan ‘ibu’ segala pingat iaitu bola sepak.

Bagaimanapun, Terengganu terkilan apabila acara sukan yang menjadi lubuk pingat emas sebelum ini iaitu kayak tidak dipertandingkan pada Sukma tahun ini.

Sasaran 75 pingat emas itu dilihat bukan sekadar sembang di kedai kopi, sebaliknya kontinjen Terengganu telah membuktikan muncul juara empat edisi berturut-turut pada 2018, 2010, 2011, 2012 dan sekali lagi bergelar juara pada 2018.

“Cita-cita Terengganu tahun ini cukup besar, merampas gelaran juara keseluruhan yang kali terakhir dimenangi enam tahun lalu di Perak dan sasaran 75 pingat emas diyakini mampu direlisasikan,” kata Ahmad Samsuri.

BARANG TERLARANG
Namun dalam keghairahan membuat persiapan atlet, MSNT perlu memastikan atlet mereka tidak terjebak dalam penyalahgunaan bahan terlarang yang boleh menjejaskan peluang untuk mencapai sasaran pungutan pingat emas.

Ini kerana, isu doping sering timbul dalam Sukma sebelum ini berikutan kegagalan pegawai kontinjen memastikan atlet di bawah jagaan mereka bebas daripada penyalahgunaan bahan terlarang dari peringkat awal.

Pada waktu yang semakin singkat ini, MSNT wajar meningkatkan pemeriksaan atlet dengan kerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) bagi mengekang isu doping daripada berlaku dalam kalangan atletnya.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma sebelum ini dilaporkan secara rasmi bersetuju menawarkan sejumlah 488 acara dipertandingkan melibatkan seramai 12,619 atlet dan pegawai pada temasya Sukma Sarawak 2024.

Jumlah acara tersebut terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan yang akan dipertandingkan.

Acara tersebut dilangsungkan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching, Miri, Sibu, Mukah, Bintulu, Samarahan, Betong, Serian dan Sri Aman.

Kerajaan Sarawak membelanjakan kira-kira RM300 juta bagi menganjurkan Sukma tersebut termasuk membabitkan naik taraf gelanggang sukan, logistik dan penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.-UTUSAN

PENULIS ialah Korespoden Utusan Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN