PRK Sungai Bakap menarik ‘diperhati’ bagi tambah ilmu politik

PRK Sungai Bakap menarik ‘diperhati’ bagi tambah ilmu politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANANYA semakin hangat dan panas membara. Di tengah-tengah debaran menonton aksi lincah pasukan-pasukan bola sepak Eropah berentap bagi merebut kejuaraan Piala  Euro 2024, kita turut menyaksikan sebuah lagi pertarungan di tanah air ini yang tidak kurang sengitnya.

Di utara tanah air, dua gergasi politik bertembung bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dalam pilihan raya kecil (PRK) yang bakal berlangsung dalam seminggu lagi. Berbaki seminggu lagi tempoh kempen, masing-masing sudah tentu berhempas pulas untuk memenangi hati pengundi.

Kemenangan dalam PRK satu lawan satu ini amat penting bagi kedua-dua gabungan parti yang bertanding, terutamanya kepada Perikatan Nasional (PN) dan lebih-lebih lagi bagi Pas sebagai penyandang kerusi tersebut. Sudah tentu tekanan untuk menang adalah lebih besar ke atas Pas berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan parti-parti lain yang menganggotai PN.

Hal ini bukan sahaja kerana kerusi N20 berjaya dimenangi oleh pemimpin Pas dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, tetapi dalam PRK ini, PN sekali lagi mencalonkan seorang pemimpin Pas, Abidin Ismail sebagai taruhan menentang Dr. Joohari Ariffin daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.

Siapa yang bercita-cita untuk kalah dalam pertarungan? Melainkan jika ada janji atau habuan lain yang menanti. Hakikatnya, bagi yang bertanding, sudah pasti mereka mahu menjadi juara. Begitu juga dengan para penyokong mereka. Malah ada yang sanggup berusaha dan berkorban wang ringgit bagi memastikan pasukan atau calon mereka menang besar. 

Lihat sahajalah perjalanan Piala Euro 2024, malah mana-mana pertaruhan sukan jua. Ada sahaja insiden tidak bermoral dan pergaduhan yang berlaku dalam kalangan penyokong pasukan yang bertanding. Ketika di padang pula, ada pemain yang sanggup melakukan kekasaran terhadap pemain pasukan lawan demi untuk merampas bola.

Ungkapan semangat kesukanan seolah-olah tiada makna lagi. Akhirnya, semua itu sanggup dibakul sampahkan kerana gelaran juara itu lebih penting bagi mereka. Hari ini, sukan sudah menjadi terlalu kompetitif sehingga hilang roh semangat kesukanan yang berteraskan keharmonian dan kerjasama. Semangat yang ditiup adalah untuk mencipta kemenangan dan kegemilangan dan tidak lagi bagi tujuan keamanan.

Begitu juga dengan politik, terutamanya kempen pilihan raya. Bagi sesetengah pihak, maki-hamun, fitnah, pembohongan dan tuduhan liar sudah menjadi seakan-akan bahan utama kempen untuk meraih sokongan dan undi, sama ada PRK mahupun pilihan raya umum (PRU). 

Manusia sibuk berebut kuasa dan sanggup berbalah kerana menyokong pihak yang berlainan. Akhirnya, politik pula yang dikambing hitamkan. Politik dilabelkan sebagai sesuatu yang kotor dan keji sehinggakan ada yang tidak mahu keluar mengundi kerana menentang sistem pilihan raya.

Selaku mahasiswa, kami memerhati suasana ini bagi memahami keadaan politik semasa, strategi kempen yang digunakan serta reaksi masyarakat dalam menerima apa yang cuba disampaikan kepada mereka.

Dari sudut akademik, PRK Sungai Bakap amat menarik untuk diperhatikan kerana ia kawasan majoriti Melayu di Pantai Barat, seperti mana DUN Kuala Kubu Baharu yang gagal dirampas PN ketika PRK baru-baru ini.

Memasuki minggu terakhir berkempen, kita jangkakan keadaan di Sungai Bakap akan bertambah meriah, khasnya dengan kedatangan pemimpin serta jentera parti daripada seluruh negara untuk melakukan pecutan terakhir kempen sebelum hari mengundi. 

Sudah tentu yang menjadi tumpuan utama mereka ialah pengundi atas pagar, khasnya pengundi muda. Anak muda yang belum mengenal asam garam politik lebih mudah untuk digula-gulakan dengan janji bulan bintang, terutamanya yang bersemangat ingin melakukan perubahan. Walhal, tidak semestinya semua janji akan dilaksanakan jika mereka menang nanti.

Pelbagai cerita kempen yang berlegar-legar di media sosial sehinggakan kami yang bukan pengundi pun turut menerima tempiasnya. Sudah tentu isu subsidi bersasar diesel menjadi antara topik yang hangat diperkatakan.

Hanya melalui suapan di media sosial atau melalui perbincangan di kedai kopi, ramai yang merasakan sudah mampu mengupas isu ini secara panjang lebar. Masing-masing merasa bebas membuat tafsiran tanpa perlu merujuk faktanya.

Isu Speaker DUN Kelantan yang mengumumkan kerusi Nenggiri dikosongkan turut menjadi tajuk perbualan hangat. Maka, sudah ada yang mengandaikan akan berlaku sebuah lagi PRK dalam masa terdekat. 

Notis daripada pembangkang bagi meminta Speaker Dewan Rakyat mengosongkan enam kerusi Parlimen setelah ahli Parlimen kawasan tersebut menyokong Perdana Menteri turut menjadi bahan kempen. Pelbagai teori dan andaian dibuat sehingga yang sudah keliru menjadi lagi keliru. 

Ada juga yang bertanya adakah Kerajaan Perpaduan akan jatuh jika enam kerusi tersebut diisytiharkan kosong seperti yang diandaikan oleh sesetengah pihak? Mungkin ada yang terlupa bahawa kesemua kerusi tersebut dimenangi oleh PN  dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. 

Justeru, jika enam kerusi tersebut berjaya dikosongkan, PN lah yang akan berisiko kehilangan enam kerusi, sedangkan Kerajaan Perpaduan berpeluang memenangi kesemua kerusi tersebut. Maka, tiada kurangnya bilangan kerusi kerajaan di Parlimen.

 

CALON Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail (kiri), Dr. Johari Ariffin mewakili Kerajaan Perpaduan ketika sesi penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Jawi pada 22 Jun lalu. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN

 

UNDI DENGAN BIJAK

Mampukah gabungan Kerajaan Perpaduan merampas kerusi Sungai Bakap? Mungkin ada yang mengatakan hal ini mustahil. Namun, dengan kelebihan 1,563 undi yang diperoleh Pas dalam PRN lalu, ia boleh menjadi kenyataan sekiranya UMNO berjaya meyakinkan penyokongnya keluar mengundi calon gabungan mereka, berbanding undi protes seperti semasa PRN lalu.

Kepada para pengundi DUN Sungai Bekap, selamat mengundi. Fikir dahulu sebelum memangkah kerana undi anda sangat berharga.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN