DEFISIT kepercayaan, iaitu tiadanya kepercayaan langsung atau ada tetapi pada tahap amat sederhana sahaja untuk terus mengekalkan hubungan antara dua pihak secara tidak tulen, bukan sahaja wujud antara etnik Melayu dengan bukan Melayu, khususnya Cina.
Ia juga didapati berada pada tahap tinggi. Inilah sebenarnya-benarnya sifat dan kedudukan perpaduan negara tentang hubungan etnik kita, khususnya di Semenanjung, walaupun ia kelihatan seperti baik lagi kukuh ikatannya.
Sehubungan ini, perpaduan kita hanya bersifat jukstaposisi. Ini bermakna etnik Melayu dan bukan Melayu yang diperlihat sebagai satu kesatuan utuh, sebenarnya satu pengharapan semata-mata, sedangkan kedua-duanya tidak pun begitu pada realitinya. Hal ini dapat dilihat pada banyak kes apabila masing-masing sangat curiga-mencurigai antara satu sama lain.
Perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku lagi setelah sekian lama kita menubuhkan negara dengan sama-sama melalui proses pembinaan negara bangsa, untuk bukan sahaja bersatu dalam erti yang sebenar-benarnya. Juga untuk mendukung aspirasi nasional melalui pemupukan identiti nasional yang kental oleh semua.
Namun harus diakui ia tidak berlaku seperti yang sepatutnya. Ini antaranya adalah disebabkan kita tidak cukup kenal-mengenali, untuk seterusnya faham-memahami dan akhirnya percaya-mempercayai sesama sendiri.
Sehubungan ini, etnik bukan Melayu, khususnya Cina, tidak pernah secara serius mahu mengenali etnik Melayu selaku kelompok majoriti lagi dominan, untuk memahami mereka bagi mendapat kepercayaan etnik Melayu.
Dengan tiadanya usaha begini, apatah lagi yang tekun, etnik bukan Melayu ditanggapi sebagai masih berupa pihak luar lagi asing oleh etnik Melayu.
Inilah yang sebenarnya berlaku pada polemik tentang etnik bukan Melayu yang mahu ikut menerajui kerajaan tempatan, apatah lagi kerajaan pusat.
Ia bukan sesekali berkenaan dengan isu ketidakcekapan mengurus. Sebaliknya ia isu kepercayaan, sama ada etnik bukan Melayu, boleh dipercayai untuk terus melindungi Islam, bahasa Melayu, etnisiti Melayu dan bumiputera lain serta raja Melayu sebagai agama, bahasa, etnik dominan dan pemerintah negara ini.
Ketidakpercayaan oleh etnik Melayu ini berasas. Ini kerana etnik bukan Melayu secara umumnya, apatah lagi secara khususnya, tidak pernah memperlihat sikap positif terhadap etnik Melayu dalam perlakuan mereka, yang boleh menyakinkan etnik Melayu.
Sebenarnya sikap positif ini tidak pernah pun ada sebab etnik bukan Melayu bukan sahaja tidak mahu mengenali etnik Melayu untuk memahami mereka tetapi enggan bergaul dengan etnik Melayu secara lebih bebas untuk mengenali mereka.
Ini antaranya kerana mereka tidak pernah mahu menghormati etnik Melayu yang pada mereka adalah kelompok inferior, justeru tidak perlu pun didekati langsung apabila tiada keperluan yang betul-betul mendesak.
Sebetulnya sikap sebegini tidak boleh wujud langsung, apatah lagi dibiarkan berlanjutan. Ia bukan sahaja boleh terus menghakis perpaduan kita yang tidak pun ampuh, juga boleh menyebabkan polarisasi etnik bertambah runcing sehingga menjejaskan institusi dan norma sosial tertentu.
Sebenarnya defisit kepercayaan ini sudah berleluasa kini, walaupun ia bersifat peribadi pada mulanya.
Dengan ini, ia bermakna ketidakpercayaan antara dua etnisiti ini pada peringkat individu sahaja dahulu, kini sudah bersifat kolektif pada peringkat masyarakat dan negara, dengan etnik Melayu secara berkelompok mencurigai kesemua yang bukan Melayu. Begitu juga keadaan sebaliknya.
Malaysia tidak boleh terus-terusan menghadapi defisit kepercayaan. Hal ini hendaklah diuruskan sesegera yang boleh kerana ia memang boleh menjejaskan kemajuan negara dari segi kualiti, antaranya jurang produktiviti dan penglibatan yang tidak maksimum daripada kedua-dua etnik ini.
Oleh itu, etnik Melayu dan bukan Melayu perlu sedar, malah insaf akan manfaat kepercayaan antara mereka. Untuk ini, ia harus datang secara tulus daripada kedua-dua pihak agar dapat dilestarikannya demi negara tercinta ini.
Untuk etnik bukan Melayu, mulakanlah usaha untuk lebih mengidentifikasikan diri dengan etnik Melayu. Ini pasti akan membawa kepada perkenalan mesra, pemahaman baik dan kepercayaan ikhlas yang amat berkurangan itu.
Ini antaranya dapat dilakukan melalui pergaulan yang tinggi intensitinya dan frekuensi yang kerap sebagai kelompok yang selalu menghormati, selain menghargai tuan rumah dengan penuh kesopanan dan kenangan jasa pada setiap masa.
Bagi etnik Melayu pula, mereka sememangnya tuan rumah yang baik dengan bukan sahaja kemesraan akrab, juga keprihatinan cakna yang selalu dihulurkan kepada sesiapa sahaja. Mereka sebenarnya adalah kelompok santun yang tidak suka berkonfrontasi dan bukan tidak cerdik langsung untuk segera mengetahui kerenah tetamu yang selalu mahu mengeksplotasi mereka pada setiap kesempatan yang ada.
WUJUDKAN KEPERCAYAAN
Demi negara tercinta ini, marilah kita sama-sama bekerja keras untuk mewujudkan kepercayaan ini. Untuk ini, marilah kita buang yang keruh dan ambil yang jernih, dengan berjiwa besar dan berlapang dada untuk mengakui kesilapan lampau bagi bergerak ke hadapan.
Sebenarnya isu kepercayaan sesama kita belum lagi bersifat betul-betul defisit, yakni tiada langsung atau kurang sekali perasaan yakin akan kebaikan sesuatu etnik itu. Ia masih ada, cuma tidak dapat diletakkan dengan jitu pada dan oleh sesuatu etnik itu.
Ia wajib wujud lagi-lagi setelah diumumkan bahawa perpaduan negara kini adalah yang terbaik, setelah diukur Indeks Perpaduan Nasional pada skor yang hampir sempurna. Ini kerana amat janggal sekali untuk kita bersatu padu seutuh itu, dengan masih adanya kekurangan kepercayaan sesama kita sendiri.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










