“ADUHAI, JB (Johor Bahru) sekarang jalannya sesak dah macam KL (Kuala Lumpur).”
Demikian komen seorang sahabat yang datang ke Johor Bahru, baru-baru ini.
Tidak dinafikan kesesakan jalan raya semakin ‘menghimpit’ warga bandar raya Johor Bahru kerana hampir setiap masa berlaku kesesakan di kebanyakan laluan, khususnya yang menuju ke pusat bandar raya.
Sebut sahaja dua laluan utama, iaitu Jalan Skudai dan Jalan Tebrau, hampir setiap masa dipenuhi dengan kenderaan.
Lebuhraya Pasir Gudang serta Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) yang menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Ismail (BSI) juga sering berlaku kesesakan.
Kesesakan di laluan utama berkenaan semakin ‘menekan’ warga bandar raya ini pada waktu puncak apabila ingin pergi dan pulang kerja.
Situasi tersebut semakin ‘parah’ pada hujung minggu dengan kehadiran ramai rakyat negara jiran, Singapura berkunjung ke negara ini, khususnya Johor.
Jika sebelum ini sesuatu perjalanan mengambil masa 10 minit, namun dalam situasi sekarang mungkin lebih 30 minit.
Benar pengakuan seorang rakan: “Aku kalau tiada apa-apa urusan, tidak mahu pergi ke pusat bandar pada waktu hujung minggu, lebih baik duduk rumah sahaja, penat di jalan kerana semakin sesak sekarang.”
Persoalannya, apa yang menyebabkan situasi kesesakan jalan raya di Johor Bahru semakin teruk?
Selain pertambahan bilangan kenderaan, kerja-kerja pembinaan melibatkan pelbagai projek pembangunan turut menyumbang terhadap situasi berkenaan.
Namun, perkara tersebut tidak dapat dielakkan demi keselesaan dan kebajikan yang lebih baik kepada warganya pada masa akan datang.
Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan menyebabkan jalan-jalan di sekelilingnya, sama ada terpaksa ditutup sepenuhnya atau sebahagian sehingga menjejaskan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Untuk mengatasi isu kesesakan secara total, itu mustahil! Namun, langkah tertentu harus dilakukan untuk mengurangkan keadaan tersebut.
Selain projek pembangunan, kerja-kerja pembaikian dan penurapan jalan juga harus dilaksanakan dengan sistematik dan tepat pada masanya.
Kadang-kadang, kerja-kerja pembaikian, penurapan dan penyelenggaraan jalan dilakukan pada waktu trafik agak padat, terutamanya pada waktu siang.
Andai kerja-kerja seumpama itu dapat dilakukan pada waktu malam, apabila kenderaan kurang berada di jalanan, situasi kesesakan tidak akan terlalu sesak.
Pihak kontraktor utama yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau agensi berkaitan harus turun padang memantau pelaksanaannya. Janganlah hanya duduk di pejabat menunggu laporan sampai.
Apabila pengguna bising dan sudah tular dalam media sosial baru nak ambil tahu. Lebih menyedihkan sikap ‘denial’ (penafian) dengan memberi pelbagai alasan atas apa yang berlaku. Ingat, pengguna bukan ingin mendengar alasan, tetapi apa langkah dilakukan untuk menangani sesuatu isu tersebut.
Jika projek Sistem Rapid Transit (RTS) merupakan berita baik, khususnya bagi yang bekerja dan pengembara antara kedua-dua negara, Malaysia-Singapura, namun warga Johor Bahru masih ternanti-nanti apakah berita ‘gembira’ untuk mengurangkan isu kesesakan jalan raya.
Projek Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Automasi (ART), Bas Rapid Transit (BRT), banyak yang disebut-sebut, namun hingga kini tiada satu pun yang diputuskan. Jawapan yang sering diberikan, ‘masih dalam kajian.
BRT nyata sudah terkeluar daripada ‘persaingan’ kerana dimaklumkan projek tersebut walaupun pernah menjalani ujian di laluan Iskandar Puteri suatu ketika dahulu dan menelan kos ratusan juta, namun difahamkan tidak akan dilaksanakan.
Nyata cadangan untuk memperkenalkan BRT di Johor Bahru sudah tinggal ‘kenangan’. Kini rakyat Johor, khususnya warga Johor Bahru amat berharap kerajaan dapat mencapai kata putus segera tentang apakah sistem pengangkutan awam.yang sesuai dilaksanakan.
Keputusan tidak harus ‘ditangguhkan’ terlalu lama sebelum situasi kesesakan di Johor Bahru semakin teruk.
Dikhuatiri, kesesakan di pusat bandar raya akan lebih buruk apabila RTS mula beroperasi, dijadualkan pada 2027. Malah, kapasitinya yang dapat membawa 10,000 pengguna dalam satu jam akan menjadikan kesesakan luar biasa jika tiada sistem pengangkutan sokongan yang berintergrasi dengannya tidak dilaksanakan.
Justeru, sama ada LRT, MRT atau ART, kerajaan harus segera membuat keputusan dan pembinaanya perlu dilakukan secepat mungkin supaya dapat beroperasi seiring dengan RTS.
PENGANGKUTAN AWAM
Andai lambat dimulakan, kemungkinan situasi kesesakan di Johor Bahru akan menjadi lebih ‘parah’ berbanding Kuala Lumpur.
Malah, pengenalan sistem kod QR dalam urusan pemeriksaan imigresen bagi penggembara kedua-dua negara baru-baru ini sudah pasti mempercepatkan urusan pemeriksaan imigresen di pintu masuk sempadan.
Ini pasti memerlukan sistem sokongan seiring dan terbaik supaya pengembara kedua-dua negara tidak ‘tersangkut’ terlalu lama di CIQ.
Dengan sistem pengangkutan yang baik sudah pastinya melancarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan, sekali gus meningkatkan aliran kerja serta imej perkhidmatan negara.
Justeru, sistem pengangkutan awam yang efisien akan dapat menjimatkan masa serta kos dan meningkatkan produktiviti.
Di pihak Singapura tidak timbul isu kerana RTS diintegrasikan dengan sistem MRT yang baik dan lancar.
Seiring sebagai bandar raya metropolis, Johor Bahru kini amat memerlukan sistem pengangkutan awam yang efisien dan pada masa yang sama bayaran tambang mampu milik.-UTUSAN
NOTA: Penat dah hari-hari sesak.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.










