Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati, masyarakat Orang Asli yang berada di bawah kategori miskin adalah 37.2 peratus pada 2022 berbanding 33.6 peratus pada 2019.
Daripada jumlah tersebut, masyarakat Orang Asli yang berada dalam kategori miskin tegar sebanyak 2.6 peratus pada 2022 berbanding 2019 iaitu sebanyak 5.2 peratus.
Mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan Orang Asli adalah antara keutamaan kerajaan dan ini boleh dilihat melalui kejayaan di Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Tapah, Perak yang didiami oleh 261 orang penduduk.
Antara daya tarikan utama kampung ini ialah Taman Eko Rimba yang memiliki keindahan alam semula jadi termasuk air terjun, kawasan perkelahan serta jungle trekking dan hiking.
Projek ini bermula daripada perbincangan antara saya pada akhir tahun 2020 dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi mencari kaedah terbaik untuk membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Hasil daripada perbincangan tersebut, tumpuan diberi kepada pemulihan infrastruktur pelancongan yang sedia ada dan membina beberapa kemudahan yang baharu.
Ia melibatkan kerja-kerja untuk memperbaiki serta menaik taraf infrastruktur sedia ada dan pembinaan kemudahan asas yang baharu di Taman Eko Rimba dengan peruntukan berjumlah RM2.7 juta.
Peruntukan sebanyak RM2 juta telah diluluskan melalui Unit Perancang Ekonomi (kini Kementerian Ekonomi) untuk tempoh dua tahun manakala kira-kira RM700,000 disalurkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perhutanan, Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri.
Antara projek-projek yang telah dilaksanakan melalui peruntukan ini ialah menaik taraf laluan pejalan kaki, membaik pulih beberapa jambatan, gazebo, tandas dan aliran sungai, membina platform untuk tapak perkhemahan, menurap semula tempat letak kereta, membina tube camp tambahan dan pembangunan Sengoi Hik Discovery Centre.
Pihak NCIA juga melatih penduduk Lata Kinjang dalam bidang pengurusan fasiliti dan aset, malim gunung, kemahiran komunikasi, spa dan urutan serta pengendalian makanan dan menubuhkan sebuah koperasi bagi menguruskan Taman Eko Rimba.
Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) ditubuhkan pada Julai 2021 dan sekarang mempunyai 71 orang ahli. Kini, koperasi sudah mula mengambil alih pengurusan Taman Eko Rimba ini daripada NCIA, JAKOA dan Jabatan Perhutanan.
Yang membanggakan, koperasi itu kini diuruskan oleh sekumpulan anak-anak jati Orang Asli yang terdiri daripada golongan profesional diketuai oleh Akmal Ila, seorang penjawat awam sebagai pengerusi koperasi dan Dr. Sakinah Jam, anak jati KOA Lata Kinjang yang berkelulusan Doktor Falsafah Kewangan Islam daripada Universiti Glasgow selaku pengurus koperasi tersebut.
Koperasi ini turut dibantu oleh Rani Ulin yang juga seorang penjawat awam serta Batin yang dilantik oleh JAKOA untuk menyelaraskan aktiviti dan memelihara keamanan di kampung tersebut. Sumber utama pendapatan KOALKB adalah yuran masuk, bayaran tempat letak kereta, sewa tube camp serta tapak perkhemahan.
Semenjak pembukaannya pada Julai 2022, purata pengunjung ke Taman Eko Rimba kira-kira 8,000 orang sebulan dengan pendapatan sebanyak kira-kira RM80,000 sebulan manakala perbelanjaan pula berjumlah kira-kira RM70,000 sebulan. Sejak Julai 2022 sehingga April 2024, taman ini dikunjungi hampir 190,000 orang termasuk 3,700 orang pelancong asing.
Perbelanjaan RM2.7 juta untuk menambahbaik infrastruktur latihan serta bimbingan oleh NCIA dan JAKOA telah memberi impak yang besar kepada kedudukan sosioekonomi masyarakat Orang Asli Lata Kinjang.
Pada masa ini, sebanyak 27 orang sedang bekerja dengan koperasi dengan pendapatan melebihi gaji minimum serta caruman kepada KWSP dan PERKESO. Sebelum penubuhan koperasi, pendapatan mereka cuma kira-kira RM800 sebulan.
KOALKB diuruskan dengan baik oleh masyarakat Orang Asli sendiri, dengan bimbingan dan nasihat daripada NCIA, JAKOA dan Suruhanjaya Koperasi. Yang membanggakan, ia mencatat keuntungan pada setiap bulan sejak ditubuhkan.
Dalam tempoh yang singkat, koperasi itu juga telah berjaya membuat simpanan tetap dalam bank dan menyediakan tabung kecemasan serta membayar dividen kepada ahli. Jelas sekali pelaburan kerajaan telah mendatangkan pulangan yang baik kepada masyarakat Orang Asli dan harus terus mendapat sokongan kerajaan. Penyelenggaraan aset dan fasiliti serta tahap kebersihan yang baik merupakan antara daya tarikan kepada kawasan perkelahan dan riadah ini.
Yang menjadi cabaran pada masa ini adalah untuk memastikan pencapaian semenjak Julai 2022 bukan setakat dipertahankan tetapi dimantapkan lagi.
Langkah-langkah berterusan perlu diambil bagi memelihara kebersihan dan kelestarian kawasan ini kerana taman ini penuh sesak dengan pengunjung pada hari minggu dan hari-hari kelepasan am. Kemudahan sedia ada tidak mampu lagi untuk menampung keperluan pengunjung.
Pengurusan sisa perlu dikendalikan dengan lebih baik untuk menjamin kebersihan dan kelestarian taman ini. Ada beberapa kemudahan asas tambahan yang boleh menyumbang kepada prestasi taman ini.
Contohnya, pengambilan tanah bersebelahan untuk menyediakan tempat letak kenderaan yang lebih banyak, penambahbaikan tandas dan pembinaan dewan serbaguna untuk membolehkan seminar dan program-program latihan diadakan. Premis-premis baharu juga perlu dibina untuk menyediakan ruang dan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat.
Kawasan ini akan lebih berdaya maju jika akses khusus ke Lebuhraya Utara Selatan dapat diwujudkan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia. Model pembangunan yang holistik di Lata Kinjang serta bimbingan NCIA dan JAKOA telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan.
Ia juga telah meningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli serta berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 27 orang daripada senarai miskin tegar.
Diharapkan model ini dapat dikembang luaskan ke kawasan lain bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli. Namun kejayaannya memerlukan iltizam dan tekad serta kerjasama erat daripada semua pihak. – UTUSAN
DATUK Seri Mustapa Mohamed ialah Felo Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu, Universiti Sunway.










