Lindungi hak agama, perkuatkan sokongan wanita bekerja

Lindungi hak agama, perkuatkan sokongan wanita bekerja

WANITA bekerja memerlukan sokongan penuh bagi meningkatkan kualiti hidupnya dan keluarga, seterusnya memperkuat ekonomi dan kestabilan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERIKATAN Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) sebagai sebuah pertubuhan masyarakat madani mengambil langkah penting dalam memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia dengan menyampaikan laporan pihak berkepentingan di sesi dialog ke-88 Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW).

Fokus utama laporan WAFIQ ini termasuk hak-hak individu lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) memperoleh bantuan agama, diskriminasi wanita di tempat kerja, eksploitasi wanita dalam media dan hiburan, keganasan rumah tangga serta sokongan sosial kepada ibu bekerja.

Saya ingin mengulas lanjut berkaitan diskriminasi dan kekurangan sokongan sosial ke atas wanita bekerja. Mengikut Statistik Pekerjaan dan Perburuhan, Malaysia menyaksikan peningkatan dalam penglibatan wanita bekerja daripada 54.7 peratus pada 2017 kepada 56.3 peratus pada 2023.

Walaupun lebih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand, peratusan ini semakin menghampiri sasaran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), iaitu sebanyak 59 hingga 60 peratus.

Peningkatan ini mencerminkan wujud keperluan untuk wanita bekerja menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan mereka. Bagi kebanyakan wanita, bekerja bukan lagi pilihan tetapi keharusan bagi menjamin kestabilan kewangan rumah tangga dan diri mereka. Wanita menjadi antara aset terpenting dalam pembinaan generasi akan datang serta dalam pembangunan ekonomi dan negara.

Namun, wanita bekerja menghadapi pelbagai cabaran yang menghalang mereka berkembang dalam kerjaya. Cabaran ini termasuklah diskriminasi terhadap wanita bekerja atas dasar agama. Terdapat golongan wanita yang dihalang menjalankan ibadah solat ketika bekerja. Jika mereka terus menjalankan solat, mereka boleh mendapat ‘denda’ dalam bentuk potongan gaji atau diugut untuk dibuang kerja.

Diskriminasi atas dasar agama juga boleh terjelma dalam bentuk lain termasuklah tidak diambil untuk bekerja, tidak dinaikkan pangkat atau tidak diberi faedah bekerja hanya kerana agama pekerja tersebut.

WAFIQ juga menerima aduan daripada pekerja hotel wanita yang dilarang memakai tudung ketika bekerja atau hanya akan diambil sebagai pekerja jika mereka membuka aurat.

Pada 2018, sebanyak 13 hotel di Malaysia didapati melarang wanita Islam yang bekerja dalam sektor perhotelan atas dasar ‘anti-hijab’ yang diguna pakai oleh rangkaian hotel antarabangsa.

Mereka yang dilarang bertudung di tempat kerja juga diancam oleh majikan jika menyuarakan ketidakpuasan dan membuat aduan.

Diskriminasi yang masih berlaku kepada wanita bekerja atas dasar agama, terutamanya ke atas yang beragama Islam, adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini, yang mana 57.9 peratus daripada populasinya adalah orang Islam.

SEMAK AKTA
Oleh itu, WAFIQ menggesa kerajaan untuk menyemak semula dan meminda akta-akta yang terlibat dengan pekerja dan perusahaan, termasuklah Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan dan Perusahaan 1967 serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pindaan akta-akta ini adalah untuk memberi peruntukan yang membolehkan syarikat swasta dihukum jika mereka menghalang pekerja mereka daripada melaksanakan tuntutan agama ketika bekerja.

Antara cabaran lain wanita bekerja yang saya ingin ketengahkan adalah cabaran wanita sebagai ibu yang bekerja, terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil. Menurut kajian daripada Nasruddin Yunos dan Johari Talib (2009), 70 peratus daripada wanita bekerja adalah dalam kalangan ibu yang bekerja sepenuh masa dan mempunyai anak berumur di bawah 12 tahun.

Mengikut Jabatan Statistik Malaysia pula, lingkungan umur wanita bekerja yang tertinggi adalah di antara 25 hingga 34 tahun, dengan kebarangkalian besar mereka mempunyai anak kecil atau mereka mampu melahirkan anak.

Antara cabaran ibu bekerja adalah memastikan anak mereka ditempatkan di pusat penjagaan yang selamat dan berkualiti. Menurut Statistik Kanak-Kanak 2020, hanya terdapat sekitar 4,903 pusat jagaan anak yang berdaftar di seluruh negara pada 2019.

Bilangan ini tidak cukup untuk menampung keperluan semua ibu yang bekerja sehingga ada yang terpaksa menghantar anak mereka ke pusat jagaan yang tidak berdaftar. Hal ini berisiko dari segi keselamatan anak-anak yang ditinggalkan dan kualiti asuhan yang mereka terima.
Bagi ibu yang mempunyai anak yang kurang upaya, penjagaan anak bertambah rumit dan mungkin menjadi satu penghalang bagi ibu tersebut untuk bekerja apatah lagi secara sepenuh masa.

Memandang kepada besarnya peranan ibu bekerja serta cabaran mereka, WAFIQ mencadangkan beberapa inisiatif berbentuk sokongan sosial yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan. Antaranya adalah memandatkan masa bekerja anjal bagi ibu bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta, dengan mempunyai kebolehan bekerja dari rumah pada hari dan waktu tertentu atau mengikut keperluan ibu tersebut.

Masa bekerja anjal ini amat membantu ibu yang baharu melahirkan anak yang memerlukan lebih masa bersama bayi selepas tempoh cuti bersalin.

Selain itu, kerajaan perlu menggesa majikan di sektor kerajaan dan swasta untuk menyediakan pusat jagaan anak di tempat kerja. Kemudahan ini membantu mengurangkan beban ibu bekerja dalam mengurus penjagaan anak bagi membolehkan mereka bekerja dengan lebih produktif. Sokongan seperti ini akan memelihara emosi, kesihatan mental dan fizikal ibu yang bekerja, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.

Perlindungan hak wanita bekerja memerlukan komitmen daripada semua lapisan masyarakat, sama ada kerajaan, pihak swasta dan masyarakat, demi memastikan golongan wanita di Malaysia dapat berkembang dalam segala aspek kehidupan, termasuklah kerjaya dan rumah tangga.

Sokongan penuh kita kepada wanita bekerja akan meningkatkan kualiti hidup wanita dan keluarga, seterusnya memperkuat ekonomi dan kestabilan negara.-UTUSAN

DR. Nur Hazlin Hazrin Chong ialah pensyarah di universiti awam dan merupakan Naib Presiden I Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN