Perkasakan Perkara 153 kepada semua lapisan masyarakat

Perkasakan Perkara 153 kepada semua lapisan masyarakat

PERKARA 153 adalah satu prinsip perlembagaan yang membenarkan pelaksanaan dasar keseimbangan antara kaum diwujudkan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini, sekali lagi polemik hak istimewa orang Melayu disuarakan, dibangkitkan dan bahkan sehingga ke tahap cuba dipertikaikan dalam kalangan masyarakat dengan pelbagai hujah dan alasan.

Sekiranya perbahasan ini tidak dikawal dan dibiarkan berleluasa dalam kalangan masyarakat secara terbuka, kesannya boleh menyebabkan atau menjadi punca masalah perkauman di Malaysia.

Pertikaian ini berkisar ‘hak’ dan ‘keistimewaan’ yang telah diperuntukkan dalam Perkara 153 iaitu peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, juga kepentingan sah kaum lain berwarganegara Malaysia.

Hakikatnya, Perkara 153 meletakkan kewajipan ke atas Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, bahkan kepentingan sah kaum lain sebagai warga negara Malaysia.

Kepentingan Perkara 153 perlu dilihat dari sudut sejarah kerana raja-raja Melayu dalam Perjanjian Negeri 1948 memberi komitmen kepada orang Melayu dalam bidang pendidikan, kemajuan ekonomi, kebajikan sosial dan penyertaan dalam perkhidmatan kerajaan.

Ketika Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 digubal bagi maksud pembentukan sebuah persekutuan, perkara yang menyentuh kepentingan orang Melayu sebagai bangsa asal terus diberi perhatian.

Perkara ini bukanlah ganjil atau pelik kerana melalui kuat kuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, raja-raja Melayu juga memperkenankan bangsa dan kaum asing diterima masuk sebagai warganegara.

Oleh itu, kedudukan istimewa orang Melayu diletak di bawah tanggungjawab khas Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan, yang juga berfungsi untuk memelihara kepentingan sah kaum lain.

Senario pada hari ini menunjukkan ekonomi dan kekayaan Malaysia masih dikuasai kaum bukan Melayu dan bukan anak-anak negeri. Realiti ini adalah bukti kukuh bahawa Perkara 153 bukanlah satu dasar yang menghalang kaum bukan Melayu dan anak negeri untuk meraih kekayaan, jauh sekali bersifat diskriminasi yang bercanggah dengan prinsip keadilan.

Jelas bahawa Perkara 153 ialah susulan daripada komitmen raja-raja Melayu di bawah Perjanjian Negeri 1948 sebelum bangsa dan kaum asing diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Kewajaran peruntukan sedemikian boleh dilihat dari sudut sejarah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Kewujudan dasar kuota di bawah Perkara 153 hanyalah merangkumi perizaban pada kadar munasabah yang difikirkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi jawatan seperti perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesebuah negeri).

Ia juga berkaitan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan Permit atau lesen pertukangan atau perniagaan.

Dalam peruntukan Perkara 153, dimasukkan sekatan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang dalam perkhidmatan awam atau pemegang biasiswa, penerima danasiswa, keistimewaan pendidikan atau latihan mahupun kemudahan khas lain, demi melaksanakan fungsi baginda di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Sekatan yang sama diperuntukkan dalam pengurusan permit dan lesen perniagaan.

Oleh sebab dasar ini diperuntukkan menurut undang-undang, maka tidak wajar sama sekali kedudukan itu dipertikai dan dibahaskan tanpa mengetahui asas atau asal usul pembentukan Perkara 153 dengan betul.

Sebenarnya, perkara yang lebih penting dan perlu diberi fokus ialah kaedah pelaksanaan Perkara 153 yang perlu disemak untuk memastikan tiada seorang pun bangsa Malaysia dinafikan perlindungan pada sisi undang-undang dan hak terhadap keperluan asasi.
Perlu ditegaskan bahawa Perkara 153 adalah satu prinsip perlembagaan yang membenarkan pelaksanaan dasar keseimbangan antara kaum diwujudkan.

PERKASA
Malah peruntukan itu perlu dikekalkan untuk memastikan pada masa hadapan, kaum majoriti tidak berasa hak mereka dinafikan kerana kewujudannya terbukti tidak menafikan peluang mana-mana kaum untuk menjadi kaya raya.

Demikianlah, kefahaman tentang isu hak keistimewaan ini perlu diterapkan dalam minda setiap kaum di Malaysia supaya tidak timbul kembali polemik dan naratif negatif yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Kefahaman berkaitan Perkara 153 perlu diberikan kepada semua lapisan masyarakat melalui pelbagai medium seperti silibus di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi dan kempen atau penerangan di pelbagai saluran media.

Sewajarnya subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) di universiti berkaitan penghayatan etika dan peradaban, ilmu falsafah dan isu semasa yang berkisar antaranya ketamadunan, hubungan etnik serta perlembagaan perlu diperkasakan dan diteruskan untuk menerapkan kefahaman kepada generasi bakal pemimpin masa hadapan untuk mengurangkan ruang berlaku konflik dan kesalahfahaman.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN