Toksik, parasit, di pejabat, keluar grup?

Toksik, parasit, keluar grup?

KERJA BERKUMPULAN menjadi antara faktor penentu kejayaan organisasi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Situasi di pejabat syarikat atau mana mana organisasi banyak ditentukan atau dipengaruhi oleh ahli atau kakitangan yang berada dalam pejabat tersebut.

Syarikat yang berjaya banyak bergantung kepada keupayaan kakitangan yang produktif, kreatif, bermotivasi, dedikasi, mampu bekerja sebagai satu pasukan dan dimotivasi oleh kepimpinan yang berkesan.

Kakitangan adalah aset syarikat atau organisasi. Justeru menjadi tanggungjawab majikan atau ketua memanfaatkan aset-aset ini bagi mencapai matlamat organisasi.

Kakitangan adalah alat untuk mencapai matlamat tetapi jika majikan atau ketua gagal mengurus aset ini, ia boleh menjadi liabiliti yang akan membebankan syarikat atau organisasi.

Pengurusan atau majikan perlu bijak mengurus aset ini dan tanggungjawabnya besar. Sebuah bahtera berisiko bukan sahaja tidak sampai ke pelabuhan atau destinasi kerana anak-anak kapal yang bermasalah ini, tetapi lebih buruk jika kapal ini karam dan membunuh semua yang berada di dalamnya.

Perkara itu berlaku kerana ada golongan parasit di pejabat atau organisasi ini, Berapa pun jumlahnya ia tetap menjadi beban kepada organisasi dan mengendalikan situasi toksik dan watak watak parasit ini memerlukan sentuhan pintar dan kematangan serta kemahiran ketua mengendalikannya.

Mereka perlu ada kemahiran mengurus kerenah atau tingkah laku organisasi dan lebih penting mengurus emosi atau kemarahan (anger management), bukan sekadar mengarah itu dan ini tanpa menganalisis keadaan dan tidak ada pendirian bagi membuat keputusan dalam satu satu kes.

Majikan atau ketua yang menganggap dirinya sahaja yang betul , bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah, malah lebih memburukkan lagi keadaan.Macam cerita bahtera tadi.

Isunya, ketua atau majikan sebagai kapten kapal memainkan peranan penting mengendalikan situasi.Perlu profesional, bukan emosional apatah lagi tidak ada anger management dan melepaskan kata-kata menyakitkan, kasar dan mungkin lucah. Berkongsi pandangan isu ini, Pengarah Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Wan Noraini Wan Yusoff berkata, toksik pejabat bermula daripada faktor psikologi manusia iaitu sikap.

Katanya, toksik pejabat dalam bahasa Melayu merujuk kepada pegawai atau pemimpin yang menunjukkan sikap negatif atau membahayakan. Lazimnya penyalahgunaan kuasa, sikap mengeksploitasi orang lain, yang menyebabkan persekitaran kerja tidak sihat.

‘Toksik’ bermaksud mengancam, mempengaruhi sehingga ke tahap meracuni pihak lain. Situasi ini boleh berlaku kepada seseorang yang memegang jawatan penting atau berkuasa dalam organisasi. Oleh itu, secara keseluruhannya, ‘toksik pejabat’ merujuk kepada pemimpin atau pegawai yang berperangai buruk dalam pejabat atau organisasi.

Beliau turut mencirikan beberapa ciri pegawai toksik di pejabat termasuklah antaranya menggunakan manipulasi, seperti pembohongan, kongkongan atau penyalahgunaan kuasa, untuk mencapai matlamat peribadi mereka.

Ciri seterusnya adalah tingkah laku agresif iaitu mereka boleh menjadi agresif secara verbal atau emosional, termasuk mengancam atau menindas rakan sekerja untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan.

Satu lagi ciri negatif adalah mereka mungkin tidak memikul tanggungjawab dengan baik dan sering meletakkan kesalahan ke atas orang lain atas kesilapan atau kegagalan mereka sendiri.

Bagaimana mengatasi masalah ini?

Menurut Wan Noraini, usaha mengatasi perilaku toksik ini memerlukan pendekatan menyeluruh dengan sokongan pengurusan atau atasan.

Bagi Ketua Timbalan Pendaftar Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UiTM, Mohd. Rafizi Rahmad situasi parasit di tempat kerja, merupakan cabaran serius dalam pengurusan sumber manusia. Kehadiran individu dengan sikap negatif, manipulatif, pemalas dan suka menjatuhkan orang lain tidak hanya merosakkan keharmonian di tempat kerja, tetapi mengganggu produktiviti serta keberkesanan organisasi

Beliau yang juga Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) berkongsi pandangan bahawa dalam menghadapi situasi ini, ketua perlu mengambil tindakan proaktif dalam mengenal pasti dan menangani punca serta kesan perilaku toksik ini dengan matang. “ Kebijaksanaan (wisdom) ketua perlu untuk membaca suasana, “ ujarnya.

 

Bagi pakar psikologi kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ,

Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din, beliau menyifatkan tingkah laku toksik perlu dilihat daripada pelbagai konteks iaitu kepercayaan, kekeliruan dan tingkah laku negatif. Tingkah laku toksik berkait rapat dengan sikap antisosial si pelaku atau abnormaliti.

“Toksik ini melibatkan komunikasi yang bercelaru , pengurusan dan kaedah berkomunikasi juga tidak betul, “ujarnya. Lebih teruk si pelaku mungkin kaki bodek, depan ketua tunjuk baik tetapi di belakang adalah sebaliknya. Maka, ketua atau majikan hanya akan berhadapan masalah menegur kesalahan atau masalah subordinatnya jika ada isu naungan atau orang bawahan berkenaan disukai ketua atau digelar ‘blue eye’nya. Faktor libido ini mungkin berpunca tertarik atas faktor fizikal, keperibadian dan ciri ciri lain.

Orang bawahan ini seolah olah dinaungi ketuanya.

Maka dia akan sentiasa dibela, ketua tidak nampak atau buat buat tidak nampak kelemahan atau kesalahan individu berkenaan. Namun sebaliknya bagi individu yang tidak berapa disukai. Ketua atau majikan akan sentiasa skeptikal kepada orang ini.

Memang ramai watak watak sebegini dalam organisasi tetapi mereka sentiasa selamat, dianggap cemerlang kerana disukai atau dilindungi oleh majikan atau ketua. Rafizi menambah ada beberapa watak lain yang berpotensi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam organisasi iaitu yang pertama ialah Little Napoleon bermaksud pekerja di peringkat bawahan yang tidak mempunyai kuasa atau mempunyai sedikit kuasa, mendapat perlindungan daripada pegawai yang lebih tinggi. Mereka ini kata Rafizi sering menyalahgunakan hubungan baik ini untuk melaksanakan tindakan atau keputusan yang tidak sesuai dengan hierarki organisasi, menyebabkan ketidakseimbangan dan konflik di tempat kerja.

Golongan Little Napoleon ni biasanya kebal dan untouchable. Watak kedua ialah play victim iaitu pekerja yang berpura-pura, sering mengambil kesempatan dan menolak tanggungjawab dalam organisasi. Mereka cenderung mencari alasan untuk menutup kelemahan mereka dan menyalahkan pelbagai faktor lain. “Watak ketiga ialah moon-lighting iaitu – perbuatan pekerja yang menjalankan pekerjaan sampingan lain pada masa kerja mereka dalam organisasi atau di luar waktu bekerja biasa. Justeru ketua perlu bijak, jangan beremosional atau merajuk dengan tingkah laku kakitangan ini. Namun tindakan memarahi atau menegur secara terbuka atau menerusi kumpulan WhatsApp perlu dielakkan, sebaliknya panggil berhadapan bagi menjaga air muka mereka.

Tidak semua orang boleh ditegur secara berhadapan. Ini mungkin menjejaskan motivasi dan paling bahaya apabila dia kemudiannya keluar kumpulan WhatsApp kerana terasa tidak dihargai, sebelum akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada organisasi. Ini kegagalan besar ketuanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN