Sumbang mahram: Jangan sorok kerana sayang - Utusan Malaysia

Sumbang mahram: Jangan sorok kerana sayang

SEORANG lelaki yang didakwa atas pertuduhan merogol anak kandung dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban, bersama isterinya Rabu lalu . – MINGGUAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA membaca berita pasal bapa kandung atau bapa tiri merogol anak, selalu yang berlegar dalam fikiran saya – ramai lagikah budak perempuan atau gadis yang sedang hidup sengsara ketika ini kerana diperlakukan sebegitu? Mereka mungkin tidak dapat mengadu apatah lagi untuk melawan kerana keliru dan takut.

Berapa ramai lagikah bapa segala durjana ini masih bebas dan menghela nafas gembira di muka bumi ini?

Dan lebih membangkitkan rasa marah, dalam kebanyakan kes sebegini, si ibu tahu dan sedar tentang perbuatan suaminya itu tetapi membiarkannya walaupun telah diceritakan oleh anak berkali-kali.

Si ibu lebih menyayangi suami atau tidak mahu kehilangannya. Bimbang hidup jadi papa kedana, tidak dapat makan dan hidup merempat jika suami ditangkap. Maka untuk mengekalkan ‘keberadaan’ suami di rumah, anak dibiarkan menjadi mangsa. Melahirkan pula bayi untuk suaminya yang juga bapanya. Layakkah mereka ini dipanggil ibu, emak atau abah dan ayah?

Saya harap dalam kes-kes sumbang mahram sebegini, jangan dibiarkan ibu terlepas dengan hukuman dunia. Heret sama suami isteri ke penjara.

Ini yang dikatakan, seorang anak tidak boleh memilih ibu bapanya. Tetapi seorang wanita masih boleh memilih siapa suaminya dengan tidak menjadikan ‘kaki dadah’, ‘kaki pukul’, kaki judi, ‘kaki perempuan’ dan boleh juga saya tambah, ‘kaki temberang’ sebagai suaminya.

Realitinya, haruan makan anak bukan isu baru dalam masyarakat kita. Kalau mahu kaitkan dengan mudahnya menonton video lucah di telefon pintar sebagai penyebab, sebelum ada internet dan media sosial lagi sudah berlaku jenayah ini.

Saya masih ingat lagi semasa bertugas sebagai wartawan di Johor, hujung tahun 90-an, seorang remaja perempuan menjadi mangsa rogol bukan saja dilakukan oleh bapanya tetapi abang kandungnya juga. Ia berlaku di sebuah kampung yang terperosok jauh di Kota Tinggi.

Yang ada pun, kalau hendak dikaitkan dengan pengaruh pornografi, mungkin menonton video di televisyen.

Ramai juga yang berkata, hukuman rogol di negara ini tidak berat sebab itu jenayah rogol terus berleluasa.

Sebenarnya, sudah ramai bapa kandung atau bapa tiri yang telah menerima hukuman berpuluh-puluh tahun penjara dan sebatan sebelum ini, tetapi itu tidak mendatangkan kegerunan kepada lelaki yang tidak dapat mengawal nafsunya untuk melakukan jenayah ini. Mungkin hukuman mati saja boleh menakutkan!

Khamis lalu, seorang lelaki berusia 44 tahun dihukum penjara 20 tahun dan lima sebatan oleh kerana merogol anak kandungnya hingga melahirkan dua orang anak di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Perbuatan tersebut hanya dapat diadukan oleh mangsa kepada pihak berkuasa setelah pelaku dan ibunya ditahan polis atas kes dadah.

Pada Jun tahun lalu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dengan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, Kelantan, atas tujuh kesalahan jenayah seksual, termasuk sumbang mahram terhadap anak kandungnya.

Tertuduh turut mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, melakukan kelucahan melampau, miliki pornografi kanak-kanak dan video lucah.

Pada Januari lalu pula, Mahka­mah Sesyen di Muar, Johor menjatuhi hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang suri rumah kerana bersubahat dengan suaminya merogol dan meliwat anak kandung, kononnya mahu membuang santau.

Hakim menjatuhkan hukuman itu selepas wanita berusia 41 tahun itu mengaku bersalah bersubahat dengan suaminya yang juga bapa tiri mangsa berusia 43 tahun.

Terlalu banyak sebenarnya, kes haruan makan anak di negara ini yang membuatkan kita terfikir apa lagi bentuk kesedaran yang boleh dilakukan untuk membendungnya?

Mengulas isu terbaharu kes sumbang mahram di Port Dickson itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha berterusan perlu dijalan­kan untuk mengelakkan berlakunya lagi jenayah itu. Semua kementerian berkaitan perlu memperkasakan pendidikan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu sumbang mahram.

Pada masa sama, katanya, mana-mana individu yang menjadi mangsa diminta agar memanfaatkan talian kasih 15999 untuk melaporkan kejadian dengan segera jika ibu atau ahli keluarga terdekat mereka tidak mempercayai apa yang berlaku terhadap mereka.

Pada saya, selain memberatkan agama dan kemanusiaan, memilih pasangan untuk dijadikan imam dan pelindung dalam keluarga amat penting. Kalau sudah tahu lelaki itu ‘tahi dadah’, kaki pukul, panas baran contohnya, kenapa ambil risiko mengahwininya? Pilihan masih ada ketika itu.

Memang hidup ini mana boleh lari daripada ujian dan dugaan Tuhan. Tetapi selalunya tanda-tanda ‘tak boleh diharap’ itu sudah diberikan awal, tetapi itulah, leka kerana sayang.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN