PAKATAN Harapan (PH) terkedepan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap pada 6 Julai ini. Sementara hari penamaan calon hanya akan berlangsung pada 22 Jun, PH telah mengumumkan calonnya pada 12 Jun lagi, 10 hari lebih awal.
Jika dilihat kecenderungan dalam semua PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) pada 19 November 2022 dan PRN lima negeri pada 12 Ogos 2023, apa yang berlaku ialah status quo.
Di peringkat Parlimen, daripada PRK P.036 Kuala Terengganu pada 12 Ogos 2023, PRK P.161 Pulai pada 9 September 2023 hinggalah ke PRK P.040 Kemaman pada 2 Disember 2023 semua parti penyandang, baik Pas mahupun Amanah, mengekalkan kerusi masing-masing.
Begitu juga di peringkat DUN. Baik PRK N.13 Simpang Jeram pada 9 September 2023, PRK N.36 Pelangai pada 7 Oktober 2023, PRK N.67 Jepak (2023) pada 4 November 2023 dan PRK N.06 Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu semuanya memihak kepada parti penyandang.
Oleh itu, PRK N.20 Sungai Bakap mampu mencipta satu sejarah signifikan dalam lanskap politik Malaysia pasca PRU 15 dan PRN lima negeri jika calon PH menang kali ini kerana ia akan menjadi PRK pertama yang menyaksikan kerusi yang dipertandingkan bertukar tangan.
Berdasarkan tinjauan awal, terdapat beberapa petanda kukuh yang memungkinkan calon PH di Sungai Bakap mampu mencipta kejutan mengalahkan calon PN pada 6 Julai ini.
Pertama, secara tradisinya, kerusi Sungai Bakap adalah kerusi tradisi PKR. Apa yang menyebabkan calon PKR kalah dalam PRN Pulau Pinang ialah kerana ia didorong oleh gelombang hijau PN yang melihat PN mensasarkan untuk menumbangkan PH di Pulau Pinang.
Setelah PH kekal berkuasa di Pulau Pinang, gelombang hijau ini sudah pudar. Tiada apa yang boleh dikempenkan oleh PN dalam PRK ini kerana PN tidak mampu memajukan Sungai Bakap jika ia menang kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat berada di tangan PH-BN.
PH melalui PKR menguasai kerusi Sungai Bakap selama tiga penggal berturut-turut sebelum dirampas oleh calon Pas, Nor Zamri Latiff, yang menang dengan majoriti 1,563 undi ke atas Nurhidayah Che Ros dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos 2023.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) pada 8 Mac 2008 dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) pada 10 April 2013, calon PKR, Maktar Shapee, menang dengan majoriti 2,067 undi dan 1,805 undi ke atas calon BN, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah dan Mohd Foad Mat Isa.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang bersejarah pula, calon PKR, Dr. Amar Pritpal Abdullah, menang dengan majoriti 2,348 undi ke atas tiga calon lain, iaitu calon BN, Datuk Mohamed Sani Bakar, calon PAS, Osman Jaafar, dan calon PRM, Tan Chow Kang.
Kedua, PH mendapat sokongan padu BN. UMNO sejak 4 Jun lagi menyatakan komitmen penuhnya untuk membantu calon PH di Sungai Bakap. Hari itu, War Room UMNO menghantar Datuk Seri Ahmad Maslan untuk bertemu dengan UMNO Bahagian Nibong Tebal.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, pada 10 Jun menyatakan seluruh jentera BN sudah bersiap sedia untuk memenangkan calon PH, dengan beliau sendiri sudah berjumpa dengan pemimpin MCA dan MIC untuk membantu calon PH.
Ketiga, tiada kemelut dalam pemilihan calon PKR. Walaupun pada peringkat awalnya ada ramai calon yang menawarkan diri untuk bertanding, tetapi kesemuanya sebulat suara menerima pencalonan Dr. Joohari Ariffin yang dibuat dalam majlis pengumuman calon pada 12 Jun.
Keempat, kekuatan calon PKR yang menepati kehendak pengundi kerana Dr. Joohari adalah anak jati Sungai Bakap yang menetap di Taman Ilmu walaupun dilahirkan di Permatang Pasir tetapi membesar di Sungai Bakap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.
Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Islam serta Ijazah Sarjana Kepengetuaan dari Universiti Malaya (UM) selain Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan.
Dr. Joohari juga lama bergiat dalam bidang pendidikan dengan menjadi guru di beberapa sekolah, termasuk sekolah di Nibong Tebal, iaitu Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nibong Tebal.
Khidmat lama beliau sebagai guru, dengan jawatan terakhir beliau yang tinggi, iaitu sebagai Pengarah Institut Aminudin Baki (IAB) Cawangan Utara, beliau mempunyai pengaruh besar dalam kalangan ibu bapa, pelajar, guru serta penjawat awam di sekitar Nibong Tebal.
Beliau juga begitu aktif dalam kerja amal dan kemasyarakatan hingga dikenali dan dihormati ramai. Selain itu, beliau dikenali dengan adab dan akhlak baik, termasuk dalam berkempen, sehingga sukar dicari sisi negatif.
Kelebihan ini sukar ditandingi calon PAS. Baik jika diletakkan Iszuree Ibrahim, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Zulazhar Mohamad, Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, atau Musalmah Yusop, isteri kepada Nor Zamri, semuanya tidak sepadan dengan calon PKR.
Ditambah pula dengan ketiadaan sebarang isu besar yang boleh menggugat PH-BN, sama ada di peringkat pusat atau di peringkat negeri, serta dengan komposisi bercampur pengundi Sungai Bakap, 59 peratus Melayu dan 40 peratus bukan Melayu, PKR berpotensi besar menang dalam PRK ini. – UTUSAN
NURULAINI Zamhury ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.










