MCA bukan ‘pak turut’, apa lagi ‘pak angguk’

MCA bukan ‘pak turut’, apa lagi ‘pak angguk’

NEOW CHOO SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TIBA-TIBA panas pula isu ketidaksefahaman antara MCA dan DAP, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu bermula. Ia bermula selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam video siar, Keluar Sekejap yang menyifatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sebagai ‘parti tauke’ iaitu hanya untuk orang kaya dan berkedudukan selain beberapa kenyataan bersifat sentimen politik.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, NEOW CHOO SEONG mengakui MCA amat kecewa dan terasa hati dengan kenyataan itu memandangkan mereka sepatutnya bermuafakat dalam mencipta negara dan rakyat yang harmoni di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

Ikuti luahan rasa Choo Seong dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, kelmarin. Beliau turut menyentuh tentang perjuangan MCA yang tidak akan sesekali menjadi ‘pak turut’ demi survival politik.

ISU TERCETUS SEMASA HAMPIR PRK

MCA sudah bagi pendirian untuk tidak terlibat dalam PRK ini. Normallah kalau ada maklum balas, respon terhadap pendirian ini.

Untuk isu ini, kena tanya balik Anthony. Beliau yang memberi kenyataan dalam empat minggu lalu di podcast Keluar Sekejap. Kenyataannya menyebabkan pimpinan parti dan akar umbi kecewa. Saya sendiri kecewa, tiada angin, tiada ribut secara tiba-tiba ada kenyataan sebegini sedangkan kita semua (MCA dan DAP) di bawah Kerajaan Perpaduaan. Sepatutnya kita hormati setiap ideologi parti politik lain. Dan dalam konteks politik, kita lihat ke arah yang lebih besar iaitu kepentingan rakyat dan negara.

Perlu faham kenyataan itu datang dari pemimpin nombor satu dalam parti, jawatan Setiausaha Agung ibarat presiden.

Setiap orang ada perasaan. Jadi tidak salah untuk Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong untuk meluahkan rasa kecewanya. Ka Siong sebagai presiden mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankkan parti.

Apa yang nak saya tekankan, tak boleh biarkan berlaku berpanjangan. Benda ini dah berlaku lama, kalau sebelum ni Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) dengan kenyataan “‘Lebih baik MCA keluar BN”. Kenapa pula mereka suruh keluar sedangkan ini hal keluarga BN. Tak habis-habis main sentimen provokasi apabila setiap kali Ka Siong atau ahli MCA lain memberi cadangan atau pandangan.

DAP ini boleh disifatkan sombong dan angkuh. Kalau mereka nak bercakap tentang kerjasama, bagaimana nak bekerjasama jika tidak boleh terima pandangan.

Umum sedia maklum setiap kali timbul isu dalam Parlimen apabila Ka Siong mengeluarkan atau membangkitkan isu seperti telur, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), e-invois dan sebagainya, beliau akan dianggap pengkhianat, pembangkang dan cuba nak sabotaj Kerajaan Perpaduan. Setiap kali itu juga ada suara bercakap “Kamu ini baik join PN (Perikatan Nasional)”

Ini adalah provokasi, pemikiran kebudak-budakkan, tidak matang dan tidak demokratik. Sebagai ahli Parlimen tak kisahlah berapa bilangan kerusi you ada tetapi setiap ahli Parlimen ada tanggungjawab untuk bangkitkan isu. Mana boleh ahli Parlimen lain menindakkan suara Ka Siong yang mewakili suara dan hak rakyat.

FAHAM DEMOKRATIK

MCA dan DAP adalah seteru sejak sebelum ini lagi. Kita kena faham proses demokrasi setiap parti. Setiap parti ada perjuangan dan ideologi masing-masing. Jadi, tidak boleh menafikan hak siapa-siapa.

Kita tidak pernah nafikan hak DAP walaupun satu ketika dulu hanya ada satu atau dua kerusi sehingga menjadi dominan sejak 2018.

Kita berjuang, kita tetap bawa perjuangan dan ideologi kita sendiri. Kenapa parti lain nak sibuk pasal perjuangan dan peranan kita? Kita tak pernah kacau mereka dan tak pernah dengar pemimpin kita menindakkan hak demokratik parti lain.
Perlu faham isu sentimen yang dimainkan DAP sejak dulu dan ia masih berterusan apabila Anthony secara terbuka mengatakan MCA ‘parti tauke’.

MCA hanya bersuara baik dalam Parlimen atau melalui apa-apa kenyataan dengan membawa suara rakyat berdasarkan fakta, bukan sentimen. Kita tidak bermain dengan sentimen. Tunjukkan saya jika ada kenyataan presiden atau pimpinan tertinggi MCA bersifat sentimen atau peribadi.

DAP sentiasa bermain dengan sentimen sehingga di saman fitnah, MCA pernah ke (saman fitnah) dapat daripada DAP?

MCA masih berpegang tatakelola, hormat DAP walaupun berbeza pandangan. Kami tidak pernah keluarkan kenyataan yang mencabar kewujudan DAP.

Dia nak fight Malaysian Malaysia, fightlah. Kalau rakyat terima, maka terimalah tapi jangan masuk campur perjuangan MCA yang mahukan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

DAP sekarang ada kuasa di tangan, terpulanglah. Tapi bagi saya, lebih baik mereka fokus pada janji-janji yang ditaburkan selama ini yang belum terlaksana.

RESPON AHMAD ZAHID
Semasa rumah terbuka Santunan Kasih Syawal di Sri Satria bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kita nampak beliau menyambut Ka Siong dengan baik dan mesra. Terima kasih kerana memahami perasaan dan menghormati keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam PRK ini. Beliau selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN faham apa yang berlaku sukar diterima oleh ahli MCA, lebih-lebih lagi selepas kenyataan Anthony dan pelbagai perkara lain yang berlaku, beliau tidak memaksa.

Beliau menunjukkan sifat kepimpinan dan keprihatinan untuk menjaga perpaduan dan kemufakatan dalam BN. Itulah asas penubuhan dan perjuangan di bawah BN.

Sejak 1955 MCA sudah bersama BN. Hubungan ini sudah lama, sejak sebelum merdeka. Jadi, jangan kerana perkara kecil, benda-benda sementara, kita nak berpecah belah, tidak berbaloi rasanya.

Terima kasih kerana sentiasa menekankan kerjasama. Inilah semangat setia kawan. Kita dah lalui zaman gemilang, naik turun, jatuh bangun bersama demi negara dan rakyat.

Kami fokuskan untuk perkukuhkan perpaduan iaitu mengutamakan perpaduan dengan BN dulu, kemudian baru ada kekuatan untuk hadapi cabaran politik di masa depan. Buat apa berpecah, ia hanya akan menguntungkan pihak lawan.

TERUS BERJUANG
Sebagaimana ditekan presiden, MCA akan terus dengan perjuangan ini sama ada you lihat dalam PRK atau tidak. Ia tidak mengganggu gugat politik kami.

Kami akan terus menjadi semak dan imbang dalam Kerajaan Perpaduan kerana perjuangan kami berprinsip demokrasi.

MCA dalam Kerajaan Perpaduan di bawah konteks BN akan memberi pandangan, nasihat mahupun kritikan yang membina kepada kerajaan. Jika ada ahli Parlimen kami bersuara lantang di dalam Parlimen, ia berdasarkan fakta, itu menandakan keadaan yang sihat.

SOKONGAN
MCA perlukan sokongan, asalkan apa yang dibawa memberi manfaat kepada rakyat. Tidak timbul isu BN keluar Kerajaan Perpaduan, tinggal BN. Itu semua tidak matang.

Akar umbi parti bersetuju kami bersuara demi mempertahankan maruah dan pendirian.

Bahkan rakyat juga setuju dan kami menerima respon positif dari rakyat tentang perubahan yang dilakukan selagi berpegang pada prinsip. Rakyat mula melihat pendirian teguh dan prinsip perjuangan kami.

Kita memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan demi kepentingan negara, tetapi ini tidak bermakna menjadi ‘pak turut’. Kita mempunyai peranan dan niat yang baik. Tak mahulah jadi macam menang 40 kerusi tetapi jadi ‘pak angguk’ demi kuasa dan jawatan.

MCA pula tidak minta atau pegang apa-apa jawatan dalam kerajaan. Kami ini nothing to lose.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×