PILIHAN Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang memperlihatkan kemenangan masih berpihak kepada Kerajaan Perpaduan merupakan ujian sebenar kepada pentadbiran kerajaan lebih-lebih lagi apabila Pakatan Harapan (PH) gagal mempamerkan prestasi yang baik sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Selangor.
Pada PRU14, PH berjaya menang 51 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang dipertandingkan, manakala pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023, gabungan PH-Barisan Nasional (PH-BN) menang 31 kerusi DUN sahaja. Oleh itu PRK ini menjadi tumpuan lensa politik, terutamanya pasca PRN 2023.
Ramai pemerhati politik melihat PRK ini medan untuk menguji penerimaan pengundi, terutamanya masyarakat Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan, lebih-lebih lagi kedudukan UMNO dan DAP dalam sebuah pasukan. Oleh itu apa jua keputusan yang diperoleh untuk kerusi ini, akan memberi kesan terhadap pentadbiran PH, terutamanya dari segi ukuran persepsi dalam kalangan pengundi terhadap kerajaan Persekutuan.
Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu memperlihatkan demografi pengundi yang unik berbanding kerusi DUN yang lain di Selangor. Untuk kerusi ini, pengundi Melayu menjadi penentu terhadap kemenangan mutlak untuk setiap calon yang bertanding. Jumlah pengundi yang paling ramai di kerusi ini adalah terdiri dari pengundi Melayu iaitu 46.4 peratus, iaitu 18,566 orang. Manakala pengundi Cina ( 30.7 peratus atau 12,285 orang), pengundi India, (18 peratus iaitu 7,203 orang) dan lain-lain (5 peratus iaitu 1,997 orang).
Jumlah ini secara tidak langsung membuktikan kerusi di DUN ini merupakan kerusi campuran dan untuk menang dengan majoriti yang selesa, calon perlu menguasai sekurang-kurangnya separuh dari pengundi bukan Melayu.
Sebelum PRK ini berlangsung, terdapat beberapa isu yang menjadi perhatian pengundi. Antaranya isu dalaman yang melibatkan BN. Pasca pengumuman kekosongan kerusi oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh memperlihatkan MCA menuntut kerusi ini supaya diserahkan kepada mereka.
MCA mendakwa kerusi ini milik parti itu berdasarkan kepada PRU yang lalu. Namun begitu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pembahagian kerusi adalah mengikut konsensus PH-BN iaitu PH kekal bertanding di kerusi yang dimenangi oleh parti tersebut di Selangor.
Oleh itu beliau menyatakan MCA perlu menghormati konsensus tersebut dan bersama-sama turun berkempen bagi memenangkan calon dari PH.
Selain itu, PRK ini juga merupakan penanda aras terhadap penerimaan rakyat terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.
Ketika PRK ini berlangsung, Kerajaan Perpaduan telah mentadbir Malaysia hampir dua tahun. Semasa PRK diadakan, kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji kepada penjawat awam dan kenaikan ini merupakan tertinggi dalam sejarah. Pengumuman ini secara tidak langsung menjadi signal yang baik dari masyarakat terhadap kerajaan.
Walaupun sebelum ini momentum sokongan rakyat terhadap kerajaan merudum ekoran dari isu permasalahan beras, kejatuhan nilai mata wang ringgit dan isu kalimah Allah, namun isu ini dapat diatasi dengan segera melalui beberapa inisiatif dan tindakan segera daripada pihak kerajaan.
Selain itu, tindakan kerajaan mengumumkan kenaikan gaji kepada penjawat awam disambut baik oleh masyarakat secara keseluruhan dan dianggap oleh pakar ekonomi ‘langkah kehadapan’ bagi mengatasi inflasi ekonomi di seluruh negara, terutama di sekitar bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Shah Alam.
PRK ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, PN, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas. Keputusan yang diperoleh seperti yang dijangka iaitu PH yang diwakili DAP berjaya mempertahankan kemenangan di kerusi ini dengan majoriti yang selesa. Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi dan jauh meninggalkan pihak lawan yang lain.
Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut hanya memperoleh 10,131 undi. Manakala calon lain gagal menyerlah.
Kemenangan kekal DAP pada kerusi ini disebabkan oleh hampir tiada isu yang melibatkan kerajaan dan masyarakat Cina. Malah berdasarkan responden menyatakan masyarakat Cina lebih selesa hidup dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri yang diterajui oleh PH.
Walaupun begitu, jumlah undi yang diperoleh DAP untuk kerusi ini berbeza berbanding PRN 2023 lalu.
Pada PRN tersebut, DAP memperoleh 14,862 undi dan jumlah ini merosot kepada 14,000 undi kali ini. Faktor utama yang mendorong kemerosotan undi ini adalah disebabkan oleh peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PN.
SOKONGAN BERUBAH
Perubahan pola pengundi Melayu dikesan sejak PRN 2023, namun pada PRK ini, perubahan berlaku pada skala yang lebih besar. Sokongan pengundi Melayu ini dapat dilihat melalui penguasaan Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti pengundi Melayu seperti PDM Ampang Pecah, Bandar Utama Batang Kali, Pertak dan Kampung Air Jernih oleh calon PN dan jumlah undi yang diperoleh ini jauh meninggalkan undi terhadap calon PH.
Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan pengundi Melayu kekal memberi sokongan kepada calon PN. Antaranya adalah isu yang dijadikan kempen seperti 3R (raja, agama dan kaum) yang didendangkan PN pada PRN lalu masih lagi diteruskan dan isu ini secara tidak langsung berjaya menambat hati pengundi Melayu di DUN Kuala Kubu Baharu.
Begitu juga dengan hal yang melibatkan naratif hubungan UMNO-DAP, perkara ini masih diperbesarkan sebagai isu utama, walhal UMNO dan DAP telah bersama dalam Kerajaan Perpaduan hampir dua tahun. Perkara sebegini, membantu PN bagi mendapatkan sokongan pengundi Melayu secara langsung.
Secara konklusinya, PRK Kuala Kubu Baharu ini menjadi penanda aras penerimaan masyarakat terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Walaupun kerajaan mendapat sokongan padu dari pengundi Cina, namun kerajaan perlu bertindak dengan segera bagi menguasai pengundi Melayu.
Untuk itu, pihak yang berwajib seharusnya memberi perhatian khusus terhadap perubahan sokongan yang berlaku dalam kalangan pengundi Melayu ini.
Perkara ini penting, sokongan dari pengundi Melayu dapat mengukuhkan kedudukan kerajaan Perpaduan, sekali gus membantu kerajaan merangka dasar yang lebih berkesan bagi meneruskan agenda pembangunan negara.-UTUSAN
DR. Muhammad Naim Fakhirin Rezani ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).










