SELEPAS Program Madani Rakyat (PMR) Zon Tengah, yang mempamerkan 34 reruai kementerian dan agensi serta 163 perkhidmatan touchpoint rakyat, berlangsung dengan jayanya di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 hingga 25 Februari lalu sementara pada 3 hingga 5 Mei berlangsung pula PMR Zon Utara.
Untuk PMR Zon Utara, selain Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku pelaksana utamanya, Kementerian Pengangkutan menjadi penganjur dan Kerajaan Pulau Pinang menjadi tuan rumah manakala penutupannya disempurnakan oleh Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 5 Mei.
Seperti program sebelumnya, melalui PMR Zon Utara ini, bukan sahaja dasar dan inisiatif baharu kerajaan berjaya dipromosikan dengan berkesan melalui pameran pencapaian semua kementerian dan agensi malah perkhidmatan secara langsung kepada rakyat juga disediakan.
Lebih menarik ialah bila sehingga pukul 4 petang pada hari terakhirnya, jumlah kehadiran pengunjung ke PMR Zon Utara telah mengatasi jumlah kehadiran pengunjung ke Program Setahun Bersama Kerajaan Madani (PSBKM) di Kuala Lumpur pada 8 hingga 10 Disember 2023.
Sementara PSBKM menerima lebih 230,000 pengunjung, PMR Zon Utara pula menerima hampir 290,000 pengunjung membabitkan 77,346 pada Hari Pertama, 91,004 pada Hari Kedua dan 107,146 pada Hari Ketiga di Tapak Pesta serta 13,732 di program di luar Tapak Pesta.
Kelebihan PMR Zon Utara ini ialah penutupannya dibuat bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri bagi peringkat Pulau Pinang yang menyusuli majlis sama di Sabah (20 April), Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei) dan Kedah (4 Mei).
Tidak hairanlah dalam ucapan perasmian penutup PMR Zon Utara ini, Anwar banyak memperkatakan mengenai kelegaan beliau kerana perundingan di semua negeri sekarang, termasuk di Kelantan dan Kedah, nampak ada kematangan dalam suasana politik.
Perdana Menteri menyebut: “Saya fikir dalam hubungan kita patut begitu, tapi kalau kita terus pakai hukum dan cerca, susahlah kita nak runding, saya tak nak runding, biar dia reda dulu baru kita runding, tengah dia panas jangan lagi, saya ingat itu cara Islam pun begitu juga.”
Bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 ialah Taklimat Khas Pembangunan Negeri yang disertai oleh wakil Kerajaan Pusat serta wakil kerajaan negeri dalam mana Menteri Besar membentangkan laporan berkaitan pembangunan negeri serta menyerahkan ‘wishlist’.
SELESAI ISU AIR DI KELANTAN
Di Kelantan, antara permasalahan yang ditimbulkan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, ialah masalah bekalan air, khususnya berpunca daripada kegagalan paip air menyedut air di dari Sungai Kelantan kerana penurunan paras air akibat kemarau yang berpanjangan.
Mohd. Nassuruddin mencadangkan supaya Kerajaan Pusat membeli paip-paip baru segera bagi membolehkan air disedut untuk kegunaan rakyat dan pertanian dan Perdana Menteri telah memberi arahan supaya paip yang sekitar RM20 juta itu segera disediakan untuk Kelantan.
Mohd. Nassuruddin juga meminta supaya Kerajaan Pusat memberikan perhatian ke atas projek-projek pembangunan lain dan Perdana Menteri telah berjanji akan memberikan perhatian ke atasnya supaya Kelantan dapat membangun selaras dengan negeri-negeri maju yang lainnya.
Termasuk di dalamnya ialah permintaan supaya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dipanjangkan lagi sejauh 400 meter landasannya bagi menjadikannya sebagai lapangan terbang antarabangsa yang segera Perdana Menteri setujui untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Keikhlasan Perdana Menteri ini nyata menambat hati Mohd. Nassuruddin. Beliau berkata, “Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan maklum balas positif terhadap semua yang dibincangkan dan melayan Kelantan sepertimana negeri-negeri lain.”
MUHAMMAD SANUSI MINTA MAAF
Di Kedah pula, antara permintaan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, ialah supaya Kerajaan Pusat memberikan kelulusan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi menukar status kawasan sawah bagi kegunaan komersial.
Permintaan bertujuan meningkatkan pendapatan Kerajaan Kedah ini dipersetujui oleh Perdana Menteri yang turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan permintaan agar peruntukan menaik taraf prasarana pertanian di bawah MADA ditambah dari RM3 bilion ke RM5 bilion.
Ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Kedah di Darulaman Park Jitra, Perdana Menteri berkata, “Saya minta cadangan Kerajaan Negeri Kedah mengenai kampung tersusun bagi orang miskin diselaraskan dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kalau perlu tambahan RM30 hingga RM40 juta saya boleh luluskan segera untuk kepentingan rakyat miskin, sebab itu saya kata, Sanusi, saya mudah, cakap elok-elok selesai semua,” tambah Perdana Menteri yang turut bercakap mengenai kepentingan menguruskan secara beradab dan berhemah perbezaan pandangan dalam soal tafsiran, pendekatan, strategi dan keutamaan.
Di pihak Muhammad Sanusi pula, keikhlasan Perdana Menteri ini dilihat memberi kesan kepada beliau yang secara terbuka meminta maaf kepada Perdana Menteri bagi pihak dirinya dan kerajaan negeri selama berkhidmat sebagai Menteri Besar dan atas kapasiti politik sekiranya ada memberi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks hubungan sesama manusia (hablumminannas).
Masa sama, Sanusi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun ke Kedah sekali gus membolehkan beliau terus menyampaikan hasrat Kerajaan Kedah. “Respons yang baik daripada Perdana Menteri, mana yang boleh lulus beliau terus lulus, mana yang perlu kepada perincian beliau tanya terus kepada Ketua Setiausaha kementerian terbabit,” katanya.
Perkara inilah yang menggembirakan Perdana Menteri kerana kerjasama lebih kukuh daripada semua Kerajaan Negeri adalah selari dengan objektif utama PMR untuk melonjakkan prestasi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sekali gus merancakkan lagi pembangunan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah ialah Pegawai Tadbir di Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).










