Berakhirnya program khas, Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027 Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM) bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM) tempoh hari menyegarkan kita semula tentang perubahan kurikulum negara tidak lama lagi.
Pencerahan yang diberikan oleh KPPM, Azman Adnan meliputi segmen-segmen penting yang terkandung dalam Kurikulum Baharu 2027.
Tiga pendekatan baharu ditekankan iaitu pendidikan karakter, literasi 3M (membaca, menulis dan mengira) dan kelas pembelajaran bersepadu. Rata-rata warga pendidik menyambut baik kurikulum tersebut kerana adanya pembaharuan dan elemen penambahbaikan.
Namun demikian, ada segelintir pihak masih terus memperdebatkan kebolehupayaan kurikulum tersebut. Pada pandangan mereka, rangka kurikulum dikatakan hanyalah sekadar pengulangan daripada kurikulum terdahulu.
Sebenarnya, kita perlu memahami sejarah pendidikan negara bagi menilai Kurikulum Baharu 2027 ini. Pada 1988, sistem pendidikan kita mengalami satu transformasi apabila Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan. FPN didraf dan digubal dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sebelum dan sesudah negara merdeka. Misalnya, Penyata Razak 1951, Ordinan Pelajaran 1957, Laporan Rahman Talib 1960 dan Laporan Kabinet 1979.
Melalui FPN, hala tuju dan asas pendidikan kebangsaan ditetapkan dalam melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan kepada Tuhan.
Pada 1996, FPN dijenamakan semula sebagai sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dengan memberi fokus terhadap usaha pembinaan negara bangsa Malaysia.
Bagi memastikan hala tuju pendidikan terus berada dalam landasan yang betul, tujuan, matlamat dan objektif, baik sebarang dasar pendidikan mahupun kurikulum dirancang dan dibentuk agar selari dan sejajar dengan hasrat FPK. Hingga kini, pegangan terhadap FPK sebagai aspirasi dasar pendidikan negara diteruskan sebagai rujukan tunggal.
Di bawah kepimpinan Fadlina Sidek, KPM terus mendokong FPK yang terserlah dalam penggubalan kurikulum baharu. Maka sudah tentulah, setiap elemen yang yang terkandung dalam FPK akan diulangkan kerana itulah induk pendidikan negara kita.
Yang membezakan antara satu kurikulum dengan kurikulum adalah penambahbaikan. Dalam mana-mana dasar atau kurikulum pendidikan, penambahbaikan boleh dilaksanakan dengan memurnikan dasar atau kurikulum yang sedia ada ataupun memperkenalkan aspek-aspek baharu. Penambaikan dilakukan berdasarkan senario pendidikan semasa dan keperluan baharu yang diingini oleh pemegang taruh seperti murid, guru, ibu bapa dan masyarakat.
Dalam hal ini, KPM sangat cakna dan mengambil usaha giat bagi memastikan Kurikulum Baharu 2027 mesra murid, guru dan ibu bapa. Pada peringkat awal lagi, KPM menjalankan sesi libat urus bersama pensyarah, guru, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membangunkan kurikulum baharu.
Dalam satu tinjauan untuk mengutip pendapat dan pandangan, sebanyak 61,084 responden dengan 45 peratus adalah ibu bapa atau penjaga dan 46.8 peratus guru dilibatkan. Dari segi skop kawasan, pengumpulan data dibuat dengan memfokuskan sampel sebanyak 65 peratus dari bandar dan 35 peratus dari kawasan luar bandar. Hasil daripada tinjauan tersebut, KPM berjaya mengenal pasti perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penggubalan kurikulum baharu.
Antaranya ialah semangat perpaduan, penerapan nilai-nilai murni, perkembangan sosioemosi dan keperluan terhadap kepelbagaian murid. Kesemua perkara ini mendasari pembentukan kurikulum baharu dan pasti ia membawa perubahan positif dalam sistem pendidikan kebangsaan kelak.
Pada pandangan saya, penggunaan terma-terma pendidikan seperti bersepadu, berpusatkan murid, relevan, holistik, seimbang, berpusatkan murid, adab, akhlak, warganegara yang baik dan sebagainya seharusnya dialu-alukan dalam kerangka Kurikulum Baharu 2027. Ini kerana setiap terma tersebut mencerminkan aspirasi FPK dan hasrat KPM dalam menjayakan matlamat dan objektif pendidikan negara.
NILAI KETIMURAN
Dalam pada itu, satu elemen baharu diketengahkan iaitu pendidikan karakter. Pengenalan elemen ini sangatlah bersesuaian dengan konsep Malaysia Madani yang diuar-uarkan Perdana Menteri iaitu melahirkan bangsa Malaysia yang bertamadun tinggi dengan kekuatan fizikal dan mental, pegangan agama dan kepercayaan yang kukuh serta mengangkat nilai-nilai sejagat.
Kita boleh melihat dengan jelas bahawa nilai ketimuran masyarakat Malaysia semakin menipis dek pengaruh arus globalisasi. Ramai daripada anak-anak kita terpengaruh dengan budaya barat serta terjerumus dalam berbagai gejala sosial. Malahan, polarisasi kaum juga kian melebar disebabkan masyarakat semakin kehilangan nilai hormat menghormati antara satu sama lain.
Lihatlah sendiri di media sosial, unsur-unsur mengecam dan menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya menjadi-jadi. Sekiranya berpanjangan, ia boleh membinasakan keharmonian dan kesejahteraan di negara kita.
Di bawah pendidikan karakter, KPM berupaya mengukuhkan kembali nilai-nilai masyarakat Malaysia, di samping menyuburkan jati diri yang tinggi serta semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak bangsa. Maka, sudah tentulah pengenalan pendidikan karakter tepat pada masanya sebagai salah satu jalan penyelesaian bagi menangani isu-isu yang melingkari masyarakat kita.
Sepertimana dinyatakan Fadhlina, pendidikan karakter dilaksanakan bermula dari peringkat pra sekolah hingga ke peringkat menengah atas. Di sini, kita dapat lihat bahawa KPM mempunyai perancangan yang sistematik untuk menerapkan pembinaan karekter secara berperingkat dan secara berterusan. Satu lagi nilai tambah terhadap pendidikan karakter ialah ia bersifat pembelajaran amali.
Anak-anak bangsa dapat mempelajari, menghayati dan mengamalkan dalam situasi sebenar dan bukannya hanya berpandukan mana-mana modul semata-mata.
Apabila anak-anak bangsa didedahkan dengan persekitaran yang nyata, maka mereka dapat lebih memahami apa yang diinginkan dalam setiap pembelajaran.
Dalam sesi pendidikan karakter, kaunselor sekolah perlu diberikan peranan penting. Sebagai orang yang bertauliah, kaunselor sekolah dapat merancang dan melaksanakan slot-slot pembelajaran bagi mengoptimumkan keberkesanan objektif pendidikan karakter. Khidmat kaunselor-kaunselor bertauliah daripada agensi-agensi kerajaan boleh digunakan untuk membantu slot pendidikan karakter di sekolah-sekolah.
Dengan adanya penglibatan daripada pelbagai pihak, hasrat FPK dan Kurikulum Baharu 2027 dapat direalisasikan dengan cemerlang.
Pendek kata, Kurikulum Baharu 2027 adalah satu transformasi pendidikan yang dapat menjayakan konsep Malaysia Madani. Diharapkan semua pihak memberi sokongan terhadap kurikulum baharu dengan memberikan pandangan membina demi kebaikan bersama. Bak kata peribahasa Melayu, ‘kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah’.-UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ipoh.










