Pemilihan parti lancar bukti MIC semakin kukuh dan bersatu

Pemilihan parti lancar bukti MIC semakin kukuh dan bersatu

S.A.Vigneswaran selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti MIC menerima borang pencalonan daripada Nelson Renganathan bagi merebut jawatan Naib Presiden.– FB S.A.Vigneswaran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBETULAN betul rakyat Malaysia menyaksikan penamaan calon bagi pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, untuk memilih wakil yang dipercayai dalam pilihan raya kecil (PRK) akan datang dan pada hari yang sama turut diadakan penamaan calon perwakilan MIC bagi memilih barisan utama kepimpinan parti itu, Sabtu lalu.

Juga kebetulan apabila pengundian bagi kedua-dua pemilihan juga akan diadakan pada hari yang sama iaitu 6 Julai ini.

Para perwakilan MIC akan memilih seorang timbalan presiden, tiga orang naib presiden, 21 orang ahli majlis tertinggi (CWC) dan 10 orang ahli jawatankuasa tertinggi bagi setiap negeri (state congress) bagi tempoh 2024 hingga 2027.

Penamaan calon PRK Sungai Bakap menyaksikan satu lawan satu iaitu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) manakala penamaan calon MIC menyaksikan ramai calon turun gelanggang untuk mencuba nasib untuk dilantik sebagai wakil dalam barisan utama kepimpinan MIC.

Jawatankuasa pemilihan parti MIC yang dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran, menerima hanya satu borang pencalonan sahaja bagi jawatan timbalan presiden iaitu daripada Datuk Seri M. Saravanan. Beliau adalah penyandang timbalan presiden.

Selain itu, sebanyak 45 borang pencalonan bagi mengisi 21 jawatan (CWC) dan empat borang pencalonan bagi mengisi tiga jawatan naib presiden. Tiga pencalonan naib presiden itu adalah daripada penyandangnya dan seorang calon lagi adalah seorang muka baharu, Datuk Dr. Nelson Renganathan, yang merupakan senator sejak November 2021.

Memandangkan tiada pencalonan selain daripada Saravanan, maka beliau diumumkan menang jawatan timbalan presiden tanpa bertanding bagi tempoh 2024 hingga 2027. Ini adalah kali ketiga beliau berjaya memegang jawatan itu tanpa bertanding.

Kemenangan Saravanan itu sudah dijangkakan kerana sebelum ini Vigneswaran juga menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, tempoh bagi penggal ketiga, sekali gus ‘jalan pintas’ untuk menggesa ahli-ahli MIC menyokong Saravanan mengekalkan jawatanya bagi membantu beliau mengurus parti tersebut.

Memandangkan Vigneswaran bercadang untuk mendirikan tiga blok bangunan milik MIC di Kuala Lumpur melibatkan dua blok menara berkembar pencakar langit yang terdiri daripada satu blok 35 tingkat dan satu lagi blok 45 tingkat, maka beliau mengharapkan sokongan kuat daripada timbalannya.

Menara berkembar ini akan meletakkan ibu pejabat MIC, sebuah hotel lima bintang, kondominium dan pusat beli-belah. Selain itu, satu lagi blok dijangka akan dibina sebagai pusat pendidikan bagi menjayakan matlamat Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (Universiti AIMST). Vigneswaran percaya projek mega tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya dapat memudi parti secara beregu bersama Saravanan.

Dalam pada itu, tinjauan awal dalam kalangan para perwakilan daripada negeri-negeri yang berkumpul bagi penamaan calon menunjukkan Nelson dijangka akan menang besar dengan undi majoriti bagi jawatan naib presiden. Nelson djangka akan mendapat sokongan hebat daripada para perwakilan atas perkhidmatan, sumbangan dan jasa beliau kepada MIC sejak menyertai parti itu.

Nelson pernah dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC apabila beliau menang besar pada pertama kalinya pada tahun 1997 dalam pertandingan bagi merebut jawatan berkenaan. Kini beliau dilantik sebagai Ketua Biro pendidikan MIC.

Beliau juga merupakan seorang perintis dalam membuka dan mengurus kolej pendidikan tinggi dan profesional dalam negara. Malah beliau berpengalaman luas dalam bidang mengurus kolej pendidikan profesional hampir setengah abad.

Maka, para perwakilan menzahirkan pendapat bahawa sekiranya beliau dilantik sebagai naib presiden MIC, pastinya boleh membantu presiden parti, bukan sahaja dalam memajukan pelan pendidikan yang dianjurkan kepimpinan MIC bagi kepentingan anak-anak kaum India terutamanya kumpulan B40.

Dalam pada itu, pada era pemilihan parti sebelum Vigneswaran mengambil alih kepimpinan MIC, amalan kasta dan puak-puak dikesan menular dalam parti yang telah banyak merosakkan bukan sahaja perpaduan malah kekuatan parti.

Dengan itu, Vigneswaran selaku pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti telah memberi amaran kepada calon-calon supaya jangan menggunakan isu kasta dan politik wang dalam kempen pemilihan parti pada kali ini.

SEMANGAT DEMOKRASI
Pada keseluruhannya, pencalonan pemilihan MIC pada kali ini jelas menunjukkan semangat demokrasi yang masih segar malah pemimpin-pemimpin muda daripada akar umbi turut diberi peluang untuk menyertai pilihan dalam mengisi jawatan-jawatan utama dan penting dalam parti sebagai pelapis kepimpinan.

Usaha kesiapsiagaan Vigneswaran dalam menyediakan pelapis kepimpinan parti adalah satu usaha strategik yang perlu disokong oleh semua pihak kerana beliau ingin memastikan kelangsungan MIC sebagai sebuah parti yang kuat serta terus relevan bagi mewakili kepentingan sebahagian besar kaum India di Malaysia.-UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×