Johor terus kekal sebagai tonggak kekuatan BN

Johor terus kekal sebagai tonggak kekuatan BN

SOLIDARITI antara UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN (FOBN) menjadi kekuatan Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal relevan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memerintah sendiri setelah menang 21 daripada 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021, Johor adalah kubu kuat parti gabungan itu setelah menang 40 daripada 56 kerusi dalam PRN pada 12 Mac 2022.

Hasil daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 pula, BN kekal mengetuai Kerajaan Negeri di Pahang dan di Perak selaku Menteri Besar melalui kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) setelah hanya menang 17 kerusi di Pahang dan 9 kerusi di Perak.

Pada 8 Jun lalu, BN Johor menjadi negeri pertama, selain BN Kelantan, melangsungkan konvensyennya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberi ucapan perasmian penutupan majlis.

Format Konvensyen BN Johor menarik sekali. Tiga parti komponen BN Johor, iaitu UMNO, MCA dan MIC, yang diwakili oleh Setiausaha Badan Perhubungan masing-masing, diberi ruang membentangkan dapatan maklum balas kajian ke atas akar umbi parti masing-masing.

Turut diberi ruang berucap secara sama rata ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, MCA dan MIC, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan R. Vidyananthan sekali gus menunjukkan keakraban hubungan antara setiap parti komponen.

Dalam PRN Johor, MCA dan MIC masing-masing memenangi empat dan tiga kerusi manakala dalam PRU15, MCA memenangi dua kerusi Parlimen di Johor.

Tidak hairanlah dalam konvensyen itu, selain menegaskan fokus dalam membina masa depan yang lebih baik untuk bangsa Johor, resolusi-resolusi yang diluluskan turut mencerminkan komitmen tinggi BN untuk memperkukuhkan kedudukan politiknya di negeri itu.

Resolusi utamanya ialah memperkukuhkan solidariti antara UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN (FOBN) yang mana BN Johor akan mengadakan pertemuan berkala dan sesi dialog awam untuk membincangkan isu-isu yang berbangkit dan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak.

Kajian untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran juga akan dijalankan bagi mengenal pasti kelemahan dan peluang penambahbaikan. Dengan memastikan semua segmen masyarakat diwakili dan didengari, BN Johor yakin akan meningkatkan sokongan rakyat terhadapnya.

Satu lagi resolusi utamanya ialah memperkasakan strategi gerak kerja termasuk penguasaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis data pilihan raya dan mengatur strategi kempen yang lebih efektif termasuk melalui pelbagai media sosial.

BN Johor menyasarkan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 40 kerusi yang ada sekarang dengan calon-calon yang dipilih haruslah mampu memberikan 5 hingga 15 peratus tambahan undi selain akan diberikan latihan dan bimbingan bagi memastikan mereka mampu menjadi pemimpin berkesan.

Resolusi seterusnya ialah mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan memandangkan pembentukan kerajaan semasa di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa manfaat besar kepada Johor, termasuk pelaksanaan projek-projek pembangunan.

Kerajaan Negeri Johor juga komited untuk berlaku adil kepada semua pihak, termasuk dari pihak pembangkang untuk memastikan kesejahteraan bangsa Johor. Hubungan yang erat ini penting untuk mewujudkan suasana politik yang stabil dan kondusif bagi pembangunan berterusan.

Resolusi selanjutnya ialah untuk terus menarik lebih banyak pelabur asing sekali gus menjadikan Johor sebagai salah satu destinasi utama pelaburan dan memastikan pembangunan sosioekonomi yang adil di seluruh 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dengan dukungan terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ), pertumbuhan ekonomi negeri akan dipacu untuk membawa manfaat kepada seluruh kawasan dan memastikan bahawa pembangunan ekonomi dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Resolusi terakhir ialah meningkatkan kualiti pendidikan, memastikan tiada keciciran pelajar serta menekankan dukungan terhadap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) untuk memperluaskan peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

BN Johor mahukan syarikat-syarikat memberikan peluang kepada pelajar lepasan TVET untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk memastikan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing dapat dibentuk, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

NASIB BAIK
Johor amat bernasib baik kerana mempunyai Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang kini merupakan Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor yang begitu prihatin dan proaktif dalam menjaga kebajikan, kesejahteraan dan kemakmuran bangsa Johor.

Titah Tunku Ismail supaya tiada seorang pun ketua isi rumah yang berstatus miskin tegar selepas 2025, dengan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi tempoh masa 19 bulan untuk melakukannya, pastinya akan memastikan BN Johor lebih aktif.

Dengan menekankan kerjasama antara parti komponen, mengeratkan hubungan dengan kerajaan persekutuan, memperkasakan gerak kerja pilihan raya, mengangkat agenda pendidikan dan menyuburkan ekonomi, BN Johor menunjukkan kesungguhan untuk terus memimpin Johor.

Perancangan yang rapi serta pendekatan yang inklusif dan berfokus kepada pembangunan berterusan yang dibawa Onn Hafiz tidak syak lagi akan dapat memastikan bahawa Johor kekal sebagai salah satu kubu kuat dan negeri contoh BN dalam PRN yang dijangka pada 2027.

Pengiktirafan malah diberi oleh Perdana Menteri yang berkata pada 18 April lalu bahawa Johor hebat bukan saja kerana Yang di-Pertuan Agongnya tetapi juga kerana ia diterajui pemimpin muda yang berjaya membangunkan Johor menjadi negeri termaju dalam satu atau dua tahun lagi.-UTUSAN

DATUK Norshida Ibrahim ialah Naib Ketua Wanita UMNO Johor dan Ketua Wanita UMNO Segamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN