Reformasi dan penjenamaan semula Jabatan Penjara

Reformasi dan penjenamaan semula Jabatan Penjara

LEBIH 1,000 orang banduan dibebaskan sementara menerusi program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) sempena Aidil tri dan diberikan sekurang-kurangnya tujuh hari untuk bersama keluarga. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYAKSIKAN sendiri wajah-wajah penghuni yang berbakat besar dan penuh berseni ketika menjayakan program Apresiasi Puisi “Gema Tirai Besi’ pada 2019, secara sedar, boleh difahami, bahawa siapa pun kita, mendepani cabaran masa depan untuk peluang yang lebih cemerlang adalah hak setiap manusia yang hidup di muka bumi ini, walaupun jejak-jejak yang telah ditinggalkan oleh para penghuni telah membekas pelbagai tanggapan oleh masyarakat. Realitinya, mereka tetap perlu berdepan dengan dunia baharu yang belum jelas terang jalannya ataupun sebaliknya.

Demikianlah realiti kehidupan kita hari ini, usah sesekali kita melupakan, ada insan di sebalik tirai besi yang hakikatnya mereka adalah warganegara Malaysia, seperti kita. Mereka tetap memiliki peluang menjalani kehidupan normal apabila tiba saatnya nanti. Setiap manusia memiliki hak yang dapat mengangkat darjat dan nilai kemanusiaan selaras dengan fitrah asal mereka.

Istilah ‘hak’ merujuk kepada hak individu. Walau bagaimanapun, hak dan kebebasan ini memiliki had menerusi peruntukan undang-undang seperti hukuman atau penahanan. Reformasi koreksional bermaksud usaha-usaha pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem penjara dan pemulihan banduan. Ini termasuk perubahan dalam cara pengurusan penjara, pendekatan terhadap pemulihan banduan dan pembangunan kompetensi pegawai penjara.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan keberkesanan sistem koreksional dalam memulihkan banduan, mengurangkan kadar jenayah berulang, dan mempromosikan keadilan yang lebih berperikemanusiaan dan inklusif. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Jabatan Penjara akan melaksanakan pelepasan OBB di bawah Program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Aidilfitri yang lalu.

Ikhtiar tersebut memberikan peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga mereka. Lebih 1,000 orang banduan yang dibebaskan sementara menerusi program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) sempena Aidilfitri tersebut dan diberikan sekurang-kurangnya tujuh hari untuk bersama keluarga masing-masing.

Mungkin ramai di luar sana yang tidak mengetahui tentang perkembangan terbaharu perkembangan terkini banduan OBB ini. Menurut sumber Jabatan Penjara, tempoh masa bebas dinikmati banduan berstatus Orang Bebas Berlesen (OBB) melalui program PBSL adalah berbeza dan ia bergantung kepada baki tempoh hukuman. Daripada sumber ini turut menjelaskan bahawa OBB yang telah dibebaskan selepas tujuh hari, perlu masuk semula ke penjara untuk menjalani baki hukuman, tetapi ada yang boleh berada di luar terus hingga tamat tempoh hukuman.

Jabatan Penjara sedang giat melaksanakan agenda reformasi penjara dengan menjenamakan semula jabatan ini sebagai Pusat Pembinaan Peradaban Kemanusiaan atau Civilized Humane Culture Development Centre (CHCDC). Pelaksanaan agenda ini memberi fokus kepada pembangunan kompetensi staf, mengubah pegawai penjara menjadi pegawai korektif dan memajukan banduan dari tidak bertamadun kepada lebih bertamadun. Selain itu, ia bertujuan untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan sepunya, menggantikan sifat berkelompok (SILO) sebelum ini. Inisiatif ini juga selaras dengan pembangunan sistem baharu yang dikenali sebagai keadilan restoratif.

Keadilan restoratif adalah konsep baharu yang mula berkembang di peringkat dunia pada awal 1970-an, menggantikan konsep keadilan punitif yang dilihat gagal mengatasi masalah jenayah yang melibatkan pelbagai pihak seperti penguatkuasaan, pendakwaan, pengadilan dan pelaksanaan hukuman.

Untuk memastikan konsep keadilan restoratif ini dilaksanakan, perkara utama dalam mempersiapkan pesalah untuk kembali ke masyarakat adalah menempatkan mereka dalam pekerjaan dalam masyarakat dengan menyediakan tiga perkara utama iaitu, penempatan, pekerjaan, dan upah yang setimpal bagi mengekalkan pemulihan mereka.

Ini terbukti apabila kadar residivis atau pengulangan jenayah hanya 0.24 peratus berbanding dengan residivis banduan bebas biasa yang mencapai 17.4 peratus. Sehingga kini, ramai pesalah ditempatkan di sektor perkilangan khususnya industri, mendapat gaji minimum dan setelah selesai hukuman, kebanyakan mereka diserap masuk untuk bekerja secara tetap. Ini bermakna jaringan kolaborasi antara pihak berkuasa menguruskan penghuni dan pihak syarikat perlu wujud, dan kolaborasi ini hanya dapat berlaku dengan penglibatan yang berterusan.

Jabatan Penjara juga berhasrat mewujudkan community inclusion dalam menangani isu dan masalah kepenjaraan. Antaranya dengan memperkenalkan program community correction yang bermatlamat untuk membantu proses reintegrasi (pengukuhan kembali) dengan lebih efektif serta memberi peluang untuk prospek diterima semula ke dalam masyarakat.

Antara program ini adalah Parol, Pembebasan Berlesen, Pusat Rehabilitasi Penghuni. Namun masih wujud suara-suara negatif dari pihak tidak bertanggungjawab seolah-olah Jabatan Penjara ingin mengosongkan pusat-pusat tahanan ini dan menyerahkan tugas kepada orang lain community inclusion yang dicadangkan penting untuk membantu banduan, contohnya pesalah wanita pada mulanya mungkin tidak mengetahui kaedah terperinci mengenai sesuatu modus operandi yang dilakukan bagi membuat sesuatu jenayah lalu diajak untuk menyertai kegiatan tersebut bagi mendapatkan kepercayaan rakan sekelilingnya (Ibrahim dan Abdul Rahman, 2021).

Sebagai bekas penghuni, mereka dilihat lebih cerdas berdepan dengan cabaran berisiko tinggi dan ini menyebabkan penghuni yang sepatutnya diberikan peluang menjalani kehidupan yang lebih baik kembali kepada jejak-jejak hitam lampau.

Hasil pengaruh rakan sekeliling, lama-kelamaan sudah tentu bekas banduan wanita ini mampu bergerak bebas secara bersendirian sewaktu melakukan jenayah tanpa bantuan sesiapa. Kebanyakan kumpulan seperti ini sanggup membuat pelbagai perkara untuk menarik minat rakannya agar sentiasa bersama dalam semua situasi tanpa mempedulikan pandangan sinis masyarakat sekeliling. Apa yang diharapkan, masyarakat Madani hari ini akan berupaya mencorakkan konsep ihsan (care and compassion) dengan lebih berkesan bagi mewujudkan masyarakat sejahtera yang menyeluruh. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA). Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN