Ikan jerung diburu SPRM

Ikan jerung diburu SPRM

DUA mantan perdana menteri, seorang timbalan perdana menteri, menteri persekutuan, beberapa menteri besar dan ketua menteri telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga didakwa di mahkamah. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH dituduh hanya menangkap ikan-ikan kecil, kini SPRM menerima pujian kerana menangkap ikan-ikan besar, malah ikan paling besar.

Dua mantan Perdana Menteri, seorang Timbalan Perdana Menteri, menteri persekutuan, beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri telah disiasat, oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga didakwa di mahkamah.

Semasa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor telah menerima rasuah antara 1975 dan 1977. Beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun. Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara selama tiga tahun, Yang di-Pertuan Agong berkenan memberi pengampunan. Ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri.

Semasa pergolakan politik di Sabah pada Januari 1994, Joseph Pairin Kitingan, bekas Ketua Menteri Sabah ditahan dan didapati bersalah menyalahgunakan jawatannya memberikan kontrak secara rasuah. Beliau didenda RM1,800 tetapi
tidak perlu melepaskan jawatan sebagai ketua menteri kerana mengikut Perkara 17 (1e) Perlembagaan Negeri
Sabah dan Perkara 48 (e) Perlembagaan Persekutuan, hanya boleh hilang kelayakan seseorang daripada memegang
jawatan awam sekiranya didenda lebih daripada RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Dr. Mohamad Khir Toyo kerana menggunakan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor untuk membeli dua bidang tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan hanya membayar RM3.5 juta di bawah harga pasaran.

Beliau disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada 2011 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tetapi diberi parol selepas menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula didakwa pada 30 Jun 2016 mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung urus niaga pembelian rumah yang di bawah harga pasaran.

Tetapi pada 4 September 2018, pihak pendakwaan memohon untuk dilepas tanpa bebas tetapi Hakim Mahkamah Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membenarkan kedua-dua pertuduhan itu dilepas dan bebas. Kes ini berlaku ketika Dr. Mahathir dilantik semula sebagai Perdana Menteri buat kali kedua di bawah kerajaan PH.

Sementera itu, dua bekas Perdana Menteri yang didakwa di mahkamah ialah Najib (didakwa pada 4 Julai 2018), Tan Sri Muhyiddin Yassin (10 Mac 2023) dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (26 Jun 2019). Kes Muhyiddin masih berjalan di mahkamah manakala kes Ahmad Zahid, mahkamah telah membebaskan beliau daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi.

Ketika era Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, pada 7 Ogos 2020, Lim Guan Eng sekali lagi didakwa kerana meminta rasuah berhubung kes terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion semasa beliau menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Kertas pertuduhan mendakwa beliau telah meminta rasuah berjumlah 10 peratus daripada keuntungan syarikat tersebut. Kes itu belum selesai di mahkamah. Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mendapati mantan menteri, Tan Sri Mohd Isa Samad didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan pengambilalihan Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda di Kuching, Sarawak bernilai RM3.09 juta.

Bagaimanapun, pada 6 Mac 2024, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau daripada tuduhan rasuah tersebut. Pada 16 Julai 2021, tiga hakim Mahkamah Rayuan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada tuduhan rasuah membabitkan RM2 juta yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat yang dikawalnya sendiri.

Dalam satu kes lagi pada 10 April 2023 melibatkan Datuk Seri Azlan Man, bekas Menteri Besar Perlis yang sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu perjalanan ke luar negara, berjumlah lebih RM1.18 juta, antara 2013 dan 2017.

Pada 9 November 2023, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengosongkan jawatannya sebagai presiden Muda selepas beliau disabitkan dengan rasuah. Mahkamah Tinggi membenarkan
permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu rayuan dan beliau
masih ahli Parlimen.

Terdapat beberapa kes berprofil tinggi terkini yang disiasat SPRM adalah terhadap Tun Daim Zainuddin, Dr. Mahathir dan Menteri Besar Perlis.

Kesalahan jenayah boleh didakwa tanpa mengira tempoh masa. Di Malaysia, kesalahan rasuah tidak mempunyai had masa untuk individu. Jadi ini membolehkan pihak berkuasa mengambil masa mereka untuk melakukan siasatan terperinci.

Menurut Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada 1970-an pernah Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Ahmad Said didedahkan mempunyai hampir RM1.2 juta dalam akaunnya. RM330,000 telah dirampas pihak berkuasa kerana didapati diperolehi melalui rasuah.

Beliau segera meletak jawatan. Pada tahun yang sama, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri telah diarah mengambil cuti dua bulan dan kemudiannya digantikan oleh Mahmood Sulaiman. Di peringkat persekutuan, Khaw Kai Boh diminta berundur daripada Kabinet.

Amalan ini menetapkan standard tinggi yang diamalkan di kebanyakan negara demokrasi dan tadbir urus yang baik, yang mana kedaulatan undang-undang dan kepentingan awam adalah lebih penting daripada memegang jawatan kerajaan.

Namun begitu, walaupun dalam sistem yang terbaik, termasuk yang telus, keadilan mungkin tidak selalu dapat dilaksanakan. Dalam hal sedemikian, kita hanya boleh berharap bahawa akhirnya keadilan sebenar akan dilaksanakan oleh Allah. – UTUSAN

DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah Presiden Pertubuhan Integriti Dan Governan Malaysia (MIG).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya